RENCANA UTAMA

Memori tulisan jawi atas duit

Memori tulisan jawi atas duit

BEBERAPA helai duit kertas RM2 dan RM10 yang masih bercantum dihadiahkan kepada Sulaiman oleh Bank Negara Malaysia sebagai cenderahati.


JARI-JEMARI tua Sulaiman Awang kemas menulis khat nasakh di atas sehelai lembaran kertas putih. Tulisan jawi yang dinukil menggunakan pen jenis fountain itu kelihatan cukup sempurna.

“Sebenarnya, saya lebih suka menggunakan pen kayu daripada batang pelepah pokok resam. Biarpun sedikit leceh kerana perlu dicelupkan dengan dakwat, namun hasilnya lebih cantik dan kemas berbanding pen biasa yang banyak dijual di pasaran,” ujarnya tersenyum.

Penjelasan yang diberikan pesara agensi kerajaan itu segera dicatat ke dalam buku nota. Apa tidaknya, di kesempatan itulah kru Jurnal dapat berkongsi serta mengupas pengalaman salah seorang penyumbang kepada cetakan jawi yang digunakan dalam wang kertas Malaysia hari ini.

Mungkin bagi kebanyakan orang, tiada apa yang lebih penting pada sehelai wang kertas selain nilainya tidak kiralah sama ada kecil atau besar.

Namun, bagi Sulaiman, setiap perincian khususnya cetakan tulisan jawi ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ pada duit kertas itu memberikan nilai sentimental kepada dirinya.

Manakan tidak, warga emas berusia 73 tahun itu sendiri adalah tulang belakang di sebalik kehalusan seni cetakan berkenaan.

Pernah berkhidmat dengan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai seorang kartunis dari tahun 1962 sehingga 1970 dengan menggunakan nama pena ‘Shamsul’, Sulaiman memberitahu, tulisan jawi jenis nasakh rekaannya itu diabadikan pada setiap wang kertas Ringgit Malaysia keluaran tahun 1997 bermula daripada RM2 hingga RM1,000.

“Ia sememangnya satu pengalaman yang sangat berharga walaupun saya tidak dikenali ramai,” katanya merendah diri.

Menang tender


SULAIMAN mempamerkan kemahiran menulis khat nasakh pada sehelai kertas.


Mengimbas kembali kenangan kira-kira 15 tahun lalu, Sulaiman atau lebih mesra di sapa Tuan Haji memberitahu, peluang menulis tulisan khat pada wang kertas itu datang tanpa dirancang.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai peluang untuk menulis tulisan khat pada wang kertas Malaysia oleh seorang individu yang juga pemilik sebuah syarikat pengiklanan yang dikenali sebagai Haji Mohamad.

“Dia minta saya cuba nasib dengan menghantar perkataan ‘Bank Negara’ yang ditulis dalam tulisan jawi berbentuk khat nasakh kepada pihak Bank Negara untuk masuk tender,” katanya.

Berbicara lanjut, Sulaiman yang pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Seni Reka di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberitahu, Pihak Bank Negara yang tertarik dengan seni khat nasakh tulisan tangannya itu telah menawarkan tender berjumlah RM10,000 untuk mencetak tulisan khat tersebut pada keluaran duit kertas bermula daripada wang kertas RM2 sehingga RM1,000 pada tahun 1997.

“Alhamdulillah beberapa minggu selepas itu, dia beritahu, saya berjaya menang tender tersebut dan dikehendaki menulis perkataan ‘Bank Negara’ dalam ejaan jawi untuk dicetak pada duit kertas Malaysia.

“Apabila wang kertas baharu itu siap, saya seperti tidak percaya bahawa perkataan yang tertera pada permukaan depan dan belakang wang kertas tersebut merupakan tulisan tangan saya sendiri,” katanya yang mempelajari seni tulisan khat semasa menuntut di Maahad Tahfiz Al-Akhlak Al-Islamiah Masjid Tinggi, di Bagan Serai, Perak sekitar tahun 50-an.

Ternyata bakat seni yang dimiliki oleh Sulaiman tidak terhenti begitu sahaja apabila anak sulungnya, Kamarul Khazim Sulaiman, 44, turut mewarisi bakat seni daripada bapanya.

Ibarat kata pepatah, ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’, Kamarul yang juga merupakan seorang kartunis di salah sebuah syarikat akhbar harian, turut menjadikan bapanya sebagai idola dalam dalam kerjayanya sekarang.

“Kemahiran menulis tulisan khat ini perlu diasah sejak kecil kerana ia memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi,” tutur Kamarul yang pernah membantu bapanya menulis tulisan khat pada batu nesan selepas tamat persekolahan sekitar lewat tahun 70-an.

Revolusi


KOLEKSI wang kertas siri pertama dan siri kedua yang dipamerkan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.


Selain kehalusan seni tulisan khat nasakh, wang kertas Malaysia turut menampilkan pembaharuan yang menggabungkan pelbagai inovasi dan ciri keselamatan yang lebih canggih dan terjamin berbanding wang sebelum ini.

Menurut sumber dari Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, wang kertas Malaysia telah mengalami empat siri perubahan bermula dari tahun 1967 apabila Bank Negara Malaysia mula mengedarkan mata wang Malaysia siri pertama bagi menggantikan mata wang Malaya yang dihentikan edarannya pada 16 Januari 1969.

Berbeza dengan mata wang yang diguna pakai pada hari ini yang menggunakan nilai Ringgit Malaysia, nilai wang pada ketika itu masih menggunakan simbol dolar ($) yang dicetak pada wang kertas siri pertama.

Wang kertas siri pertama yang dikeluarkan pada tahun 1967 telah mengetengahkan konsep bercorak geometri yang dicetak pada wang kertas bernilai $1, $5, $10, $50, $100 dan $1,000.

“Penggunaan mata wang si­ri pertama itu bertahan sela­ma berpuluh tahun sebelum pihak Bank Negara Malaysia memperkenalkan mata wang siri kedua pada tahun 1982 yang lebih menonjolkan ciri-ciri seni dan budaya di Malaysia,” kata sumber itu.

Bagi edaran siri kedua itu, Bank Negara Malaysia telah memperjuangkan wang kertas yang dicetak dengan artifak kesenian yang melambangkan simbol-simbol budaya yang terdapat Malaysia.

“Sebagai contoh, cetakan corak pada wang kertas siri kedua lebih menonjolkan sisi budaya seperti keris, terabai atau perisai pahlawan Iban, ukiran kerawang, bunga-bungaan dan monumen bersejarah,” tambah sumber itu lagi.

Mesra pengguna


POHON pitis Kelantan yang digunakan pada awal kurun ke-19 di Tanah Melayu selepas kemasukan pengaruh Islam.


Menurut sumber tersebut, Bank Negara Malaysia mem­perkenalkan sekali lagi wajah baharu wang kertas Malaysia dengan melancarkan edaran wang kertas berkon­sepkan Wawasan 2020 yang lebih tam­pak moden dan terkini pada tahun 1996.

“Cetakan corak pada wang kertas ketika ini memaparkan lambang kepesatan pemba­ngunan di Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, satelit dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Namun, rekaan corak pada wang kertas siri ketiga ini masih mengekalkan unsur-unsur budaya dengan memaparkan keindahan alam semula jadi seperti Gunung Kinabalu yang dicetak pada wang kertas RM1,” katanya.

Selepas melalui tiga siri transformasi, Bank Negara Malaysia sekali lagi menelusuri perubahan apabila memperkenalkan mata wang siri keempat yang lebih berkualiti dan mesra pengguna pada tahun 2012.

Menggabungkan pelbagai inovasi daripada rekaan terda­hulu, wang kertas itu lebih se­la­mat dan canggih apabila menggunakan material polimer pada mata wang bernilai RM1 dan RM5.

“Diilhamkan daripada ciri-ciri Malaysia yang tersendiri, wang kertas baharu ini memaparkan ekspresi tradisional bermotifkan seni dan kraftangan tradisional, alam semula jadi dan tradisi negara,” ujar sumber Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia itu.

Process time in ms: 32