PESONA

Pendidikan mengenai Aedes dan denggi

Pendidikan mengenai Aedes dan denggi



KESEDARAN segelintir masyarakat umum terutama penghuni ‘hutan konkrit’ dan pinggir kota mengenai kepentingan penjagaan kebersihan dilihat masih belum lagi mencapai tahap yang memuaskan.

Situasi itu sangat membimbangkan kerana ia mampu menghadirkan beberapa wabak penyakit seperti demam denggi.

Buktinya, sepanjang tahun 2014, kes demam denggi mencatatkan peningkatan sebanyak 151 peratus iaitu 103,610 kes dengan 199 kematian berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan 62,384 kes dengan 88 kematian.

Pembinaan sistem saliran dan perparitan yang canggih sekali pun tidak dapat membendung masalah itu daripada berlaku sekiranya sikap tidak prihatin penduduk negara ini terhadap alam sekitar yang sering mengharapkan pihak berkuasa untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kebersihan merupakan aspek yang paling penting dalam memerangi wabak demam denggi kerana apabila tiada sampah sarap yang boleh menakung air, maka nyamuk aedes yang membawa virus tersebut juga tidak dapat membiak.

“Kita hanya perlu ambil masa selama sepuluh minit dalam tempoh seminggu untuk cari tempat pembiakan nyamuk aedes dan hapuskannya tapi dalam masa yang singkat itu pun segelintir masyarakat kita tidak dapat melakukannya,” luah Pengarah Kumpulan Pengurusan Jenama 1Malaysia for Youth (iM4U), Efny Johan.

Cari dan musnah

Kerjasama yang diberikan penduduk tempatan ketika aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bersama masyarakat juga didakwa tidak mendapat sambutan memberangsangkan kerana peratusan yang terlibat dikatakan amat sedikit.

“Pada pendapat mereka, perkara itu bukan masalah mereka kerana beranggapan perkara tersebut tidak akan berlaku terhadap diri sendiri atau keluarga selain tidak pernah merasai keperitan menghidap demam denggi.


PUSAT Sehenti Denggi pertama negara dikelola oleh Majlis Gabungan Denggi yang merangkumi tujuh badan akademik dan profesional.


“Selagi mereka tidak mendapat demam denggi selagi itulah mereka tidak akan ambil berat mengenai penyakit tersebut.

“Kita sudah berperang dengan demam denggi lebih 40 tahun lalu tapi jumlah kes yang dicatatkan memperlihatkan peningkatan saban tahun.

“Ditambah pula dengan mentaliti masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata dan menganggap akan ada orang lain tolong kutip dan bersihkan untuk mereka,” terangnya.

Berikutan sikap segelintir masyarakat yang ambil enteng mengenai penjagaan kesihatan dan tidak peduli epidemik demam denggi yang semakin meningkat, iM4U bersama enam badan akademik dan profesional tempatan bersatu hati bagi membentuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Gabungan Denggi (MGD) khusus untuk memerangi wabak bawaan nyamuk aedes itu.

Seiring dengan penubuhan majlis tersebut, sebuah Pusat Sehenti Denggi pertama negara dibina di Pangsapuri Pantai Ria, Lembah Pantai, Kuala Lumpur iaitu salah satu daripada 14 kawasan hotspot di ibu kota bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai wabak yang boleh membawa maut itu.

“Pada mulanya, iM4U cuma mendekati Persatuan Integrasi Perubatan Profesional Malaysia (MIMPA) sebagai permulaan dalam usaha menubuhkan majlis dan pusat sehenti tersebut.

“Bagaimanapun, alhamdulillah beberapa lagi pertubuhan dan institusi pengajian tinggi tampil untuk membentuk MGD, sekali gus menubuhkan Pusat Sehenti Denggi yang pertama.

“Pusat sehenti ini bukan di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia tapi ia lebih kepada sebuah tempat yang membantu menyokong kementerian bagi mempertingkat usaha membasmi wabak denggi di negara ini.

“Kerjasama iM4U dengan enam institusi ini menjadikan MGD sangat penting kerana kami tidak mampu untuk menjalankan misi memerangi demam denggi sendirian disebabkan tiada kepakaran dalam bidang perubatan dan yang berkaitan,” terang Efny.

Selain iM4U, enam lagi institusi yang bertanggungjawab mengendali pusat sehenti tersebut ialah Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam), Persatuan Integrasi Perubatan Profesional Malaysia (MIMPA), Alumni Kedoktoran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MedIIUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM).


KEBERSIHAN merupakan aspek paling penting dalam memastikan wabak denggi dapat dibendung. – Gambar hiasan


Pendidikan

Setakat ini, seramai 44 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar jurusan seni bina dari UM selain beberapa dari iM4U terlibat dalam aktiviti memberi pendidikan dan kesedaran kepada penduduk di kawasan pusat sehenti tersebut dan beberapa hotspot yang lain di sekitar ibu negara.

“Pusat sehenti ini dijadikan sebagai tempat berkumpul dan memberi taklimat kepada para sukarelawan serta mengambil risalah sebelum diedarkan kepada penduduk di beberapa kawasan terpilih di sekitar ini.

“Kami berinteraksi dengan masyarakat, secara tidak langsung mengajar dan melatih mereka supaya tidak bergantung dengan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan aedes.

“Kita cuba bekerjasama dengan komuniti yang terdiri daripada pelbagai pertingkat umur termasuk kanak-kanak untuk mendidik dari awal mengenai kepentingan menjaga persekitaran tempat tinggal di samping membuka minda mereka.

“Buat masa ini, kami lebih tumpukan kepada dua kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebuah kondominium kerana ketiga-tiga kawasan hotspot tersebut didapati mencatatkan kes denggi paling tinggi,” ujar pelajar Fakulti Alam Bina, UM, Mohamad Kamil Asyraf Mohamad Samuri, 21.

Pusat sehenti itu juga merupakan pusat maklumat kepada penduduk setempat untuk mendapatkan informasi mengenai demam denggi dan mereka boleh memperoleh barangan keperluan bagi menghapuskan nyamuk Aedes terpilih seperti racun pembunuh jentik-jentik secara percuma.

Di samping itu, sebahagian sukarelawan tersebut juga diberikan latihan secara profesional bagi membasmi denggi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk menjadi pembimbing kepada sukarelawan yang lain dalam kumpulan mereka.

Latihan

“Sebahagian sukarelawan kami iaitu seramai enam orang telah mendapat latihan secara berterusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendidik dan melatih sukarelawan yang lain dalam usaha mencegah dan mengawal denggi serta nyamuk aedes.


PENDUDUK berhampiran Pusat Sehenti Denggi boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai demam denggi di bawah satu bumbung.


“Pengisian dalam latihan yang kami peroleh antaranya ialah cara-cara mengenal pasti tempat-tempat yang sering menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes, langkah-langkah untuk menghapuskannya dan mengesan tanda-tanda awal demam denggi.

“Selain latihan secara teori dalam kelas, kami turut di bawa ke luar bangunan untuk sesi pembelajaran secara praktikal seperti kaedah yang betul penggunaan ubat penghapus jentik-jentik,” jelasnya yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan.

Kerja-kerja kesukarelawan yang mereka jalankan di Pusat Sehenti Denggi itu bukan sahaja memberi pendidikan kepada penduduk setempat tetapi merangkumi kajian lapangan dalam usaha mewujudkan satu sistem berkesan untuk menangani masalah air bertakung.

Projek sukarelawan itu juga merupakan sebahagian daripada silibus dua subjek teras peringkat universiti dan fakulti di UM bagi melatih para pelajar berinteraksi dengan komuniti sekeliling tempat mereka belajar.

“Apabila tertubuhnya Pusat Sehenti Denggi ini, kerja-kerja kami menjadi semakin mudah dalam melaksanakan program jalinan masyarakat yang merupakan subjek teras dan wajib lulus di universiti.

“Pada peringkat fakulti, kami juga ditugaskan dalam projek bersepadu iaitu salah satu subjek kelolaan Fakulti Alam Bina yang memerlukan kami merekabentuk satu sistem untuk pastikan satu kawasan tersebut bebas denggi daripada aspek pembinaan,” ujarnya.

Process time in ms: 16