INFINITI

Perkhidmatan sewa lori TheLorry

Perkhidmatan sewa lori TheLorry

SEBANYAK lima buah syarikat logistik telah bekerjasama dengan TheLorry.


BERMULA sejak Oktober lalu, Hazuriati Ramli memasang impian untuk berpindah dari kediaman lamanya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur ke Bangi, Selangor.

Wanita berusia 45 tahun itu berjaya menyewa sebuah rumah yang lebih besar dan selesa serta berdekatan dengan tempat kerjanya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu bercadang untuk berpindah pada musim cuti sekolah kerana ia lebih mudah dan tidak mengganggu jadual persekolahan anak-anaknya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja musim cuti sekolah bermula pada 22 November lalu, Hazuriati mengalami kesukaran mendapatkan perkhidmatan logistik bagi memindahkan barang-barangnya.

Menurut pekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara itu, dia menghabiskan masa selama beberapa hari semata-mata untuk mencari syarikat logistik yang boleh dipercayai dan menawarkan harga berpatutan.

Selepas puas bertanyakan saudara-mara dan rakan-rakan, Hazuriati mengambil keputusan untuk mencari syarikat logistik untuk perkhidmatan menyewa lori secara online.

Ketika sedang melayari sebuah blog, dia ternampak sebuah artikel mengenai sebuah laman web yang menyediakan kemudahan untuk mendapatkan perkhidmatan logistik.

Laman web yang dikenali sebagai TheLorry.com (TheLorry) itu menyediakan kemudahan kepada para pengguna membuat perbandingan harga untuk menyewa lori dan membuat tempahan.

Selepas memasuki laman web berkenaan, Hazuriati dapati bahawa terdapat tiga terma yang perlu diisi olehnya bagi membuat tempahan iaitu saiz lori, lokasi pengambilan dan tempat penghantaran.

Kemudian, selepas menekan butang carian, senarai profil beberapa syarikat perkhidmatan lori dipaparkan di skrin termasuk butiran lengkap harga.

Puas hati

“Jarak dari rumah lama saya ke rumah baharu lebih kurang 40 kilometer.

“Senarai harga yang ditawarkan kepada saya oleh TheLorry ialah sekitar RM500 bagi lori tiga tan termasuk pemandu dan seorang pekerja untuk mengangkat barang,”ujarnya.

Jelasnya, selepas bersetuju dengan harga yang ditawarkan, dia perlu mengisi butiran peribadi dan diberi pilihan untuk membuat pembayaran melalui Molpay atau selepas lori sampai.

Selepas sejam, Hazuriati menerima panggilan telefon daripada wakil TheLorry untuk pengesahan tarikh dan alamat rumahnya.

“Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh laman web ini.

“Ia amat bagus kerana dapat membantu memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan logistik,” katanya.

Sementara itu, pengasas TheLorry, Nadhir Ashfiq Zainal Abidin berkata, laman web tersebut mula dilancarkan pada 7 September lalu.

Ujar pemuda berusia 26 tahun itu, pada awal Disember lalu, mereka telah berjaya mendapat pelanggan ke-100 walaupun baru tiga bulan beroperasi.

“Walaupun masih baharu di negara ini, hasil maklum balas yang diterima sangat menggalakkan.

“Saya juga berpuas hati dengan jumlah tempahan yang berjaya dicatatkan oleh TheLorry,” katanya yang masih belum berumah tangga itu.

Menyingkap kembali idea mengenai TheLorry, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu memberitahu, ia bermula ketika dia bekerja di ABDA Group dan mengetuai bahagian penghantaran dan logistik.

Melihat kepada potensi yang ada kepada industri logistik, Nadhir segaja bereksperimen dengan pasaran menyewa lori dengan membuat pengiklanan ringkas dalam Majalah.com.

Sambutan


THELORRY menyediakan kemudahan membuat perbandingan harga untuk menyewa lori dan tempahan.


Iklan tersebut ternyata berjaya mendapat perhatian daripada orang ramai, apabila setiap hari dia menerima panggilan bagi bertanyakan mengenai perkhidmatan lori sewa yang ditawarkan.

“Saya membuat iklan tersebut secara suka-suka sahaja. Tidak sangka pula ia mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Daripada situ, timbul idea untuk membangunkan sebuah laman web khas yang menawarkan perkhidmatan logistik seperti Unpakt di Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabat operasi TheLorry di Magic, Cyberjaya, Selangor.

Menurut pemuda berketinggian 180 sentimeter itu, pada mulanya, dia membangunkan versi prototaip TheLorry menggunakan perkhidmatan Blogspot dan JotForm sebelum beralih ke web.

Bagi memastikan laman web yang dihasilkan mengikut kehendak pengguna, Nadhir membuat kajian mengenai perkhidmatan logistik menerusi Mudah.my dan Majalah.com.

“Hasil daripada kajian tersebut, kami dapati kebanyakan pelanggan di negara ini tidak suka mengisi borang yang panjang lebar.

“Bagi mengatasi masalah ini, kami mengambil langkah mengurangkan pelbagai proses dan menyediakan hanya tiga soalan yang perlu dijawab oleh pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, menurut pengasas bersama TheLorry, Goh Chee Hau, 26, buat masa ini, pihaknya hanya menawarkan perkhidmatan logistik kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.

Katanya, sebanyak lima buah syarikat logistik berkerjasama dengan TheLorry iaitu Hanass Transport Services, Aspara Logistics, CASS Transport Movers, Zuridan Distribution dan Barakah Enterprise.

Kesemua syarikat logistik tersebut menawarkan pilihan harga yang berlainan mengikut jenis dan saiz lori iaitu satu, tiga atau lima tan. TheLorry hanya mengambil keuntungan sebanyak 10 peratus daripada nilai sewaan itu.

Jelas Hau, pihaknya sangat menggalakkan syarikat logistik di luar Lembah Klang untuk turut sama menjalin kerjasama dengan TheLorry.

Ia membolehkan TheLorry meluaskan pengaruhnya bersesuaian dengan matlamatnya untuk menjadi sebuah laman web tempahan lori nombor satu di negara ini.

Selamat sampai

Mengulas mengenai kelebihan yang diperoleh pengguna laman web berkenaan, dia memaklumkan, ia memberi peluang kepada mereka untuk membandingkan profil dan sebut harga syarikat-syarikat lori dengan mudah.

“Dengan laman ini, pengguna tidak perlu buang masa mengkaji, menapis dan menghubungi syarikat-syarikat lori satu persatu.

“Mereka boleh mendapatkan lima sebut harga dalam masa 30 saat sahaja,” jelasnya sambil memaklumkan cas yang dikenakan adalah tetap.

Selain itu, TheLorry sedaya upaya akan memastikan setiap barangan pengguna selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Sehubungan itu, pihaknya melakukan penyelidikan terlebih dahulu mengenai latar belakang syarikat-syarikat lori dari segi lesen dan kepakaran penghantaran barang.

Pengguna laman web berkenaan juga akan diberi layanan yang profesional dan berkualiti daripada pihak TheLorry.

Hau menambah, ini kerana pihaknya sentiasa cuba memberi layanan kepada setiap permintaan yang dibuat oleh pelanggan.

“Kami sentiasa menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan, mereka boleh menghubungi kami terus untuk diselesaikan secepat mungkin,” tegasnya.

Rencana Utama!»

Jong-nam pemimpin yang tak diangkat

PEMIMPIN tertinggi Korea Utara, Jong-un (kanan) memiliki raut wajah dan fizikal yang hampir sama seperti abang tirinya, Jong-nam.

Diva Interaktif!»

Nabila Huda luah isi hati

INILAH luahan hati Nabila menerusi Instagram miliknya mengenai tiada inisiatif pihak tertentu membawa artis negara ini ke program Oscar.

Iklan

Process time in ms: 94