HIBURAN

Nostalgia Hati Emas dirungkai

Nostalgia Hati Emas dirungkai



“Aku bosan dengan lagu cinta yang mendayu-dayu, lagu itu buat masyarakat kita lemah. Aku mahu buat lagu untuk rakyat, sekali gus memperjuangkan akar Melayu kita.” Itulah bait kata yang terngiang di kepala tatkala menunggu konsert bersejarah kumpulan legenda Kembara di Panggung Sari Istana Budaya ‘memecahkan’ Istana Budaya malam 20 November lalu.

Bait kata tersebut dipetik dalam sebuah filem Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan pada tahun 1986. Watak Jebat yang dilakonkan oleh M. Nasir pada ketika itu mempamerkan prinsip vokalis kumpulan tersebut apabila berbincang mengenai muzik.

Jebat yang bermula sebagai seorang pemain muzik jalanan berjuang dengan muzik rakyat menghiburkan setiap manusia yang lalu-lalang. Kaki lima Kompleks Pertama, Kuala Lumpur dan ba­ngunan Dayabumi menjadi saksi kepada perjuangan seorang wira seni.

Demam cetak rompak yang tiada kesudahan pada ketika itu menjadi musuh utama Jebat dalam perjuangannya. Kelesuan itu membuatkan dirinya mahu bangkit memartabatkan industri muzik ke satu tahap yang lebih tinggi tanpa melupakan asal-usul adat Nusantara.

Begitulah, sejarah yang dibuku ringkas dalam bentuk filem mengenai jasa yang ditabur oleh vokalisnya, Datuk M. Nasir serta kumpulan kembara terhadap industri seni muzik negara.

Kumpulan ini bukanlah sebuah band biasa, sebaliknya tidak keterlaluan jika dilabelkan sebagai pencetus revolusi dan pembawa suara rakyat melalui karya-karya mereka. Kumpulan ini betul dipandang sebagai seorang perwira pada era 80-an.


SUDAH berusia 28 tahun, Kembara membuktikan usia yang makin ‘tua’ bukan satu lambang buat mereka tidak lagi mampu beraksi dengan baik. Sebaliknya, ‘tua’ mereka penuh kredibiliti yang tidak mungkin ada pada kumpulan generasi baharu sekarang.


Keriuhan dek ratusan peminat yang datang seawal pukul 7 malam membuktikan keterujaan mereka me­nunggu saat konsert bermula. Melihat wajah-wajah yang hadir pada malam pembukaan konsert tersebut, jelas terpancar rasa dahaga mereka yang ingin melihat Kembara beraksi setelah hampir satu dekad kumpulan itu tidak beraksi di Malaysia.

Mengambil tempat masing-masing pada pukul 8.30 malam, hampir setiap ruang lompong kerusi dalam panggung Sari Istana Budaya dipenuhi. Masing-masing ingin menjadi sebahagian daripada sejarah yang ingin dicipta bersama kumpulan pujaan mereka.

Tepat pukul 9 malam, kanvas putih yang menutupi ruang depan pentas disingkap perlahan-lahan, dalam samar-samar, muncul kumpulan le­genda itu yang dikepalai oleh M. Nasir, A.Ali (Hamdan Atan) S. Sahlan (Ros­lan Tajuddin), Md. Shah, Che Man dan Zoul melalui pentas hidraulik.

Tampil ringkas mengenakan kemeja berkolar berona merah sulaman label British India, Tanpa berbicara, figura itu terus menyampaikan lagu hit sepanjang zaman berjudul Ekspres Rakyat.

Penonton yang tidak mampu menahan keterujaan bagaikan dirasuk semangat perjuangan wira itu apabila kesemuanya dilihat menggerakkan bibir turut ikut menyanyi bersama.

Walaupun kedengaran judul lagu tersebut agak ganjil, namun bas eks­pres rakyat merupakan pengangkutan utama masyarakat ketika itu.

Adrenalin konsert diteruskan lagi dengan beberapa buah lagu kerakyatan yang menjadi asas utama konsep perjuangan kumpulan itu. Lagu se­perti Impian Anak Jalanan, Siapa Orang Kita dan Sesat di Kuala Lumpur menjadi santapan buat penonton yang hadir.


Zoul (kiri) dan S.Sahlan dalam salah satu aksi mereka menerusi Konsert Hati Emas Kembara berlangsung sukses di Istana Budaya, minggu lalu.


Secara jelasnya, tempoh 28 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat namun, gabungan penyanyi tersebut bersama kumpulan asal Kembara menggamit kembali nostalgia kegemilangan kumpulan ini.

“Bagaikan baru semalam kumpulan ini (Kembara) ditubuhkan, masa berlalu begitu pantas tanpa sedar 28 tahun Kembara berdiri sebagai sebuah kumpulan memperjuangkan irama Nusantara,” lontar M.Nasir usai menyampaikan lagu Sesat Di Kuala Lumpur.

Kesinambungan konsert diteruskan lagi dengan nukilan berjudul Ada Sepasang Mata. Lagu yang disampaikan oleh salah seorang anggota asal kumpulan tersebut, A.Ali begitu puitis maksudnya. Ditambah pula dengan kenyaringan vokalnya, membuktikan beliau masih mampu menyampaikan lagu tersebut dengan sempurna.

Tidak membiarkan penonton me­nunggu lama, mata audien yang hadir terus tertancap kepada susuk tinggi lampai yang dikenali sebagai Zoul. Terus menyanyikan lagu berjudul Bas No.13, Zoul menyampaikan lagu tersebut dengan gaya yang tersendiri berlainan dengan abangnya, M. Nasir.

Sinergi konsert diteruskan dengan beberapa buah lagu termasuk Kolar Biru, Nusantara dan Rupa Tanpa Wajah. Lagu-lagu ini pernah menjadi saksi kemunculan awal kumpulan ini sekitar awal tahun 80-an.

Energi yang dilontarkan melalui vokal luar biasa M. Nasir cukup me­ngagumkan sehingga mampu membuatkan penonton bersorak setiap kali selesai persembahan.

Memasuki segmen ketiga konsert, M. Nasir terus membawa penonton larut dalam emosi melalui lagu-lagu balada yang disampaikan. Lagu se­perti Malam, Oh Bulan, Kiambang te­rus membuai keasyikan penonton.

Ruang konsert bertukar menjadi gamat apabila lagu Keroncong untuk Ana dan Kepadamu Kekasih diperde­ngarkan. Sorakan itu membuktikan lagu tersebut menjadi titik tumpuan pendengar apabila bercerita mengenai seleksi pilihan lagu Kembara.


A.ALI turut mendendangkan sebuah lagu yang mempamerkan mutu vokalnya masih baik.


Barangkali, ia saat paling indah dalam konsert berkenaan kerana ke­dua-dua lagu berkenaan disampaikan M. Nasir dengan penuh penghayatan sehingga berjaya menyentuh perasaan penonton.

Sentuhan lagu Kepadamu Kekasih yang disulam dengan bunyi trumpet berjaya mengubah susunan muzik lagu tersebut menjadi sedikit moden. Ternyata pengalaman meniup trumpet oleh Jaring diluahkan sepenuhnya dalam konsert tersebut.

Menambahkan lagi rencah dalam konsert tersebut, bantuan pemuzik instrumental yang diketuai oleh pe­ngarah muzik Zamberi Shah atau Bombay ternyata berjaya memberi nafas baharu dalam setiap rangkap-rangkap lagu yang disampaikan.

Konsert pada malam itu turut di­iringi oleh 12 pemuzik dan empat pe­nyanyi latar, Secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu yang diambil daripada album-album hebat mereka.

Berkongsi perjalanan mereka terutama pada awal kemunculan sebagai penyanyi di Malaysia, M. Nasir bijak mencuri perhatian penonton dengan jenaka dan kisah sebenar di sebalik penubuhan kumpulan Kembara.

Tidak membiarkan penonton terbuai terlalu lama dengan lagu balada,beliau kembali bertenaga de­ngan menyampaikan lagu rancak seperti Kutu, Duit, Hati Emas.

Tepat pukul 11.30 malam, konsert tersebut melabuhkan tirai dengan persembahan sebuah lagu epik kumpulan itu yang pernah dinyanyikan semula oleh Datuk Hattan berjudul Gerhana.

Secara keseluruhan, konsert ini di­lihat sebuah untaian kisah perjalanan kumpulan Kembara. Segala tanda soal mengenai kumpulan ini terjawab secara lengkap sepanjang tiga jam konsert tersebut berlangsung. Biarpun ia disampaikan dalam sebuah kembara muzik, namun isi kembara itu dapat divisualkan dengan jelas dan dapat dihadam dengan baik oleh semua penikmatnya. Selamat terus mengembara, Kembara.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32