TERKINI

Finas tidak sokong kempen 'Switch Off 14'

Finas tidak sokong kempen 'Switch Off 14'

20/10/2014 6:31pm

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), berpendirian dan sebulat suara tidak menyokong kempen 'Switch Off 14' anjuran beberapa persatuan penggiat industri seni yang dijangkakan akan berlangsung di Dataran Merdeka.

Pelaksanaan kempen yang diketuai oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) itu bertujuan mendesak kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan industri seni yang masih tidak diselesaikan dengan baik.

Pemangku Ketua Pengarah Finas, Dr. Megat Al-Imran Yasin berkata, pelaksanaan kempen dan demonstrasi seperti itu bukan merupakan jalan yang terbaik dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, pihak persatuan yang bernaung di bawah GAFIM dan GAFIM sendiri perlu bersua muka dan duduk semeja bagi membincangkan perkara itu.

"Sepatutnya, jika ada apa-apa rasa tidak puas hati daripada pihak GAFIM dan persatuan di bawah naungannya, mereka tidak perlulah mengambil langkah seperti ini. Jika mereka menyuarakan apa-apa tuntutan sekali pun, ada cara yang lebih beradab. Bukan dengan cara melakukan kempen sebegini rupa.

"Pada tarikh 23 Oktober ini, ada satu program bajet berkaitan industri seni yang akan dibentangkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek. Manakala pada 30 Oktober nanti pula akan diadakan satu sidang akhbar bersama semua penggiat seni bagi membincangkan sekali gus menyelesaikan kemelut ini.

"Jadi, jadikan pertemuan ini sebagai landasan yang tepat untuk menyuarakan apa-apa bantahan. Jangan hanya tahu lakukan provokasi sahaja," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, jika persatuan-persatuan seni itu mempunyai idea yang menarik untuk membangunkan industri seni di negara ini serta bersikap profesional, mengapa memilih jalan yang tidak elok seperti melakukan protes.

"Jika kempen sebegitu diadakan, kesan yang industri kita terima bukanlah kecil, bahkan mampu memberi tanggapan negatif kepada masyarakat," ujarnya. - KOSMO!

Process time in ms: 47