TERKINI

Peraturan baharu cermin gelap berkuat kuasa 1 Mei 2015

Peraturan baharu cermin gelap berkuat kuasa 1 Mei 2015

16/10/2014 3:06pm

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad mengumumkan penguatkuasaan peraturan baharu berhubung penggunaan cermin gelap akan dilaksanakan bermula 1 Mei 2015.

Beliau berkata, peraturan baharu itu sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 November ini dan tarikh itu diubah bagi memberi masa kepada pemilik kenderaan, khususnya kenderaan import untuk mendapatkan gantian cermin kenderaan masing-masing.

“Selepas mengambil kira masalah yang dihadapi pemilik kenderaan, maka wajar satu tempoh masa yang munasabah diberikan kepada orang ramai bagi mengambil tindakan pembetulan, khususnya bagi pemilik-pemilik kenderaan import mendapatkan gantian cermin mengikut kadar baharu ketelusan cahaya (VLT).

“Tempoh masa yang diberi adalah sehingga 30 April 2015 dan selepas tempoh itu tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi VLT yang baharu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Peraturan baharu itu menetapkan VLT bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus, manakala kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus. - Bernama

Process time in ms: 62