RENCANA UTAMA

Kenang jerih-perih orang terdahulu

Kenang jerih-perih orang terdahulu



BIARPUN jarak antara rumah Muhammad Hashim, 74, yang terletak di Kampung Alai dengan Padang Banda Hilir, Melaka sejauh 15 kilometer, perasaannya bercampur-baur setiap kali teringatkan memori di padang ikonik itu.

Pengalaman datuk kepada dua orang cucu itu bukan calang-calang. Beliau merupakan antara insan bertuah yang berada di padang tersebut ketika Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956.

Ketika itu usia Muhammad baru mencecah 17 tahun, namun setiap peristiwa yang berlaku pada tarikh bersejarah tersebut masih tersimpul rapi dalam ingatannya.

"Sehingga kini, imej Tunku ketika beliau melaungkan perkataan merdeka pada akhir ucapannya masih jelas dalam ingatan saya," ujar bekas pelajar Methodist Boys School, Melaka itu.

Pada hari bersejarah itu, Muhammad mengayuh basikal bersendirian seawal pukul 7 pagi bagi menyambut ketibaan Tunku dan rombongannya dari London yang dijadualkan tiba sekitar pukul 10 pagi.

Suasana pada hari tersebut agak mendung, namun kehadiran orang ramai sangat luar biasa. Dianggarkan lebih 50,000 orang tanpa mengira agama dan kaum membanjiri Kota Melaka semata-mata untuk menyambut kepulangan Tunku.

Sebaik sahaja Tunku mengambil tempat di atas pentas, suasana di sekitar padang tersebut menjadi begitu sunyi kerana semua ternanti-nanti tarikh rasmi kemerdekaan Tanah Melayu.

Namun, sebaik Tunku mengumumkan hari kemerdekaan jatuh pada 31 Ogos 1957, semua terus berteriak Merdeka! Merdeka! Merdeka! sehingga ada yang mengalirkan air mata kegembiraan.

Pengalaman berada pada acara tersebut benar-benar memberi pengajaran dan kesedaran kepadanya. Ia sebagai mengenang jerih-perih pejuang dahulu menuntut kemerdekaan.

"Pengalaman itu tidak semua orang dapat merasainya, saya dianggap bertuah kerana berada di situ sewaktu peristiwa bersejarah tersebut berlaku," kata pesara kerajaan itu.

Kelab Melaka

Walaupun masyarakat kini tidak lagi berpeluang merasai semua pengalaman tersebut, kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia mengambil inisiatif untuk membuka Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak berhadapan dengan Padang Pahlawan.


PATUNG replika suasana pada hari pengisytiharan tarikh kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka turut dipamerkan.


Bangunan itu dibina sekitar tahun 1911. Sebelum itu, bangunan yang terletak di atas tanah seluas 4,333 meter persegi itu dikenali sebagai Kelab Melaka yang sering digunakan golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan untuk aktiviti sosial pada zaman penjajahan Inggeris.

Pada 31 Ogos 1985, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan itu dibuka kepada orang ramai selepas dirasmikan oleh Tunku.

Tujuan utama bangunan setinggi dua tingkat itu dibuka kepada orang ramai adalah untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan orang dahulu memperoleh kemerdekaan sehingga ke detik paling bersejarah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Keperitan

Antara barangan yang dipamerkan termasuklah dokumen sejarah, gambar, peta, keratan akhbar dan majalah.

Turut dipamerkan petikan filem, teks ucapan, minit mesyuarat, mata wang, bendera, cenderamata, keris, baju dan kereta yang digunakan Tunku pada 31 Ogos 1957.

Kebanyakan barangan yang dipamerankan diperoleh menerusi sumbangan orang ramai dan kepunyaan peribadi Tunku Abdul Rahman sendiri.

Menurut salah seorang pelawat dari Shah Alam, Selangor, Khairul Fitri Ariffin, 32, kewujudan memorial tersebut memberi peluang kepada generasi muda sepertinya menyelami keperitan perjuangan orang-orang lama dalam proses mencapai kemerdekaan.

"Kewujudan memorial ini sangat penting kepada generasi muda yang tidak berpeluang merasai detik pengisytiharan kemerdekaan 57 tahun lalu.

"Selain dapat menyelami kepayahan untuk mendapat kemerdekaan, lawatan ke memorial ini juga mampu membakar semangat patriotisme dalam diri," kata Khairul Fitri yang berkunjung ke memorial tersebut bersama isteri dan dua anaknya.

Antara barangan dalam pameran tersebut yang berjaya menambat hati Khairul Fitri ialah keris Sepukal yang digunakan oleh Tunku ketika pengisytiharan hari kemerdekaan di Padang Banda Hilir, Melaka.

Katanya, barangan bersejarah tersebut tidak terdapat di tempat-tempat lain kecuali di memorial berkenaan.

"Saya sangat tertarik dengan keris yang digunakan oleh Tunku. Ia merupakan sebahagian daripada sejarah kemerdekaan negara," katanya yang bekerja sebagai seorang ahli perniagaan.

Selain tarikan pada ruang pameran, beliau juga kagum dengan reka bentuk luaran bangunan tersebut yang disifatkan sebagai unik dan menarik.

Ujarnya, bangunan memorial tersebut dibina dengan gabungan ciri-ciri seni bina British dan tempatan.

"Kita boleh lihat bangunan itu mempunyai dua kubah di bahagian hadapan yang menggambarkan seni bina tempatan dan Islam.

"Bangunan ini mempunyai beranda yang sering ditampilkan dalam setiap seni bina Inggeris," katanya yang pertama kali berkunjung ke memorial berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Norashid Mohamed Yasin berkata, dianggarkan hampir 40,000 pengunjung melawat memorial berkenaan setiap bulan.


KERIS Sepukal merupakan salah satu daya tarikan utama pengunjung ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka.


Ruang pameran

Katanya, jumlah tersebut meningkat sekali ganda setiap kali musim cuti sekolah atau cuti musim panas di luar negara.

"Alhamdulillah, jumlah pelawat yang datang ke sini sangat memberangsangkan terutama ketika musim cuti persekolahan.

"Kebanyakan pelawat terdiri daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai proses kemerdekaan negara," katanya sambil memaklumkan memorial tersebut boleh dilawati secara percuma setiap hari.

Menurut Norashid, bagi memudahkan pengunjung memahami sejarah kemerdekaan negara, pihakya telah menyediakan ruang-ruang pameran mengikut segmen bermula daripada Pertuanan Melayu sehinggalah Penubuhan Malaysia.

Lebih menarik, ruang di tingkat dua memorial tersebut turut disediakan tayangan filem berkaitan perjuangan ke arah kemerdekaan seperti zaman darurat dan pengisytiharan hari kemerdekaan.

"Kami menyediakan ruang pameran mengikut turutan peristiwa bagi memudahkan masyarakat terutamanya generasi muda memahami proses mencapai kemerdekaan.

"Kami juga sentiasa melakukan penambahbaikan di setiap ruang pameran agar pelawat tidak berasa bosan," katanya sambil memaklumkan dataran di hadapan memorial tersebut sering digunakan oleh kerajaan negeri untuk pelbagai aktiviti bermanfaat.

Process time in ms: 31