HIBURAN

Mengaku belasah Ayu, itu hanya lakonan - Iqram

Mengaku belasah Ayu, itu hanya lakonan - Iqram

IQRAM tidak menafikan dia membelasah Ayu di dalam filem Lagenda Budak Setan 3, namun ia atas persetujuan bersama.


BARU memulakan tayangan perdananya hari ini, filem Lagenda Budak Setan 3 telah mendapat promosi berganda selepas suami pelakon Ayu Raudhah, Zaquan Adha memuat naik satu status di akaun Twitter miliknya yang enggan mengizinkan dia berlakon lagi kerana tidak sanggup melihat adegan dirinya dibelasah teruk oleh 'pasangannya' di dalam filem tersebut.

Biarpun tidak menulis nama pelakon lelaki yang membelasah Ayu, namun pelakon Iqram Dinzly pantas menyambut luahan hati tersebut dengan kata-kata sindiran selain mempertahankan dirinya.

Kosmo! menghubungi Iqram, bertanya tentang adegan belasah tersebut. Kata Iqram, dia terbuka menerima kritikan dan pandangan daripada semua orang, namun sebelum ikut menjatuhkan hukuman, dia menyeru kepada khalayak agar menonton terlebih dahulu filem tersebut.

Kosmo!: Iqram, boleh jelaskan tentang dakwaan anda keterlaluan melakonkan babak memukul Ayu Raudhah sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada suaminya, Zaquan Adha?

IQRAM: Ya, dalam filem itu kebanyakan babak antara kami membabitkan adegan saya membelasah Ayu. Saya membawakan watak seorang ahli korporat yang mengalami masalah alter ego atau dua perwatakan yang berbeza. Saya memang banyak membelasah Ayu. Aksi itu telah kami lakukan dua tahun lalu dan sejujurnya, saya tidak begitu ingat bagaimana tindakan saya sewaktu itu. Hanya apa yang boleh saya katakan, saya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dengan memenuhi tuntutan watak saya sebagai seorang alter ego.

Adakah Ayu rela dibelasah dengan teruk untuk menjayakan watak kalian dengan berkesan?

Sebenarnya, selepas melakukan aksi belasah pada 'pusingan' ketiga, Ayu sudah menangis. Dia beritahu saya yang dia tidak tahan dipukul. Jadi, saya pujuk dia dan kami berbincang dengan pengarah supaya babak pukul memukul itu dilakukan sekali jalan agar ia habis di situ. Saya tidak memaksa Ayu meneruskan lakonan, sebaliknya dia bersetuju dan kami melakukan adegan tersebut sekali jalan. Saya juga ada meminta maaf kepadanya di atas kekasaran saya dan hubungan kami baik.

Jadi, memang betullah awak belasah Ayu?

Ya. Saya lakukannya mungkin di luar kesedaran kerana menjiwai watak. Sebenarnya, saya juga takut untuk memukul orang tapi macam saya kata tadi, saya hanya jalankan tanggungjawab saya dan bila saya mula berlakon, saya tidak sedar tindakan saya boleh mendatangkan penderaan fizikal kepada orang lain. Saya minta maaf.

Iqram, bukankah lebih gentleman sekiranya anda tidak membalas luahan Zaquan atau kalian boleh menyelesaikan masalah ini melalui cara lain, bukan dengan berbalas luahan di laman sosial?

Kalau kita lihat, sebenarnya Zaquan tidak sebut pun nama saya tapi saya yang terasa sendiri kerana memang saya yang terbabit dalam babak seumpama itu (pukul). Bagi pihak Zaquan, saya melihat dia sepatutnya boleh menjadi lebih rasional, namun saya juga tidak nafikan sebagai seorang suami yang melindungi isteri, dia berhak berbuat demikian. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas apa yang telah berlaku. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon dan saya rasa saya tidak buat salah.

Bagaimana pula dengan pelbagai sokongan dan protes yang diberikan peminat atas isu ini?

Saya rasa sebelum melontarkan komen, baik pergi menonton dahulu filem ini. Saya juga minta, kita boleh meluahkan perasaan secara berhemah tanpa menggunakan kata-kata kesat. Jika tidak suka, jangan tonton terus.

Awak sendiri sudah menonton filem ini?

Belum lagi. Saya segan nak menonton lakonan saya bersama pelakon-pelakon hebat yang lain seperti Maya Karin, Bront Paralae dan Farid Kamil serta Ayu Raudhah. Insya-Allah saya akan pergi menonton bersama peminat nanti.

Selain filem ini, apa projek terkini anda?

Saya baru selesai penggambaran filem Upin & Ipin Jeng...Jeng...Jeng. Sebuah telemovie sempena Aidiladha, Jangan Ambil Nyawaku akan menemui penonton selain drama bersiri Cinta Di Sarajevo untuk tayangan RTM. - MALIAH SURIP

Process time in ms: 31