RENCANA UTAMA

Muji mahu bina rumah jagaan bak hospital

Muji mahu bina rumah jagaan bak hospital


MUJI


PENGALAMAN bekeja sebagai bekas Ketua Jururawat Hospital Serdang yang mengendalikan pesakit warga emas selama lebih dua dekad mendorong Muji Sulaiman, 54, mengasaskan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua al-Ikhlas (Rumah al-Ikhlas) di Kampung Pulau Meranti, Puchong, Selangor.

Menurut Muji, niat murni itu tercetus ketika beliau masih bertugas pada tahun 1999 selepas melihat beberapa pesakit warga emas yang tidak dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.

"Ketika itu, ada pesakit wanita berumur yang belum cukup sihat tetapi sudah dibenarkan pulang. Bagaimanapun, warisnya tidak datang membawa dia pulang ke rumah.

"Walaupun tiada hubungan kekeluargaan, saya tetap membawanya pulang ke rumah di Puchong Perdana atas dasar ingin membantu sesama Islam.

"Bilangan pesakit berumur di hospital Serdang yang tidak dibawa pulang keluarga masing-masing turut bertambah dari semasa ke semasa," kata beliau yang membawa pulang 25 orang warga emas dari hospital untuk dijaga dan dirawat bersama anak-anaknya di dua bilik dan ruang tamu rumah mereka.

Keadaan yang berlarutan selama empat tahun menyebabkan apartmen tiga bilik yang dihuni bersama tiga anaknya menjadi sesak sehingga memaksa beliau untuk mendapatkan rumah yang lebih luas.

Ibu tunggal itu menambah, selepas meninjau sekitar Kampung Pulau Meranti kira-kira lima kilometer dari rumahnya dia menjumpai sebuah masjid yang sudah tidak digunakan.

"Saya berjumpa dengan ketua kampung, pemilik tanah dan jawatan kuasa masjid untuk menyatakan hasrat saya.

"Alhamdulillah, masjid lama itu diserah kepada Rumah al-Ikhlas dan lebih 25 warga emas yang ada di rumah saya dipindahkan ke situ," katanya yang kemudian membangunkan rumah jagaan itu menggunakan wang simpanan sendiri.

Ujar Muji, semua 25 warga emas yang pernah menghuni di rumahnya di Puchong Perdana kini sudah meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu selepas berpindah ke Rumah al-Ikhlas selain tidak dilawati waris masing-masing.

Bilangan warga emas di Rumah al-Ikhlas bagaimanapun terus bertambah sehingga memaksa beliau bersara awal tiga tahun lalu untuk memberi komitmen terhadap rumah jagaan itu yang kemudiannya diubah suai seperti sebuah hospital.

Kini, hampir 40 warga emas berumur 60 hingga 90 tahun dijaga dan dirawat di Rumah al-Ikhlas. Ada kalangan mereka yang menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, nyanyuk, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang.

"Selain dihantar oleh pihak hospital kerana tidak dibawa pulang waris terdekat, ada juga yang dihantar oleh anak-anak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari seluruh negara jika ada kekosongan," katanya.

Menceritakan pengalamannya menguruskan rumah jagaan tersebut, Muji berkata, dia pernah mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan kekurangan stok makanan, lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

"Pernah suatu ketika saya hanya ada RM50. Dengan wang itu, saya beli sardin dalam tin dan telur sebagai menu kepada penghuni di rumah tersebut.

"Setiap bulan, kita menghadapi lima kematian. Urusan kematian penghuni di sini memerlukan belanja sehingga RM1,200 seorang terutama warga emas yang ditinggalkan anak-anak tanpa khabar berita.

"Jika diizinkan Allah, saya mahu bina rumah jagaan yang lengkap seperti sebuah hospital dan mempunyai ruang rehat yang selesa kepada warga emas di sini," kata Muji sambil memberitahu rumah jagaan itu pernah menjaga 50 warga emas.

Ujar Muji, kesudian pelbagai pihak menghulur bantuan perbelanjaan, barang keperluan dan sebagainya terhadap Rumah al-Ikhlas juga sangat dihargai.

Process time in ms: 63