RENCANA UTAMA

Beli barang dapur di lapangan terbang

Beli barang dapur di lapangan terbang

PENDUDUK sekitar Sepang, Cyberjaya, dan Nilai boleh ke [email protected] bagi membeli-belah barangan dapur.


KESIBUKAN penumpang yang lalu-lalang sambil mengusung troli dipenuhi bagasi membuatkan suasana di [email protected] tampak berbeza berbanding pusat beli-belah lain. Kelihatan di satu sudut pramugari syarikat penerbangan komersial sedang membelek pilihan makanan di bahagian Capai dan Pergi atau Grab and Go di pasar raya makanan segar, Jaya Grocer.

Pada waktu sama, tangannya masih kemas memegang bagasi beroda berwarna hitam yang tegak berdiri di sampingnya. Barangkali wanita itu usai menjalankan tugas di awan biru dan meluangkan masa untuk berbelanja seketika sebelum pulang ke rumah.

Pelbagai premis berjenama tempatan dan antarabangsa memenuhi segenap ruang [email protected] menjadikannya sebagai destinasi membeli-belah baharu bagi penduduk di sekitar Sepang dan Bangi, Selangor, Putrajaya serta Nilai, Negeri Sembilan.

Pusat beli-belah yang terbahagi kepada empat tingkat itu menempatkan pelbagai jenama seperti aiskrim Baskin Robbins, kedai kasut Crocs, Vincci, kedai pakaian F.O.S, Uniqlo, minuman Gloria Jean's Coffees dan restoran makanan segera Burger King.

Diapit antara tempat menurunkan penumpang dan terminal utama, [email protected] merupakan kompleks beli-belah berintegrasi yang dijangkakan menarik 45 juta orang pengunjung ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) terbesar di dunia itu.

Pada 24 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan terminal tersebut yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).


PRAMUGARI penerbangan komersial memilih makanan di rak Grab and Go.


Guru bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Kebangsaan Meru di Klang, Selangor, Noor Hidayah Ahmad, 35, berkata, sebaik mengetahui tentang KLIA2 sudah mula beroperasi pada 5 Mei lalu, panel bahasa Inggeris sekolah itu merancang untuk membawa pelajar melawat lapangan terbang tersebut bagi memberikan pendedahan tentang prasarana dan infrastruktur yang terdapat di negara ini.

"Walaupun KLIA2 merupakan terminal penerbangan tambang murah, lapangan terbang baharu ini lebih luas, teratur dan berkelas tinggi. Saya pernah menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, England dan berpendapat KLIA2 lebih mudah didekati pelancong.

"Barangan yang dijual juga pula tidak mahal dan terdapat banyak pilihan. Pelajar yang mengikuti lawatan ini berasa teruja dan bertanya tentang banyak perkara berkaitan sistem operasi lapangan terbang," jelasnya yang sudah kali kedua ke [email protected]

Naik tren

Beberapa orang guru mengiringi 35 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga empat yang mengikuti lawatan tersebut. Mereka bertolak menaiki tren komuter dan Express Rail Link (ERL) pada pukul 8 pagi dan tiba di [email protected] sejam kemudian.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang memperkenalkan terminal penerbangan bajet pada tahun 2006. Kemudian, beberapa negara lain turut memiliki terminal penerbangan tambang murah bagi memenuhi permintaan terhadap penerbangan kos rendah.

Antara negara tersebut ialah Singapura, Jepun, Perancis, Itali, Australia, Hungary dan Poland. Selain itu, negara-negara yang mempunyai pusat beli-belah di lapangan terbang ialah Amsterdam di Belanda, Dubai di Emiriyah Arab Bersatu, Frankfurt di Jerman dan Johannesburg di Afrika Selatan.

Penjual barangan kecantikan, Siti Aishah Md. Hasbi, 24, berkata, pada mulanya dia terkejut apabila diberitahu bahawa pasar raya makanan segar turut dibuka di [email protected] dan berpendapat ia pasti akan lebih menyenangkan penduduk setempat kerana tidak perlu ke Kuala Lumpur.

"Segalanya sudah ada di sini. Saya selalu membeli roti dan minuman di Jaya Grocer sebelum memulakan tugasan mengemaskini sistem produk kecantikan di premis berhampiran.


ORANG RAMAI dilihat berpusu-pusu memasuki pintu masuk KLIA2.


"Saya lebih kerap membeli barang runcit dan keperluan harian di sini selepas habis waktu bekerja," ujarnya yang menetap di Cyberjaya yang jaraknya hanya 25 minit dari lapangan terbang tersebut.

Difahamkan, Jaya Grocer merupakan satu-satunya pasar raya makanan segar yang dibuka di lapangan terbang di Malaysia buat masa ini.

Penyelia Operasi Jaya Grocer cawangan [email protected], Ahmad Azhar Mohd. Azmi memberitahu, konsep pasar raya segar dilihat berjaya mendapat sambutan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura membuatkan pihak pengurusan Jaya Grocer mengambil risiko untuk mencuba konsep tersebut di negara ini.

Kebanyakan pelanggan yang berbelanja di Jaya Grocer terdiri daripada kakitangan KLIA2 yang sudah biasa dengan makanan berjenama import. Bukan itu sahaja, pasar raya tersebut turut menjual produk industri kecil sederhana dan makanan tempatan.

Sejak ia dibuka pada 2 Mei lalu, tempoh operasi bermula seawal pukul 6 pagi hingga 12 malam. Antara barangan yang terdapat di Jaya Grocer ialah makanan sejuk-beku, makanan dalam tin, sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ikan dan barangan organik.

Selain itu, pelanggan boleh terus membeli makanan yang dilabel Cook For You dan memberikannya kepada chef di Jaya Grocer untuk dimasak serta-merta di hadapan mereka.

"Di sini, pekerja perlu membiasakan diri dengan bergerak lebih pantas kerana kebanyakan pelanggan mengejar masa. Hampir 1,500 pelanggan berkunjung ke Jaya Grocer pada setiap hari.

"Kami turut berbangga kerana dapat membantu pelanggan dalam dan luar negara untuk mengenali barangan tempatan dan antarabangsa yang berkualiti tinggi," jelasnya.

Harga semua barangan di Jaya Grocer, [email protected] telah ditetapkan sama dengan beberapa cawangannya yang lain. Setakat ini, Jaya Grocer telah membuka cawangan di Jalan Tun Razak dan Cheras di Kuala Lumpur, manakala beberapa cawangan lain di Selangor terletak di Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Sungai Buloh dan Bangi.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32