DUNIA

Cadangan pencen dikaji di UK

Cadangan pencen dikaji di UK


RATU ELIZABETH (kiri) dan suami baginda, Putera Philip meninggalkan Dewan Pertuanan di bangunan Parlimen, London semalam. - AFP


LONDON – Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan cadangan untuk melaksanakan semula skim pencen kolektif dan menyokong pelan kontroversi penggalian gas.

Pengumuman itu dibuat semasa pemerintah UK, Ratu Elizabeth II membuat ucapan bagi merasmikan sesi terakhir sidang Parlimen sebelum pilihan raya berlangsung pada tahun 2015.

Ucapan ratu itu merupakan kelompok terakhir undang-undang yang diusulkan oleh kerajaan campuran Parti Konservatif-Demokrat yang diketuai Perdana Menteri, David Cameron menjelang pilihan raya pada Mei tahun depan.

Namun, usul tersebut cuma melibatkan 11 rang undang-undang baharu iaitu yang kedua paling rendah dalam tempoh dua dekad.

Ratu Elizabeth, 88, yang memakai Mahkota Diraja dan jubah memanggil kedua-dua dewan Parlimen untuk menghadap.

“Anggota-anggota Dewan Pertuanan dan Dewan Rakyat, kerajaan beta menerusi program legislatif akan meneruskan pelan jangka panjangnya untuk mengukuhkan ekonomi dan membina masyarakat yang lebih saksama,” katanya.

Pembaharuan pencen tersebut membolehkan semua pekerja termasuk swasta dan persendirian menyertai skim pencen di UK.

Satu lagi usul yang diketengahkan dalam ucapan tersebut merupakan rang undang-undang menyokong proses penggalian dan pemecahan batu secara hidraulik bagi meneroka simpanan gas asli di negara itu.

Sebelum ini, kaedah tersebut mendapat bantahan kerana didapati merosakkan alam semula jadi.

Dalam pada itu, kerajaan pimpinan Cameron juga membentangkan rang undang-undang bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan jika seseorang wakil rakyat dipenjara atau didapati bersalah melakukan kesalahan serius oleh Dewan Rakyat.

Caj sebanyak 5 pence (RM0.25) untuk beg plastik akan diperkenalkan di England dalam usaha untuk mengurangkan bahan buangan. – AFP

Process time in ms: 47