INFINITI

Terap amalan kitar semula

Terap amalan kitar semula


TONG kitar semula disediakan bagi kemudahan pengunjug.


KEMPEN kitar semula yang telah dijalankan sekian lama jelas tidak memberi impak yang signifikan kepada penduduk Malaysia. Walau pelbagai kaedah dapat dilihat melalui media massa, keprihatinan dan kepedulian masyarakat tempatan masih kurang memberangsangkan.

Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini mendedahkan kadar kitar semula dalam negara berada pada tahap 10.5 peratus. Angka itu jauh ke belakang berbanding negara-negara maju yang mencatatkan sehingga 70 peratus.

Memburukkan situasi, jumlah pembuangan sampah dalam sehari pada tahun 2012 adalah antara 30,000 hingga 33,000 tan. Sedangkan jumlah tersebut merupakan jangkaan kementerian bagi tahun 2020.

Cuba menarik generasi muda untuk mewujudkan kesedaran mengenai alam sekitar dan kepentingan kitar semula, sekumpulan pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam di Selangor menganjurkan program Junk It! di Shah Alam baru-baru ini.


LAKMAN HAKIM duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada botol plastik.


Pengurus Projek, Lakman Hakim Azmi, 23, berkata, program tersebut bertujuan untuk mempromosi dan menjadikan amalan kitar semula sebagai satu gaya hidup terutamanya kepada golongan belia.

“Penerapan dari peringkat awal diharap dapat mewujudkan generasi yang peka terhadap isu-isu alam sekitar dan menjadikan kitar semula sebagai satu amalan positif dalam kehidupan mereka,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada acara tersebut.

Kreativiti

Bagi Muhammad Shaufie Mohd. Yatim, 21, bahan-bahan terbuang boleh menghasilkan satu seni yang kreatif dan boleh menjana pendapatan tinggi.


BARANGAN terpakai boleh diubah kepada perkakasan rumah seperti lampu hiasan (atas) atau seni luar yang mempesona (bawah).


“Bayangkan, bahan terbuang seperti besi buruk boleh dijadikan seni arca yang dijual pada harga yang tinggi,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam yang menyertai pertandingan seni kitar semula yang menawarkan hadiah utama bernilai RM1,000.

Turut serta dalam pertandingan tersebut ialah Mohammad Haziq Syawal, 21, yang menghasilkan sebuah lukisan cat di atas kotak terpakai.

“Banyak faedah yang boleh diperoleh menerusi amalan kitar semula. Ia termasuk mencipta barangan hiasan rumah yang diperbuat dari item-item terpakai,” kongsinya.

Tidak hanya menganjurkan aktiviti berkaitan kitar semula, pihak penganjur turut mengenakan peraturan yang melarang penggunaan beg plastik oleh peniaga gerai jualan yang menyertai program berkenaan.


BAHAN terbuang seperti tin kosong boleh dijadikan sebuah hasil seni yang boleh dijual pada harga yang tinggi.


“Disebabkan itu, kami menggalakkan pengunjung untuk membawa beg beli-belah mereka sendiri,” kata Lakman Hakim.

Mendapat sokongan dari program 1Malaysia For Youth (IM4U), acara kemuncak Junk It! adalah persembahan alat genderang yang menggunakan barangan kitar semula.

Ia dimainkan oleh pelajar-pelajar UiTM Shah Alam dan kumpulan bebas seperti No Noise Percussion yang pernah mengiringi penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna.

Process time in ms: 47