HIBURAN

Komitmen Shahir

Komitmen Shahir



MELIHAT redup raut wajah penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini sudah mampu menenangkan jiwa setiap orang. Perwatakannya yang lemah lembut dan sopan santun menyusun bicaranya menampakkan bahawa dia masih lagi naif untuk berhadapan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi.

Walaupun sudah empat tahun menapak dalam industri hiburan tanah air, Shahir dilihat masih belum lagi sampai ke tahap yang boleh dibanggakan.

Dia sendiri mengakui masih banyak lagi yang belum dikecapinya. Shahir kini bersedia untuk memberikan komitmen penuh kepada kariernya.

Mengakui dirinya sebelum ini dilihat kurang menonjol berbanding rakannya yang lain seperti Hafiz dan Aizat, nyata dia mempunyai alasannya yang tersendiri; meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Lelaki berusia 26 tahun ini berkata, tumpuan diberikan kepada keluarganya dan kesihatan mereka yang kurang memuaskan sebelum ini memaksanya untuk tinggal bersama kedua ibu bapanya.

"Sebelum ini, saya terpaksa tinggal di kampung bersama kedua ibu bapa saya untuk menjaga mereka. Keberadaan saya di kampung telah membataskan promosi single saya dan saya tidak mahu fokus saya hilang.

"Jadi, saya telah berbincang dengan pihak pengurusan untuk bercuti dan melepaskan kuasa kepada pihak pengurusan untuk mempromosikan single terbaharu saya. Saya tidak mempunyai niat menyorok atau mendiamkan diri, tetapi hanya bercuti dan meluangkan masa dan menjaga kedua ibu bapa saya.

"Tidak ada niat untuk berhenti daripada nyanyian memandangkan ia sumber pendapatan saya. Saya cuma berhenti sekejap disebabkan hal keluarga sahaja.

"Ya, tidak mungkin saya akan meninggalkan bidang yang saya minati selama ini" ujarnya ketika ditemui usai majlis pelancaran program realiti Akademi Fantasia musim ke-11 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai kesediaannya untuk memberi sepenuh komitmen terhadap bidang nyanyian, Shahir berkata, dia kini lebih tenang dan fokus kepada kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Saya masih lagi mempunyai baki kontrak bersama pihak pengurusan saya, Astro Entertainment Sdn. Bhd. dan segala tuntutan perlu dilunaskan. Saya bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya jika diperlukan.

"Keputusan sedemikian diambil berikutan saya rasa terhutang budi kepada Astro kerana Astro merupakan pihak yang bertanggungjawab mencungkil bakat saya dan membawa saya ke satu tahap yang sebelum ini saya tidak impikan," katanya.

SHAHIR sedar keberadaannya dalam industri hiburan masih memerlukan banyak usaha untuk memantapkan masa depan kariernya sebagai seorang penyanyi.


Kesal

Bercerita mengenai kontroversi yang melanda dirinya apabila dikaitkan dengan aktres terkenal, Erra Fazira, Shahir ternyata kesal apabila kenyataannya dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

"Saya tidak sangka perkara ini mampu menjadi serius. Pada hemat saya, kenyataan yang diberikan tidak sama langsung seperti apa yang saya cakap.

"Maksud saya, apabila saya mengakui memang kami berkawan, namun saya tidak mempunyai niat perasaan lebih daripada itu.

"Mungkin ada sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu ini serius tapi pada saya ia tidak lebih daripada kawan.

"Ya, saya mengaku kerap berjumpa dengan dia (Erra) kebelakangan ini memandangkan dia pernah menawarkan saya untuk memegang salah satu watak dalam pementasan teater.

"Pementasan teater tersebut memerlukan seseorang itu untuk menyanyi dan saya cuma meminta pendapatnya. Bagaimanapun niat untuk memegang watak Hang Nadim dalam pementasan tersebut tidak kesampaian disebabkan kekangan masa.

"Di sini ingin saya tegaskan, saya menafikan spekulasi yang menyatakan kami sedang mengenali antara dengan lebih dekat dan wujud perasaan cinta antara kami berdua. Perjumpaan tersebut hanya atas dasar urusan kerja dan tidak lebih daripada itu," jelasnya menjernihkan keadaan.

Dalam pada itu, Shahir berharap agar tidak timbul lagi spekulasi tersebut kerana dia merupakan seorang yang mudah mesra dengan semua orang dan tidak ada sebab untuk dia menyembunyikan perhubungannya dengan sesiapa pun.

"Saya tidak mempunyai niat untuk menyembunyikan persahabatan saya. Bagi saya tidak salah untuk saya berkawan dengan sesiapapun asalkan tidak melebihi batas-batas pergaulan," ujarnya.

Menjawab pertanyaan sesetengah pihak yang mengatakan Shahir meminati wanita yang lebih berusia daripadanya apabila sebelum ini dia dikaitkan dengan pelakon Rozita Che Wan, lelaki ini berkata, mungkin pihak tersebut tidak mengenalinya dengan lebih dekat.

Jelasnya: "Pihak tersebut hanya melihat saya berkawan dengan wanita yang lebih berusia daripada saya tetapi pada masa yang sama mereka tidak melihat bahawa saya berkawan dengan semua orang termasuk orang yang lebih muda daripada saya."


SHAHIR mahu spekulasi hubungan baiknya dengan Erra Fazira dihentikan.


Lagu ibu

Ditebak dengan soalan mengenai perkembangan terbaharunya, Shahir berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya Cerita Kita yang menjadi lagu runut bunyi drama Adam dan Hawa.

"Saya masih lagi dalam rangka promosi single Cerita Kita, dan setakat ini sambutan daripada peminat sangat menggalakkan. Pada masa yang sama juga saya kini dalam perangkaan untuk mengeluarkan single terbaharu," katanya.

Mengulas mengenai single terbaharu tersebut, ia masih lagi dalam proses draf awal dan ia merupakan hasil tangan daripada Shahir sendiri. Single terbaharu tersebut dijangkakan akan dikeluarkan menjelang Julai ini.

Mengakui dia masih lagi berjinak-jinak dalam penulisan lirik, Shahir berkata, pengisian lirik tersebut bertemakan kepada pengorbanan seorang ibu. Menurutnya lagi, inspirasi dan ilham untuk menulis lagu tersebut diambil berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Saya cuba untuk melakukan kelainan dan meletakkan sesuatu yang saya sendiri kehendaki sepanjang perjalanan karier muzik saya.

"Saya juga ada meminta pendapat rakan-rakan lain dan membuat kajian melalui pembacaan untuk menulis lirik ini.

"Bagaimanapun, bercakap mengenai melodi dan muzik, ia masih lagi dalam proses perbincangan dan saya masih belum pasti melodi yang sesuai untuk lagu tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keinginannya untuk berlakon, Shahir berkata, buat masa sekarang dia harus menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian.

"Saya ada menerima tawaran untuk berlakon untuk filem atau drama. Namun, saya harus menolaknya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian. Hal ini kerana saya takut hilang fokus terhadap kedua-dua bidang." ujarnya.

Process time in ms: 47