DUNIA

Tabik filem <I>The Hunger Games</I> popular di Bangkok

Tabik filem The Hunger Games popular di Bangkok


DUA anggota penunjuk perasaan antirampasan kuasa memberikan tabik hormat tiga jari di Bangkok pada Ahad lalu.


BANGKOK - Para penunjuk perasaan antirampasan kuasa di Thailand akan ditangkap jika mereka memberikan tabik hormat seperti dalam adegan filem Hollywood, The Hunger Games.

Tabik hormat yang menggunakan tiga jari itu kini menjadi simbol penentangan terhadap rampasan kuasa yang dilakukan tentera pada 22 Mei lalu.

"Menunjukkan tiga jari telah menjadi simbol untuk mendesak hak asasi politik di sebuah negara yang diperintah seorang individu (Panglima Angkatan Tentera Thailand, Prayuth Chen-ocha)," kata seorang aktivis penunjuk perasaan, Sombat Boonngamanong di akaun Facebook miliknya.

Sombat meminta orang ramai supaya memberikan tabik hormat dengan menggunakan tiga jari itu sebanyak tiga kali sehari pada pukul 9 pagi, 1 tengah hari dan 5 petang di tempat yang tiada kehadiran anggota polis atau askar.

"Marilah kita meningkatkan pergerakan antirampasan kuasa tentera tiga kali sehari," katanya.

Menurutnya, tabik itu perlu dibuat selama 30 saat.

Beliau dikehendaki junta tentera kerana terlibat dalam penunjuk perasaan antikerajaan sebelum ini sehingga mengakibatkan rampasan kuasa tentera berlaku bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan.

Niwattumrong mengambil alih jawatan itu daripada Yingluck Shinawatra yang disingkirkan menerusi Mahkamah Perlembagaan yang mendapati beliau bersalah kerana menukarkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri pada tahun 2011 demi kepentingan politiknya.

Namun, tentera melancarkan rampasan kuasa bagi menstabilkan keadaan politik di Thailand kerana kerap berlaku tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok.

Di Thailand, sebahagian penunjuk perasaan menganggap tabik itu sebagai menyokong moto revolusi Perancis iaitu kebebasan, persamaan dan persaudaraan.

Filem The Hunger Games mengisahkan tentang satu pertandingan yang memerlukan setiap peserta saling berbunuhan jika mereka mahu menjadi pemenang. - Agensi

Process time in ms: 32