DUNIA

AS bantu kerajaan Palestin

AS bantu kerajaan Palestin


HAMDALLAH (tengah) mempengerusikan mesyuarat Kabinet Palestin di Ramallah semalam.


WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberitahu kelmarin, pihaknya merancang untuk mengadakan kerjasama dan menyalurkan bantuan kepada kerajaan perpaduan baharu Palestin.

Keputusan tersebut menyebabkan Israel turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan AS itu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin menyaksikan majlis mengangkat sumpah kerajaan perpaduan kelmarin.

Perjanjian damai itu ditandatangani antara Pihak Berkuasa Palestin dengan pergerakan Hamas yang menentang Israel.

Selepas penubuhan kerajaan perpaduan itu, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh mengumumkan untuk mengundurkan diri.

Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri baharu, Rami Hamdallah berlangsung di Ramallah semalam.

AS sebelum ini melihat Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas.

Kongres AS sendiri menyekat dana kepada Palestin yang berjumlah kira-kira AS$500 juta (RM1.6 bilion) setahun.

"Ketika ini, Presiden Mahmoud Abbas telah membentuk kerajaan teknokrat yang tidak termasuk menteri-menteri gabungan dengan Hamas," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki kepada pemberita pada sidang media.

"Apa yang kita tahu, kita memang berhasrat untuk bekerja dengan kerajaan itu. Namun, kita juga akan sentiasa melihat dengan teliti bagi memastikan Abbas berpegang kepada apa yang dikatakannya," katanya.

Beliau merujuk merujuk tentang komitmen Abbas untuk berdamai dengan Israel.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau bimbang dengan keputusan AS mahu mengekalkan hubungan dengan kerajaan perpaduan Palestin yang baharu.

Justeru, Netanyahu menggesa dunia supaya tidak bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin kerana Abbas disokong Hamas yang didakwa telah membunuh ratusan rakyat Israel. - Agensi

Process time in ms: 31