RENCANA UTAMA

Ubah pangsapuri kepada restoran

Ubah pangsapuri kepada restoran


COOKAPP membolehkan individu bertemu rakan baharu dan menikmati hidangan enak disediakan di kediaman cef-cef yang mengambil bahagian.


SETIAP malam Ahad, Giuseppe Marrone akan mengajar sekumpulan orang yang tidak dikenali cara membuat gnocchi yang sempurna sambil menghirup koktel di sebuah pangsapuri di New York.

Bekas pengurus restoran The Ritz yang berusia 29 tahun itu telah membuka restoran di rumahnya khusus untuk pencinta makanan yang mengimpikan pengalaman majlis makan malam di New York.

Matlamat utama Marrone bersama rakannya, Chiara Mortaroli, 28, ialah untuk membuka sebuah restoran dan memperkenalkan keenakan hidangan makanan Itali kepada umum.

Di sebuah bandar raya yang kaya dengan restoran hebat dan hanya segelintir individu yang mampu memiliki pangsapuri besar, makan di rumah adalah suatu yang luar biasa sehingga ada pihak yang sanggup mengeluarkan wang untuk dijemput menikmatinya.

Kawan baharu

Trend ini diperkenalkan menerusi laman CookApp yang bermula di Argentina dan berkembang ke New York sejak tiga bulan lalu, membenarkan cef-cef restoran mengubah kediaman mereka kepada sebuah restoran.


PELANGGAN boleh membuat pilihan menu mengikut cita rasa mereka melalui laman CookApp.


Mortaroli yang bekerja di sebuah galeri seni di kejiranan Chelsea telah menemui CookApp di laman sosial Facebook. Dia merasakan aplikasi tersebut merupakan satu cara yang baik untuk menggabungkan minatnya dalam bidang masakan dan bertemu orang baharu.

"Ini adalah majlis makan malam kali kedua yang kami anjurkan. Saya pernah menyertai acara serupa sebagai tetamu sebanyak dua kali sebelum ini.

"Pada mulanya, kami hanya membuat majlis makan malam bersama rakan-rakan dalam satu kumpulan yang besar dengan masing-masing membuat sumbangan wang.

"Lama-kelamaan, mereka membuat permintaan untuk membawa rakan mereka bersama," kata Mortaroli sambil sibuk menyiapkan hidangan tart lemon.

Menurut Marrone, beliau gemar bertemu rakan baharu, terutamanya yang mempunyai budaya berbeza, dan menggesa Mortaroli memulakan usaha tersebut bersama.

Personaliti yang mesra dan bersahaja kedua-dua rakan itu menarik hati lapan orang tetamu yang turut diajak menyediakan hidangan gnocci bersama mereka.

Sekiranya tiada internet, minat dalam hidangan Itali dan bertemu rakan baharu, kumpulan tetamu yang terdiri daripada golongan profesional muda itu pasti tidak akan bertemu.

Berhimpun mengelilingi sebuah meja di ruang tamu, setiap tetamu diberi resipi hidangan gnocci dan tart lemon dalam bentuk gulungan kertas diikat reben.


MARRONE (kiri) mengajar cara-cara membuat gnocchi kepada individu yang tidak dikenali di rumahnya.


Suasana intim

Majlis makan malam bermula dengan hidangan salad makanan laut, bruschetta dan pastri ikan salmon sebelum sajian gnocchi and ragu.

"Saya sangat sukakannya. Saya menganggap acara ini sesuatu yang sangat menyeronokkan," ujar Lauren Ruotolo, seorang eksekutif di sebuah syarikat penyiaran.

Menetap di Gramercy Park, dia tertunggu-tunggu peluang untuk melakukan suatu kelainan di New York, di samping mempelajari kuisin Itali.

Dalam pada itu, Jeni Kreiger, 34, seorang pemandu pelancong yang mempunyai pengalaman makan malam di beberapa restoran terbaik di New York memaklumkan bahawa dia lebih gemarkan suasana intim yang disediakan di apartmen tersebut.

Beliau mengakui sudah pandai membuat gnocchi di rumah dan kemahiran itu tidak boleh dimiliki jika datang makan malam di restoran.

Sementara itu, menurut pengasas bersama CookApp, Pedro Rivas, laman tersebut diperkenalkan di New York pada Februari lalu susulan kejayaan di Buenos Aires, Argentina.

Sehingga kini 57 acara makan malam telah dianjurkan di New York.

"Bandar raya yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak lapan juta orang ini merupakan pasaran yang menarik dengan kekayaan budaya dan warisan kulinari serta obses penduduknya terhadap perkara-perkara baharu," katanya.

Rival menambah, kebanyakan pelanggan Cookapp terdiri daripada golongan wanita yang berumur antara 25 hingga 45 tahun. Ini mungkin disebabkan wanita lebih dekat dengan budaya makanan.

Kebanyakan daripada mereka menyertai CookApp melalui Facebook. Cef-cef yang berminat perlu mendapatkan kebenaran CookApp sebelum menganjurkan majlis makan malam pertama mereka.

"Tiga faktor pemilihan ialah tahap kebersihan dan keselamatan lokasi, kemahiran memasak dan sikap mesra cef tersebut," ujar beliau. - AFP

Process time in ms: 62