RENCANA UTAMA

Dokumen fotografi satu abad Jerman

Dokumen fotografi satu abad Jerman

Projek Century Camera akan merakamkan foto-foto perubahan landskap pembangunan di Berlin.


WAJAH Tembok Berlin hari ini yang pernah memisahkan dua Jerman.


SETIAP kepingan foto yang diambil meninggalkan kesan peribadi kepada seseorang individu. Tetapi, apakah impaknya kepada pembangunan sesebuah negara melalui sekeping gambar?

Persoalan tersebut menjadi pertanyaan kepada projek baharu seorang artis konseptual dari Amerika Syarikat, Jonathan Keats.

Menerusi projek yang dinamakan Century Camera itu, dia mahu orang ramai melihat perubahan yang berlaku di sekeliling mereka akibat sektor pembangunan.

Menggunakan kamera dengan dedahan cahaya yang panjang, projek itu akan mendokumenkan perubahan landskap di Berlin sehingga 100 tahun akan datang.

Bagi menjayakan usahanya, lelaki berusia 42 tahun itu memberikan 100 kamera lubang jarum kepada sukarelawan dan mengarahkan mereka meletaknya di lokasi-lokasi strategik sekitar Berlin.


BERLINER Dom merupakan gereja kuno berusia 300 tahun yang menjadi antara mercu tanda sejarah di Berlin.


Rahsia

Selain itu, para sukarelawan diminta untuk merahsiakan lokasi itu dan hanya 'mewariskannya' kepada orang terdekat jika sudah lanjut usia. Proses yang sama dilakukan kepada individu seterusnya.

Mereka yang berjaya dalam misi tersebut, Keats menjanjikan setiap gambar-gambar akan dipamerkan di galeri Team Titanic dan menerima kembali wang deposit pembelian sebanyak RM45.

Malah, tarikh pameran foto-foto itu telah ditetapkan pada 16 Mei 2114.

Eksperimen itu, menurut Keats, mahu meneliti kesan yang berlaku pada masa hadapan akibat keputusan dibuat pada hari ini.

"Malangya, saya tidak dapat menghadiri pameran Century Camera itu nanti.

"Tetapi generasi masa depan akan menerima kesan yang kita lakukan sekarang," ujarnya.

Ringkas dan mempunyai ketahanan yang baik, Keats menerangkan kamera yang diperbuat daripada tin keluli itu menggunakan kertas hitam, menggantikan medium tipikal iaitu kertas fotografi.

Ia akan pudar jika berdepan cahaya yang terlalu fokus dan rendah melalui lubang pin kamera tersebut.

Sebagai contoh, jika kamera diletakkan di hadapan sebuah rumah yang akan diruntuhkan 25 tahun akan datang dan lokasi sama dibangunkan bangunan pencakar langit, imej rumah tersebut bukan hanya bayang-bayang sahaja.

KEATS menunjukkan tin keluli yang akan diisi dengan kamera lubang jarum dikenali sebagai Century Camera.


"Imej pencakar langit itu akan menjadi lebih terang kerana efek dedahan cahaya yang digandakan," terang Keats.

Perubahan-perubahan kecil seperti aktiviti harian manusia tidak akan diambil dan mengganggu proses tersebut.

Walaupun projek itu pada dasarnya nampak mudah, tetapi bagi Keats pasti banyak masalah yang bakal dihadapi sepanjang eksperimen tersebut.

Salah satunya ialah teknologi yang ada tidak pernah diuji kaji dan hanya berpandukan kepada andaian semata-mata.


LAPANGAN Terbang Tempelhof di Berlin ini merupakan tinggalan sejarah era Perang Dingin di Jerman yang perlu dipelihara sejarahnya.


Lokasi

Cabaran kepada para sukarelawan adalah memilih lokasi yang tepat dan bersesuaian untuk tujuan pemerhatian selama satu abad itu.

Bagaimanapun, perancangan rapi telah diatur dengan meluaskan projek itu ke beberapa bandar lain. Keats juga sedang berurusan untuk mendapatkan kerjasama daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setidak-tidaknya, rakyat Jerman telah mengambil langkah terhadapan dalam mendokumentasikan sejarah negara itu menerusi usaha kecil ini kerana nilai tinggalannya pada masa hadapan cukup besar.

Selepas peristiwa runtuhan Tembok Berlin suku abad lalu, ibu negara Jerman itu telah melalui banyak perubahan yang berlaku hampir suku abad itu. - AFP

Process time in ms: 47