RENCANA UTAMA

Fosil dinosaur terbesar

Fosil dinosaur terbesar


ORANG ramai menyaksikan fosil dinosaur berupa tulang kaki besar berukuran 2.4 meter.


AHLI paleontologi di wilayah Pantagonia, kawasan pedalaman Argentina telah menemui fosil dinosaur yang disifatkan terbesar pernah dijumpai setakat ini.

Penemuan fosil yang tersorok di celah-celah gunung itu dijangka mampu memberi penjelasan tentang kehidupan prasejarah.

Mahkluk yang dipercayai spesies baharu Titanosaur itu digambarkan mempunyai leher panjang, sauropod berekor panjang, berjalan menggunakan empat kaki dan hidup pada zaman batu kapur kira-kira 90 juta tahun dahulu.

Penyelidik mengatakan dinosaur yang memakan tumbuh-tumbuhan itu mempunyai berat badan bersamaan 14 ekor gajah Afrika atau kira-kira 100 tan dan menjangkau sehingga 40 meter panjang.

Rekod mahkluk terbesar sebelum ini dipegang juga di Argentina ialah Argentinosaurus yang dianggarkan berukuran 36.6 meter panjang.

Tulang paha fosil Titanosaur baharu tersebut nampak lebih besar dan panjang berbanding seorang ahli paleontologi yang berbaring di sisinya.

Tulang-tulang sekurang-kurangnya tujuh ekor dinosaur termasuk beberapa ekor dipercayai berusia muda telah ditemui di tapak berkenaan.

"Ini penemuan yang paling lengkap bagi jenis dinosaur gergasi di dunia bahkan satu penemuan bersejarah bagi sains," kata Jose Luis, salah seorang daripada lapan ahli sains yang mengambil bahagian dalam kajian itu.

Fosil tersebut ditemui secara tidak sengaja pada tahun 2011 oleh seorang pekerja ladang di kawasan pedalaman di wilayah Pantagonia di Chubut iaitu 1,300 kilometer di selatan Buenos Aires.

Fosil pertama yang ditemui pekerja tersebut ialah tulang kaki besar berukuran 2.4 meter.

Gambaran jelas

Hasil maklumat tersebut, penggalian mula dilancarkan pada Januari tahun lalu yang kemudiannya membawa kepada penemuan tulang ekor yang lengkap, batang tubuh dan leher.

Menerusi fosil tersebut, ia akan memberi gambaran jelas tentang rupa keseluruhan haiwan itu sama seperti semasa ia hidup.

Carballido, 36, yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik Argentina dan Sepanyol memberitahu, kumpulan tersebut telah menemui 10 vertebra batang tubuh, 40 tulang ekor, bahagian leher dan kaki yang lengkap.


DINOSAUR dipercayai spesies baharu Titanosaur ini digambarkan berleher panjang, sauropod berekor panjang dan mempunyai empat kaki.


"Sehingga kini, apa yang diketahui di seluruh dunia tentang sauropod adalah daripada penemuan pecahan-pecahan fosil.

"Setakat ini, kita hanya dapat mengeluarkan kira-kira 20 peratus fosil dari tapak itu dan percaya lebih banyak tulang belum lagi ditemui," kata ahli paleontologi dari Muzium Egido Feruglio di selatan bandar Trelew yang menyifatkan penemuan itu sebagai luar biasa.

Pada masa sama, para penyelidik juga menemui apa yang mereka percaya adalah sisipan otot yang secara tidak langsung akan membantu mereka membina semula bentuk otot mahkluk itu sekali gus mengenal pasti jumlah tenaga yang diperlukan untuk memindahkannya.

Selain tinggalan rangka, cetakan fosil daun dan batang turut ditemui dan ia dijangka boleh membantu penyelidik membina semula ekosistem pada masa itu.

"Kita akan dapat melakukan pembinaan semula dengan sangat tepat dan menjawab banyak persoalan," kata Carballido.

Keputusan pertama

Setakat ini, spesies baharu itu masih kekal tidak dinamakan dan ahli saintis menganggarkan mereka akan menerbitkan keputusan pertama pada tahun depan.

"Kajian itu akan dilakukan dalam beberapa peringkat. Pertamanya, kami akan membentangkan spesies baharu dan ciri-ciri karakternya," kata Carballido sambil menambah, kajian mengenai perincian biologi haiwan dan cara ia membesar turut dilaksanakan.

Sementara itu, Pakar Antropologi dan Fosil di Muzium Sejarah Semula Jadi London, Paul Barret mengingatkan bahawa dakwaan dinosaur tersebut adalah terbesar pernah ditemui masih perlu disahkan.

"Ini satu penemuan inspirasi baharu daripada dinosaur yang benar-benar besar.

"Bagaimanapun, kita perlu tahu lebih lanjut mengenai saiz keseluruhan, nisbah rangka dan menggunakan beberapa kaedah berbeza untuk menyiasat kemungkinan lebarnya sebelum memutuskan ia dinosaur terbesar," kata Barret. - AP

Process time in ms: 47