PESONA

Sabar dan solat jalan keluar atasi masalah

Sabar dan solat jalan keluar atasi masalah

WANITA solehah tidak pernah jemu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dalam sebuah perkahwinan. - Gambar hiasan


SALAM dari Madinah al-Munawwarah. Seorang wanita muda sedang mengandungkan anak sulungnya. Dalam keadaan susah payah menunggu, dia masih bekerja. Pulang ke rumah, dia juga perlu menyediakan makan malam untuk suaminya.

Pada hujung minggu, dia melakukan tugas seperti membasuh kain baju, menyidai, melipat dan menggosoknya. Terasa berat sekali tugas yang dipikul sebagai isteri.

Duhai wanita yang dianugerahkan suami kepadanya. Bukankah dikau pernah memohon kepada Allah untuk ditemukan jodohmu?

Usahlah berkeluh-kesah. Bukankah itu suatu tanggungjawab yang diamanahkan kepadamu sebagai seorang isteri. Suami itu anugerah Allah yang dimohon olehmu. Mengadulah kepada yang mengurniakan anugerah itu dengan bersabar serta bersolat. Bukankah Allah telah menyatakan manual di dalam al-Quran bagi menyelesaikan masalah ini?

Dalam surah al-Baqarah, ayat 153 Allah berfirman: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

Keletihan

Seorang ibu muda yang sarat mengandung anaknya yang kelima terduduk keletihan apabila pulang dari pejabat kerana melihat keadaan rumahnya yang bersepah dari ruang tamu hingga ke dapur.

Bertambah letih apabila melihat anak-anak kecil yang berumur dari satu hingga lima tahun menangis kelaparan dan ada yang menangis kerana berkelahi sesama sendiri. Bertambah haru apabila pembantu rumah pula pulang ke kampung halaman dan tidak kembali.

Bagaikan mahu menangis meratapi diri. Rumah perlu diuruskan, anak-anak harus dimandikan dan makanan perlu dimasak. Sedangkan bantuan kudrat suami tidak memadai. Kepada siapa mahu mengadu?

Duhai wanita yang dianugerahkan anak dan suami. Bukankah dikau pernah memohon kepada Allah untuk dikurniakan zuriat keturunan bersama jodohmu?

Usahlah berasa gundah-gulana. Bukankah itu satu tugas yang telah dipertanggungjawabkan ke atasmu sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anakmu? Mengadulah kepada Allah yang Maha berkuasa. Mintalah pertolongan dengan penuh kesabaran dari-Nya dan perbanyakkan solat.

Sungguh, Allah Maha Mendengar apa yang dipohonkan. Kemudian Dia memerhatikan bagaimana kita menangani suatu yang telah dimakbulkan-Nya. Apakah kita mahu berkeluh-kesah dan berasa gundah? Tidak tahukah kita bersyukur?

Duhai wanita yang bergelar isteri dan ibu. Mengapakah kita tidak belajar untuk bersyukur?

Tahukah dirimu wahai wanita yang telah diberikan nikmat rezeki dengan berumah tangga. Berapa ramai di luar sana rakan sejenis yang seusia masih belum bertemu jodohnya?


KAUM wanita perlu sentiasa bermuhasabah diri dalam setiap perkara yang dilakukan sepanjang kehidupan ini. - Gambar hiasan


Berapa ramai juga rakan-rakan yang sudah berumah tangga namun masih belum dikurniakan cahaya mata? Sedangkan mereka dihambat usia. Kudrat semakin kurang, kulit mengendur, wajah mengedut dan rambut mulai beruban. Mengapakah kita tidak mahu belajar bersyukur?

Duhai wanita yang bergelar nenek, ibu dan isteri. Di manakah dihabiskan usia tua berubanmu?

Muhasabah

Duduk diam-diam dan muhasabahlah diri sendiri. Apakah kita masih disibukkan dengan urusan rumah tangga, suami, anak menantu dan cucu-cicit? Adakah ruang untuk dirimu sendiri dan Tuhanmu kerana kepada-Nya kamu akan kembali.

Duduk diam-diam dan bertanya di dalam hati. Apakah daku telah melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah? Adakah lagi yang masih tertinggal dan belum dilaksanakan? Sudahkah daku bersungguh-sungguh meminta pertolongan Allah untuk melakukan dan meninggalkannya dengan penuh kesabaran serta perbanyakkan bersolat?

Ramai wanita yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang diidamkannya di atas dunia. Subhanallah. Ramai yang berjaya. Ada yang menduduki jawatan tertinggi, menjadi usahawan jutawan dan mencapai pangkat serta darjat kemuliaan yang diinginkan.

Ramai juga yang berusaha meninggalkan segala kesukaan semata-mata untuk mencapai tahap susuk badan, berat timbangan atau wajah idaman. Mereka sanggup menahan lapar dahaga, menolak makanan kegemaran dan meninggalkan aktiviti luar yang memanah cahaya ke muka semata-mata kerananya.

Cubalah pula tanyakan pula tentang perkara-perkara suruhan atau larangan selain dari yang diwajibkan oleh Allah. Cubalah kita bertanya tentang amalan bangun solat tahajud, solat tasbih, solat duha atau amalan puasa sunat.

Cubalah kita sarankan agar tinggalkan aktiviti window shopping atau menonton siri televisyen yang melalaikan. Cubalah perhatikan reaksi bahasa badan mereka.

Tiada yang menghairankan. Ramai yang merasakan tidak mengapa disibukkan dengan urusan dunia. Namun, berkira dengan memberikan pelbagai alasan apabila ditanyakan urusan yang seharusnya disibukkan untuk persediaan hari akhirat.

Ramai yang percaya dengan berusaha bersungguh-sungguh, segala apa yang mahu dicapai atau ditinggalkan boleh dilakukan. Namun, tidak ramai yang percaya memohon pertolongan Allah dengan jalan sabar serta solat boleh merungkai permasalahan.

Ramai yang menyebut di dalam sembahyang ungkapan hanya Allah yang disembah tempat mereka meminta pertolongan. Namun tidak menusuk ke hati kerana tidak faham maknanya.

Duhai wanita yang dirahmati Allah. Mintalah pertolongan Allah dengan bersabar dan solat.

Process time in ms: 94