RENCANA UTAMA

Mandian jakuzi buat si kecil

Mandian jakuzi buat si kecil



KAKI kecil itu lincah menendang riak air di dalam tab mandi manakala tangannya ligat menggapai bola-bola kecil beraneka warna yang terapung di permukaan air.

Berbekalkan pelampung yang disemat kemas di sekeliling leher, Muhammad Fareeq al-Fateh Mohd. Azha cuba mengimbangkan tubuh kecilnya sambil berenang di dalam air.

Sesekali bibir comelnya menguntumkan senyuman tanda dia menikmati masa bermain air ketika menjalani sesi terapi spa di Hippopo Baby Spa & Wellness yang terletak di pusat beli-belah Centrepoint Bandar Utama di Petaling Jaya, Selangor.

Gelagat bayi lelaki kepada Mohd. Azha Ab. Halim dan Siti Fadzilah Mohd. Azami itu turut membuatkan pasangan suami isteri itu teruja melihat reaksi anak mereka terhadap rawatan yang diberikan.

Menurut Siti Fadzilah, 29, dia menghantar anak sulungnya itu ke spa berkenaan bagi membantu memulihkan tahap kesihatannya selain menggalakkan perkembangan otak serta rangsangan deria.

Katanya, anaknya yang kini berumur empat bulan itu pernah mengalami demam kuning dengan bacaan tahap bilirubin yang agak tinggi pada minggu pertama kelahiran.

Bilirubin ialah pigmen berwarna kuning yang dihasilkan menerusi pencernaan dan penguraian komponen dalam darah yang mengakibatkan jaundis atau demam kuning kepada bayi apabila parasnya melebihi jumlah normal.

BAYI akan dimanjakan dengan urutan lembut sebaik selesai sesi mandian.


"Biarpun telah pulih sepenuhnya, saya bimbang penyakit demam kuning itu akan memberikan kesan kepadanya pada masa akan datang, jadi, sebab itulah saya bawa dia ke sini," ujarnya kepada kru Jurnal.

Bagi Chew Foong Li, 32, dia menjadikan terapi bayi di spa berkenaan sebagai rutin dalam kehidupan anak sulungnya yang kini berusia empat bulan.

Menurut ibu muda itu, dia akan datang dua kali seminggu ke spa tersebut bersama anaknya, Elijah Kew, untuk berenang dan mendapatkan urutan badan.

"Saya dapat lihat perkembangan anak saya selepas lebih dua bulan mengikuti terapi ini. Bukan sahaja tulang dan tubuhnya lebih kuat, malah dia juga boleh tidur dengan lena pada setiap malam dan mempunyai sistem percernaan yang lebih baik," ujarnya tersenyum.

Pengasasnya, Nick Goo, berkata, dia mendapat idea untuk menubuhkan spa tersebut selepas membawa anaknya yang berusia tiga bulan ke sebuah spa bayi di Singapura.


URUTAN dapat memanfaatkan kesihatan bayi dalam pelbagai aspek antaranya mengawal kitaran tidur dan jaga.


Tab mandi

Menurutnya, terdapat lebih 10 buah spa untuk bayi yang menyediakan pakej mandian kolam dan urutan di sana.

"Semasa melihat sendiri keseronokan anak bermain air di dalam kolam dan melalui terapi urutan yang dilakukan selama 30 minit di spa tersebut, saya sangat teruja dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Bertitik tolak dari saat itu, Nick dan isterinya bersepakat untuk membuka sebuah spa yang menawarkan pakej mandian dan urutan bayi, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menurutnya, sesi memanjakan diri merangkumi aktiviti berenang dan terapi urutan lazimnya memakan masa lebih kurang satu jam.

"Bayi dikehendaki melakukan sesi regangan selama lima minit sebelum mandi bagi mengelakkan kekejangan otot. Kemudian mereka akan dipakaikan dengan lampin mandian khusus yang boleh didapati dalam saiz S hingga L," jelasnya.

Mula beroperasi sejak September lalu, spa itu menyediakan dua jenis tab mandi khusus untuk keselesaan bayi.

Menurut Nick, tab mandi kecil dikhaskan untuk bayi berusia satu hingga enam bulan, manakala tab lebih besar digunakan untuk bayi berusia tujuh bulan hingga tiga tahun.


SESI renang di dalam jakuzi menggalakkan tindak balas bayi terhadap riak airnya yang sentiasa berpusar.


"Tab besar turut dilengkapi dengan jakuzi untuk menggalakkan tindak balas bayi terhadap riak airnya yang sentiasa berpusar," ujarnya.

Tambah Nick, air yang digunakan untuk tab mandi juga akan ditukar secara berjadual bagi memastikan tahap kebersihan dan kualitinya terpelihara serta selamat untuk kegunaan bayi.

"Air bagi tab mandi besar akan ditukar setiap hari sementara tab mandi lebih kecil, airnya ditukar setiap kali selepas digunakan.

"Selain itu, ia turut dilengkapi dengan penapis air dan kandungan ioniser bagi menghindarkan bau busuk dan menghalang pembiakan bakteria," jelasnya.

Nick memberitahu, air suam antara suhu 33 hingga 37 darjah Celcius digunakan ketika sesi mandian.

"Meskipun demikian, ibu bapa diberi pilihan sama ada untuk memilih air mandian sejuk atau suam bagi bayi mereka," katanya.

Sesi mandian biasanya berlangsung selama 20 minit.

Kitaran tidur

Bertutur lanjut, Nick berkata, selesai sesi mandian, bayi akan dimanjakan dengan urutan yang dilakukan oleh perunding fisioterapi profesional selama 20 hingga 30 minit lagi.

Menurutnya, urutan tersebut menggunakan minyak biji anggur, minyak daun pegaga dan minyak musk yang diimport dari Taiwan.

Produk organik dan hipoalergenik digunakan kepada bayi bagi mengelakkan kerengsaan pada kulit bayi yang sensitif.

"Bayi yang selalu diurut akan mempunyai kualiti tidur yang lebih baik, tidak mudah tertekan dengan keadaan sekeliling dan lebih tenang," katanya.

Seorang ahli fisioterapi, N. Sashreena, 22, berkata, urutan dapat memanfaatkan kesihatan bayi dalam pelbagai aspek.

Katanya, antara kebaikannya termasuklah membantu bayi berehat dengan mengawal kitaran tidur dan jaga bayi, memperbaik peredaran darah dan membantu sistem penghadaman.

Malah, ia dikatakan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan tumbesaran bayi khususnya kelahiran pramatang.

Bahkan katanya, bayi yang selalu didedahkan dengan aktiviti sihat seperti berenang akan membantu menyihatkan jantung dan paru-paru, di samping meningkatkan pertumbuhan minda.

Dalam pada itu, Sashreena mengingatkan ibu bapa agar memastikan bayi mereka berada dalam keadaan yang sihat sebelum datang menjalani rawatan di spa.

"Bayi mestilah tidak menghidap sebarang penyakit seperti demam, selesema dan batuk.

"Mereka juga perlu bebas daripada mengambil sebarang suntikan dalam tempoh tiga hari sebelum menjalani terapi," jelasnya sambil berkata, spa tersebut turut menyediakan ruang khas bagi ibu yang inginkan privasi ketika menyusukan anak mereka.

Harga untuk satu sesi mandian ialah RM48 dan urutan pula RM38 sementara RM86 untuk pakej terapi bagi kedua-dua servis berkenaan.

Selain di Centrepoint Bandar Utama, spa ini juga mempunyai cawangan di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur dan bakal dibuka di Setia Walk, Puchong, Selangor.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 31