PESONA

Resipi inovasi sajian kegemaran

Resipi inovasi sajian kegemaran


CEF FAKHRUL menunjukkan demonstrasi membuat bebola keju berhias kepada peserta sebelum cabaran dimulakan.


MASING-MASING menundukkan wajah kerana malu apabila pengacara terkenal, Nazrudin Habibur Rahman atau Naz ingin memilih peserta dalam kalangan rakan media untuk menyertai acara memasak.

Selepas bergelak ketawa melihat aksi rakan media yang saling menunjukkan rakan di sebelah, akhirnya enam daripada mereka bersetuju untuk menyarungkan apron kuning tertera nama syarikat dapur halal terbesar, Brahim's Airline Catering (BAC).

BAC merupakan pembekal sajian kepada 36 syarikat penerbangan antarabangsa termasuklah Air France, AirAsia X, Turkish Airline, Cathay Pacific, Lufthansa, China Airlines dan Japan Airlines.

Peserta kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan yang mewakili dua cef profesional dari BAC, iaitu Chef Eksekutif Pastri Scott Belfield dan Chef Eksekutif Sous Fakhrul Aliff Arifin Mohari.

Kumpulan cef Scott akan menyediakan seri kaya lemon, manakala peserta dari kumpulan cef Fakhrul menyajikan sajian bebola keju berhias.

Sebelum bermula, kedua-dua chef terlebih dahulu membuat demonstrasi kepada peserta dan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan setiap sajian adalah 10 minit.

SEORANG pengamal media berjaya menghabiskan cabaran membuat bebola keju berhias dengan sempurna.


Setelah mencerap setiap arahan dan tip yang diberitahu cef dengan baik, para peserta kemudian mengambil tempat masing-masing dengan bahan-bahan telah tersusun rapi di atas meja.

Antara bahan-bahan untuk bebola keju berhias termasuklah bawang besar, lobak, krim keju Philadelphia, keju Mozarella dan kobis merah. Manakala seri kaya lemon menggunakan biskut McVities, jus lemon, krim putar dan krim keju Philadelphia.

Dengan kiraan satu, dua dan tiga, semua tangan mula ‘berlari-lari’ di atas meja dan menyediakan sajian mengikut langkah-langkah yang telah ditunjukkan.

Buku resepi

Acara menyeronokkan itu merupakan aktiviti selingan bagi majlis pelancaran buku Koleksi Resipi Mondelez, yang melibatkan usaha sama daripada barisan cef BAC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BAC, Ainul Hasnizam Abu Hassan, pihaknya sangat berbesar hati kerana dipilih sebagai rakan niaga untuk penghasilan buku koleksi resepi Mondelez.

“Ini adalah satu bentuk penghargaan bagi kami kerana diberi kepercayaan oleh Mondelez dalam menghasilkan lebih 25 resipi menarik dalam buku koleksi mereka.

“Resipi-resipi ini merupakan cetusan ilham daripada cef eksekutif BAC, iaitu cef Scott dan cef Fakhrul,” ujarnya di majlis perasmian tersebut di Kompleks Penerbangan Malaysia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur baru-baru ini.

CEF SCOTT memberikan sentuhan terakhir cara-cara membuat seri kaya lemon.


Tambahnya, kesemua resipi dalam buku tersebut menggunakan produk-produk daripada Mondelez sebagai bahan asas seperti krim keju Philadelphia, biskut Oreo dan Toblerone. Resipi-resipi itu juga merupakan sajian ringkas yang boleh disiapkan dalam masa yang singkat.

Antara jenama produk-produk lain di bawah Mondelez termasuklah Cadbury Dairy Milk, Tiger Biskuat, Jacob’s, Chipsmore, Choclairs dan Twisties.

Dalam pada itu, Pengurus Jualan Mondelez Malaysia, Naveen Keswani berkata, pihak memilih BAC selepas melihat kejayaan-kejayaan diperoleh dan kepakaran bidang kulinari yang ada pada barisan cef.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada pelanggan setia kami untuk menyelitkan makanan kegemaran mereka dalam sajian pencuci mulut menerusi fungsi dan teknik kulinari yang telah disediakan oleh cef Scott dan cef Fakhrul.

“Di Mondelez kami sentiasa mengambil berat tentang keinginan dan makanan kegemaran seisi rumah. Kami percaya dengan inovasi dan kefahaman ini dapat meraih kepercayaan lebih ramai pembeli di luar sana,” katanya.

Terdahulu, rakan-rakan media turut diberi peluang menjadi barisan juri dengan merasai 10 jenis hidangan daripada cef Scott dan Fakhrul. Dengan perbezaan dua mata, sajian pencucui mulut oleh cef Scott dipilih sebagai hidangan kegemaran para media.

Process time in ms: 78