NEGARA

Selangor setuju bina Langat 2

Selangor setuju bina Langat 2

ONGKILI (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Abdul Khalid selepas menandatangani MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor di Putrajaya semalam. Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Najib dan Muhyiddin.


PUTRAJAYA – Kemelut pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang tertangguh sejak hampir enam tahun lalu akhirnya selesai apabila Kerajaan Selangor bersetuju untuk meneruskan projek tersebut semalam.

Persetujuan tersebut dinyatakan melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

Dalam majlis bersejarah itu, Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, manakala Kerajaan Selangor diwakili oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ongkili berkata, melalui MoU itu, Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Langat 2 dan sistem agihannya berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor juga akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan dengan pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh memorandum itu ditandatangani.

“Pelaksanaan penstrukturan semula industri air di Selangor adalah satu keperluan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor.

“Projek Langat 2 ini merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ongkili turut memberitahu, melalui memorandum persefahaman tersebut, Kerajaan Persekutuan turut membenarkan Kerajaan Selangor mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri tersebut.


GAMBAR fail pada 29 November 2010 menunjukkan terowong penyaluran air mentah dari Karak, Pahang ke Hulu Langat, Selangor.


Empat konsesi itu ialah Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS).

“Kerajaan Persekutuan juga bersedia menyuntik dana tambahan untuk membantu Kerajaan Selangor mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkan mereka menguruskan perkhidmatan bekalan air melalui satu syarikat milik kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ongkili berkata, melalui MoU itu, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Kerajaan Selangor bagi pelaksanaan projek Langat 2.

“Melalui MOU ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor berharap semua syarikat konsesi air di Selangor memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” ujarnya.

Beliau berkata, projek Langat 2 difahamkan menelan belanja sebanyak RM6.225 bilion dan dijangka siap sepenuhnya 39 bulan dari sekarang.

Projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor itu meliputi pembinaan terowong sepanjang 44.6 kilometer dari Karak, Pahang ke Hulu Langat, Selangor.

Dalam pada itu, Ongkili turut mengakui kegagalan mencari sebarang penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008 bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.

“Kemelut itu telah menyebabkan pembinaan Langat 2 yang merupakan langkah Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya telah tertangguh sehingga kini.

“Namun, pada bulan Mei 2013 Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bersetuju agar satu rundingan semula diadakan antara Kerajaan Selangor dan semua syarikat konsesi bagi mencapai persetujuan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi berkenaan,” katanya.

Process time in ms: 47