SUKAN

'Tak jejas persiapan tanpa Mat Yo'

'Tak jejas persiapan tanpa Mat Yo'

BARISAN pemain skuad Harimau Malaya gigih menjalani latihan di padang Wisma FAM di Kelana Jaya semalam menjelang aksi persahabatan menentang Filipina 1 Mac nanti.


JURULATIH Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tidak melihat ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha bakal memberikan masalah kepada jentera serangan pasukan bimbingannya menjelang aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac nanti.

Ini kerana, Kim Swee yakin ketiadaan Norshahrul yang juga dikenali sebagai ‘Mat Yo’, bakal memberikan ruang terbaik buat penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bobby Gonzales untuk mengisi kekosongan tersebut.

Jelas pengendali kelahiran Melaka itu, beliau memiliki perancangan untuk memanggil mana-mana pemain biarpun masih bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) masih tidak kelihatan selepas tiga hari ketiga sesi latihan Harimau Malaya berlangsung.

Tambah Kim Swee, beliau percaya kemampuan dan kredibiliti empat penyerang, Safee Sali, Ahmad Fakhri Saarani dan Baddrol Bakhtiar yang mampu menjalankan tugas dengan baik selain Bobby.

“Bagi saya, sesiapa yang tidak hadir untuk menyarung jersi kebangsaan, bermakna mereka tidak berminat walaupun mempunyai alasan tersendiri untuk menolak panggilan menyertai latihan.

“Yang mustahak, tugas untuk negara harus diberikan keutamaan. Saya tidak mempunyai masalah dengan ketiadaan Mat Yo sebagaimana saya katakan tadi, kita mempunyai Bobby, Safee, Fakhri dan Baddrol untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Bagi saya, ini adalah peluang terbaik buat Bobby. Ketiadaan Mat Yo, kemungkinan besar dia akan digandingkan bersama Safee mahupun Fakhri atau Baddrol.

“Jadi, sesiapa yang akan diturunkan ketika aksi menentang Filipina nanti, harus menunjukkan prestasi yang baik sebelum saya membuat keputusan siapa yang bakal dalam senarai untuk ke UAE (Emiriah Arab Bersatu) bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2015 peringkat Kumpulan menentang Yemen pada 5 Mac nanti.

“Buat masa ini, tiada lagi dalam perancangan saya untuk memanggil sesiapa. Jadi, senarai (pemain) yang saya ada sudah cukup terutama bahagian pertahanan. Tiada sebab untuk saya memanggil pemain lain kecuali kecederaan yang serius menimpa pemain-pemain ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang latihan Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee sempat memuji komitmen dan kesungguhan barisan pemain skuad Harimau Malaya yang gigih menjalani latihan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Asia menentang Yemen nanti.

“Saya nampak peningkatan sedikit demi sedikit terutama daripada segi sikap pemain dan mereka telah memberikan kerjasama yang cukup baik.

“Saya berharap komitmen seperti ini terus dikekalkan kerana kita hanya memiliki kurang 10 hari sahaj lagi sebelum aksi persahabatan menentang Filipina,” tegasnya.

Process time in ms: 46