DUNIA

Bot nelayan hanyut lebih setahun

Bot nelayan hanyut lebih setahun


GAMBAR menunjukkan bot yang dinaiki Albarengo yang terdampar di Kepulauan Ebon Atoll pada 30 Januari lalu.- AGENSI


MAJURO, Kepulauan Marshall - Beberapa keping gambar menunjukkan sebuah bot yang dinaiki seorang nelayan, Jose Salvador Albarengo yang hanyut selama 14 bulan di lautan Pasifik rosak teruk dan berlumut, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beberapa pegawai memberitahu, bot gentian kaca berkenaan sudah rosak dan dipenuhi teritip serta lumut sekali gus menunjukkan ia berada di dalam air laut untuk jangka masa yang lama.

Turut berada di atas bot berkenaan sebuah kotak berwarna biru yang digunakan Albarengo, 37, untuk berlindung dari panas matahari tetapi tiada peralatan menangkap ikan ditemui.

Botnya sepanjang 7.3 meter tersebut hanyut sejauh 12,874 kilometer dari Mexico.

Dia yang berasal dari El Salvador hanyut selama 14 bulan sebelum dia dijumpai terdampar oleh dua orang penduduk tempatan di Kepulauan Ebon Atoll dekat Kepulauan Marshall pada 30 Januari lalu.

Ketika ditemui, wajahnya berjambang, bermisai dan badannya kurus.

Dia yang mendakwa hanyut selepas enjin botnya rosak sebelum ditiup angin dan hilang arah kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.

Albarengo yang kini menetap di sebuah hotel di Majuro mengejutkan para pegawai semalam apabila dia meminta untuk bersiar-siar di tepi pantai kerana terlalu bosan tinggal di dalam bilik.

Ibu dan bapanya bersyukur kepada Tuhan selepas pihak media menyiarkan kisah anaknya mereka yang berumur 37 tahun itu masih hidup.

Menurut Albarengo, seorang rakan nelayannya yang berusia di antara 15 hingga 18 tahun telah meninggal dunia sebulan selepas dia menempuh pelayaran yang gentir itu.

Dia turut memotong rambut dan mencukur jambangnya di sebuah kedai gunting di sini baru-baru ini. - Agensi

Process time in ms: 47