HORIZON

Bermain bersama Raja Sungai Relau

Bermain bersama Raja Sungai Relau


PALET diberikan sebagai umpan kepada ikan kelah merah.


LANGKAH diatur penuh berhati-hati. Lebih mencabar, setiap hayunan kaki yang mencecah kejernihan permukaan air Kuala Juram, Sungai Relau, Taman Negara Merapoh di Pahang perlu dikawal.

Lenguh rasanya berjalan terenjut-enjut mengurangkan gelombang di permukaan air. Keadaan yang sebelum ini riuh-rendah dengan suara pelancong, sunyi seketika kecuali kedengaran sesekali suara unggas dan burung bersahut-sahutan.

Jurupandu memulakan langkah memasukkan tangan ke dalam air sambil menggenggam palet iaitu sejenis makanan khas untuk ikan.

Selepas puas menanti, kocakan air mula kelihatan dan dari jauh para pengunjung mula teruja menyaksikan kelibat beberapa ekor ikan melompat di permukaan air.

"Bukan mudah mahu mengumpan ikan kelah tersebut untuk bermesra dengan manusia," kata Mustafa Abdul Karim, 50, orang terawal menjinakkan ikan kelah merah yang sinonim dengan gelaran Raja Sungai.

Ikan kelah merah merupakan tarikan utama di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh sehingga ramai kaki pancing dan peminatnya hadir untuk menyaksikan sendiri kecantikan ikan itu secara dekat.

Ikan tersebut memerlukan kawasan dengan kadar oksigen tinggi, air jernih, cetek, berarus deras dan menetap di kawasan hulu sungai, Ia mampu membesar lebih lima kilogram bagi betina dan kira-kira tiga kilogram bagi jantan.

Mustafa sendiri memerlukan masa selama lima tahun untuk menjinakkan ikan tersebut. Ekoran kemampuan menjinakkan ikan kelah itu, dia digelar Raja Ikan.

Pengusaha ikan air tawar itu memberitahu, kali pertama dia menyentuh ikan berkenaan adalah pada tahun 2005 iaitu selepas beberapa percubaan dilakukan sejak tahun 2000.


SANTUARI Kelah ini dibuka pada tahun 2002 memberi kehidupan baharu kepada spesies ikan kelah merah.


"Ikan kelah merah sangat sensitif terhadap persekitaran. Kalau ikan tersebut rasa sedikit getaran pada air, ia pasti lari atau mencari tempat tinggal yang lain.

"Saya sendiri terpaksa menghabiskan masa lebih dua jam semata-mata untuk membuatkan ikan-ikan itu biasa dengan saya," jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Warna baju

Mustafa mendedahkan, warna baju juga memainkan peranan sewaktu menjinakkan ikan kelah itu supaya ia berani dekat dengan manusia sehingga hari ini.

"Pada peringkat awal, saya meniarap di dalam air bersama ikan-ikan ini sambil menyuap palet melalui botol susu yang ditebuk puntingnya. Sesekali saya berjaya membelai tubuh ikan tersebut. Bila ikan semakin dekat dan berani, kita cuba bagi makan pakai tangan sehinggalah boleh dipegang.

"Warna baju memang kena hitam atau putih. Kami pernah cuba baju warna merah dan biru tetapi ikan-ikan ini lari," jelasnya.

Bagi pengunjung pula, peluang sekali dalam seumur hidup memegang ikan kelah merah itu pasti sukar untuk dilepaskan.

Nur Aliah Mohd. Nor, 21, berkata, kerakusan manusia meneroka alam demi mengejar pembangunan moden harus dikawal atau dihentikan.

"Melihat ikan kelah ini, hati saya terdetik bagaimana ia mampu meneruskan kehidupan di sungai jikamanusia terus-menerus mencemari penempatan mereka.

"Sekiranya kita tidak memulakan usaha menjaga alam sekitar, generasi akan datang mungkin tidak berpeluang menyaksikan ikan ini di hidupan liar, sebaliknya hanya di akuarium," tegasnya.

Santuari ikan kelah bermula sejak 2002. Selain kelah, terdapat beberapa spesies ikan lain termasuk kejor, sebarau, ikan daun dan jemerung yang menjadikan Sungai Relau sebagai habitat.

Process time in ms: 47