HORIZON

Tujuh hari jelajah Palestin

Tujuh hari jelajah Palestin



ROMBONGAN 110 orang peserta Kembara Bumi Suci Al-Quds mula melangkah keluar dari dua buah penginapan berbeza iaitu Jerusalem Metropole dan Hotel 7 Arches pada pukul 3.50 pagi untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Dalam kedinginan pagi di Baitulmuqaddis, peserta rombongan ternyata teruja untuk bersolat di masjid yang kedua dibina dalam sejarah umat Islam itu selepas Masjidil Haram di Mekah. Ia merupakan pengalaman kedua rombongan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Namun, peserta rombongan tersentak apabila tentera Israel tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid sebelum pukul 4.30 pagi.

Kompleks Al-Aqsa yang menempatkan lima buah masjid iaitu Masjid Utama, Masjid Qubbatus Sakhra (Kubah Batu), Masjid Utama Lama, Masjid Marwani dan Masjid Buraq dikawal rapi oleh tentera Israel. Rombongan terpaksa menunggu selama 30 minit sebelum dibenarkan masuk ke kawasan masjid.

Imam Satu Masjid Al-Aqsa, Sheikh Yusuf Abu Sunainah turut menunggu untuk masuk ke masjid bersama rombongan.

“Ia merupakan cabaran yang getir buat kami. Kawasan masjid dikawal rapi oleh tentera Israel. Mereka menguasai rumah ibadat umat Islam.

“Tentera hanya membenarkan kami masuk ke kawasan masjid sejam sebelum subuh. Pintu masjid akan ditutup sejam selepas solat Isyak,” tutur peserta rombongan, Mohd. Faiz Othman, 26.

Beliau yang juga merupakan juruhebah di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke bumi anbia itu.

Baginya, walaupun berdepan pelbagai kerenah birokrasi terutamanya ketika berurusan dengan tentera Israel untuk memasuki masjid dan pos kawalan, berada di bumi bersejarah yang disebut dalam al-Quran itu merupakan satu pengalaman berharga buatnya.


KESEMUA peserta Kembara Bumi Suci Al-Quds bergambar di hadapan Masjid Qubbatus Sakhra.


Pengembaraan bersejarah

IKIM.fm merupakan rakan kerjasama ALCC Al-Amin Travel Sdn. Bhd. (ALCC Al-Amin Travel) kendalian Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin bagi program Kembara Bumi Suci Al-Quds yang diadakan pada Oktober lalu.

Misi program tersebut adalah untuk melaksanakan ibadah korban di Amman, Jordan dan Ramallah, Tebing Barat, Palestin.

Menerusi misi itu, sebanyak dua ekor lembu berjaya disembelih di Amman dan 15 ekor di Ramallah. Hasil daging korban itu telah diagihkan ke kem perlindungan pelarian Palestin.

Selain Mohd. Faiz, Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad dan seorang lagi penyampai radio IKIM.fm, Fairuz Noordin turut menyertai rombongan tersebut.

Menurut Mohd. Faiz, program Kembara Bumi Suci Al-Quds merupakan cara terbaik untuk merapatkan ukhwah antara pendengar setia saluran radio berkenaan bersama masyarakat Islam di Palestin.

Ceritanya, sepanjang tujuh hari berada di Palestin, dia merasakan seperti berada dalam sebuah pengembaraan dalam buku sejarah Islam.

“Peluang menunaikan solat Masjid Al-Aqsa dan mengunjungi kawasan sekitarnya merupakan satu pengalaman yang paling diingati. Peserta kembara juga dibawa melawat ke penjara jin dan singgahsana Nabi Sulaiman yang juga berada di dalam kawasan Al-Aqsa.

“Tiada sebarang pertempuran yang berlaku sepanjang berada di sana. Umat Islam, Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan aman,” jelasnya.

Tambah Mohd. Faiz, beliau melihat kegiatan ekonomi di Palestin didominasi orang Yahudi.

“Oleh itu, kunjungan kami ke sana juga dilihat untuk membantu ekonomi masyarakat Islam di sana. Kami hanya berbelanja di premis-premis yang dikendalikan oleh orang Islam,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SALAH satu laluan utama untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa yang dikawal rapi tentera Israel yang lengkap bersenjata.


Penghubung masyarakat Islam

Menurutnya, rombongan dari Malaysia menerusi kembara itu juga berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa walaupun terpaksa menunggu selama dua jam untuk melepasi pos kawalan keselamatan tentera Israel.

Peserta juga dibawa ke Masjid Utama Lama yang terletak di bawah Masjid Al-Aqsa.

Di situ, terdapat tiang asal masjid yang dibina oleh Nabi Sulaiman. Pengunjung juga berkesempatan melihat sebuah perpustakaan yang menghimpunkan khazanah ilmuwan agama di sana.

Peluang berbicara dan bertukar pandangan dengan masyarakat Islam di Palestin digunakan sebaik-baiknya oleh peserta rombongan itu.

“Penduduk Islam di Palestin yang berketurunan Arab amat mengalu-alukan ketibaan pelancong. Muhammad Abdullah mengingatkan setiap peserta bahawa kami merupakan penghubung mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam Malaysia dan Palestin,” jelas Mohd. Faiz.

Negara Palestin terbahagi kepada tiga bahagian selepas peperangan Arab-Israel pada tahun 1948.

Zon A merupakan kawasan penempatan rakyat Palestin sahaja manakala Zon B hanya didiami oleh orang Israel. Sementara itu, Zon C diduduki rakyat Palestin dan Israel.

Tembok setinggi lapan meter sepanjang 600 kilometer merupakan pemisah antara wilayah Palestin dan Israel.

Penggunaan kubah

Seorang pendengar setia IKIM.fm yang mengikut program kembara itu, Ahmad Zakwan Ahmad Zaini, 37, berkongsi pengalaman, tujuan utama dia dan isteri menyertai rombongan berkenaan ialah untuk menyiapkan laporan mengenai sistem audio di Masjid Al-Aqsa.

Menurut Pengarah Antaramax Holdings Sdn. Bhd. yang terlibat dalam perniagaan sistem audio itu, dia dapat mempelajari pelbagai perkara ketika proses mengumpul maklumat di masjid-masjid di Jordan dan Palestin.


BATU tempat Juda dibaringkan iaitu seorang pengikut Nabi Isa yang berpaling tadah dan ditukar rupa kepada wajah Baginda sebelum disalib di Gereja Holy Sepulcher menjadi tumpuan pelancong beragama Kristian di Jerusalem.


“Ketika berkunjung ke sebuah masjid di Yofa, Tel Aviv, saya berpeluang mendengar sistem bunyi yang terbaik iaitu tanpa gema yang kuat. Ternyata masyarakat Arab Yahudi di kawasan itu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang sistem audio.

“Waktu solat merupakan peluang terbaik untuk saya melihat peralatan audio seperti mikrofon dan pembesar suara yang digunakan. Masjid di Palestin menggunakan banyak kubah dan ia merupakan kaedah terbaik untuk mengurangkan gema,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zakwan, ketika perjalanan rombongan dari Tel Aviv ke Hebron, dia melihat banyak tanaman pokok gharqad atau Boxthorn iaitu pokok yang dipercayai akan menyelamatkan bangsa Yahudi daripada dibunuh oleh orang Islam pada hari kiamat kelak.

Program Kembara Bumi Suci Al-Quds merupakan kunjungan kali ke-19 ALCC Al-Amin Travel ke Palestin. Muhammad merupakan individu penting sepanjang kembara itu dengan memberikan penjelasan terperinci kepada peserta mengenai setiap lokasi yang dilawati mereka.

“Beliau akan memberi tazkirah di setiap destinasi yang dilawati seperti Masjid Al-Aqsa, Bethlehem dan makam-makam nabi di negara itu. Ini amat bermanfaat bagi kami,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 62