VARIA

Pameran Seni Landskap 2014

Pameran Seni Landskap 2014

KARYA seni ini antara yang akan dipamerkan sepanjang Pameran Seni Landskap 2014 di Galeri Artelier, Kuala Lumpur.


SENI landskap yang menarik bukan sahaja dapat menjadikan sesebuah kawasan itu tampak mempesona, malah memberi ketenangan dan ilham kepada yang melihatnya.

Selain itu, hiasan landskap kini menjadi satu ikutan dalam kalangan pemilik-pemilik rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar. Ia menjadi koleksi seni yang menarik bagi menyerlahkan lagi tempat kediaman mereka dengan lukisan tersebut.

Jika anda masih lagi mencari ilham seni bina landskap untuk menghias tempat kediaman baharu atau ingin mengubah suai landskap yang sudah lama tidak diganti, Pameran Seni Landskap 2014 adalah jawapan bagi merungkai segala persoalan anda selama ini.

Pameran yang mengangkat konsep landskap Malaysia ini bakal berlangsung selama sebulan bermula 29 Januari ini menghimpunkan hampir 30 hasil karya daripada empat pelukis tempatan terkemuka dari pelbagai latar belakang dan pengalaman yang berbeza.

Antaranya, Fauzin Mustafa, Zainal Abidin Musa, Johan Marjunid dan Alan Ng. Mereka bakal menonjolkan pelbagai idea baharu dan segar melalui karya lukisan daripada gubahan alam.

Menurut Fauzin, karya seni dihasilkannya untuk pameran itu adalah bersifat minimal dan mengandungi unsur nostalgia yang tersendiri.

"Selain itu, karya seni yang dihasilkan dijadikan antara tarikan pelancongan selain memartabatkan industri seni di peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Galeri Artelier, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pada pameran tersebut beliau akan mempamerkan siri-siri hasil karyanya yang mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya sewaktu bermain di padang permainan.


FAUZIN mengajak pengunjung mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya sewaktu bermain di padang permainan melalui lukisan yang dihasilkannya.


"Terdapat objek seperti batu-batu kecil, daun, selipar dan bola yang saya zahirkan pada lukisan tersebut. Di sebalik setiap lukisan yang dihasilkan mengandungi maksud dan ceritanya yang tersendiri.

"Saya berkarya bukan hanya untuk menjual lukisan sahaja malah saya ingin berkongsi senario kehidupan sebagai seorang anak seni kepada umum," katanya.

Panorama

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, beliau mengambil masa selama seminggu bagi menyiapkan kesemua karya tersebut.

"Antara lukisan ini ada yang diilhamkan daripada panorama menarik musim tengkujuh dan persisiran pantai di sekitar Pulau Langkawi, Kedah.

"Selain itu, setiap lukisan mempunyai seni keindahan tersendiri dan turut mengambarkan diri saya sebagai pelukis," katanya.

Pengarah Galeri Artelier, Ahmad Khairo Othman berkata, pameran yang berlangsung selama sebulan itu memberi peluang terutamanya kepada penggemar seni landskap untuk menghayati dan menjiwai karya-karya tersebut.

"Ilham dan keindahan hasil sentuhan pelukis tersohor pada pameran ini sudah tentu memberikan kepuasan kepada peminat-peminat seni.

"Tambahan pula, ia bakal mempersembahkan pelbagai karya luar biasa yang mengajak pengunjung melihat daripada luar kotak pemikiran mengenai hubungan yang terjalin sesama manusia dan alam semula jadi," katanya.

Di samping itu, kreativiti para pelukis dizahirkan secara visual melalui pelbagai bahan antaranya, teknik pengolahan dan elemen-elemen seni cat yang memperlihatkan dimensi kreativiti pelukis terlibat.

Ahmad Khairo turut memaklumkan lukisan-lukisan yang dipamerkan sepanjang tempoh pameran tersebut turut dijual kepada orang ramai. Harga setiap lukisan ditawarkan pada harga RM1,500 sehingga RM115,000 mengikut saiz lukisan.

Process time in ms: 63