HIBURAN

Hafiz, Stacy, Altimet, Awi pasang strategi

Hafiz, Stacy, Altimet, Awi pasang strategi



HAFIZ, Stacy, Altimet dan Awi Rafael menyusun strategi, melontar energi dan mengalun vokal terbaik untuk melangkah ke pentas final Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula pukul 9 malam di TV3.

Hafiz, penyandang tiga kali Vokal Terbaik dalam AJL sejak tahun 2010, bakal mempertaruhkan lagu Bahagiamu Deritaku untuk malam final nanti.

Sementara Stacy pula bakal berentap menerusi lagu Bosan ciptaan Omar K manakala, Altimet dan Awi Rafael pula mempertaruhkan lagu Hip Hop, Kalau Aku Kaya.

Hafiz bawa elemen sedih

Pernah membawa elemen drama dengan penampilan khas penyanyi senior Herman Tino untuk lagu Awan Nano di pentas akhir AJL26 (2011), tahun ini menerusi lagu Bahagiamu Deritaku, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz Suip akan membawa elemen sedih bagi melatari lagu itu.

"Saya tak mahu tekankan elemen drama seperti sebelum ini, sebaliknya bawa elemen sedih pula di atas pentas.Selain itu, saya juga akan ke kelas vokal bersama Cikgu Shafi. Memang setiap tahun saya akan mengikuti kelas vokal dengan Cikgu Shafi," ujar penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Mengulas mengenai kemenangan tiga kali berturut-turut untuk vokal terbaik dalam AJL, Hafiz mengakui berasa sedikit tertekan.

Sebabnya, kata Hafiz, peminat-peminatnya juga menjangkakan kemenangannya untuk tahun ini.

"Ramai peminat beritahu yang saya mam-pu melakukannya. Sedikit sebanyak ia memberi saya tekanan. Kalau tidak menang ia akan menyedihkan peminat saya," luahnya.

Bagaimanapun, kata Hafiz, dia tidak mahu berasa selesa dengan kemenangan yang diperoleh sebelum ini. Sebaliknya, akan tetap berusaha memberikan persembahan yang terbaik. Lebih-lebih lagi selepas melihat barisan artis yang akan membuat persembahan bukan calang-calang dari segi vokal mereka.

Stacy tidak kecewa

Tampil dengan imej lebih segar dengan potongan rambut pendek yang berwarna hitam, Stracie Angie Anam atau Stacy mengakui gaya itu dilakukan bagi konsep album terbaharunya.

Menampilkan 10 lagu termasuk lagu bersama penyanyi band pop dari Indonesia iaitu SM*SH, jelas penyanyi berusia 24 tahun itu, konsep album baharunya itu jauh berbeza daripada lagu-lagu yang pernah ditampilkan sebelum ini seperti Jahat dan Pelangi Senja.

"Saya suka bereksperimen dengan fesyen tetapi saya akui tidak sesuai dengan fesyen feminin.

"Fesyen yang cuba saya tampilkan ini kena dengan konsep album terbaharu saya. Album ini juga merupakan kesinambungan daripada lagu Bosan," jelasnya yang teruja membuat persembahan akhir AJL28 dengan penampilan baharunya itu.

Menolak gimik dalam persembahan, kata Stacy, dia lebih menitikberatkan susunan muzik, vokal dan gerak tarinya di atas pentas AJL28 nanti.

Stacy juga mengakui tidak meletakkan kemenangan sebagai perkara utama. Sebaliknya, akan membuat persembahan yang terbaik dan secara tidak langsung ia memberi gambaran bagus untuk album terbaharunya yang bakal keluar tidak lama lagi.

Tidak pernah menang AJL biarpun hampir saban tahun melangkah kaki ke pentas akhir, bagaimanapun Stacy tidak kecewa.

Menjawab mengenai perkara itu, kata Stacy, dia masih baru dalam industri dan perjalanannya masih panjang dalam AJL

"Saya masih muda. Walaupun sudah enam tahun dalam industri ia masih dikira baharu. Saya tidak kecewa tidak pernah menang dalam AJL. Bagi saya, sudah masuk final pun dikira bagus," tuturnya yang tidak berasa cemburu terhadap Hafiz malah, gembira di atas kemenangan berturut-turut rakannya itu dalam pertandingan berprestij ini.

DARI kiri: Awi Rafael, Altimet, Hafiz dan Stacy menyimpan debaran yang berbeza menanti detik final Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) pada 26 Januari ini di Stadium Putra Bukit Jalil.


Altimet naikkan martabat Hip Hop

Tidak meletakkan kemenangan pada lagu Kalau Aku Kaya, Altimet juga mengakui tidak menjangkakan lagu tersebut sampai ke peringkat akhir AJL28.

Bersyukur dengan tuah lagu tersebut, janji Altimet, dia akan tampil dengan persembahan yang terbaik bersama dengan penyanyi Awi Rafael.

"Lagu ini banyak tolong saya dengan Awi. Jadi, kami akan buat yang terbaik dari segi persembahan pada malam nanti. Saya akan mainkan lagu ini dalam pelbagai rentak dengan menggunakan alat muzik harmonika," dedah Altimet yang mahu mengangkat martabat muzik Hip Hop.

Jelas Altimet, dia pernah berbincang dengan pihak label Kartel Records kenapa lagu Hip Hop tak boleh menang dalam AJL.

Hasil yang diperoleh, kata Altimet, lagu-lagu Hip Hop kena dibiasakan bertanding dalam AJL.

"Empat tahun lepas saya ada berbincang dengan rekod label kenapa lagu Hip Hop susah nak menang. Adakah sebab ia genre baharu? Pada saya, kalau mahu Hip Hop menang kena biasakan masuk AJL.

"Secara tidak langsung masyarakat terbiasa dengan genre Hip Hop," ulasnya yang mengakui mempunyai lagu baharu berjudul Aku Tahu yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Mengakui berdebar membuat persembahan di pentas akhir AJL28, akui Altimet, dia tidak hanya membawa namanya dan Awi tetapi juga membawa genre muzik itu sendiri.

Mengukuhkan lagi hujahnya, kata Altimet: "Zaman Too Phat dulu genre ini dianak tirikan. Sebab mereka fikir ia sekadar trend dan tidak kekal lama. Jadi, kami mahu buktikan yang Hip Hop bukan trend".

Final AJL pertama Awi

Pada satu masa dahulu, Awi Rafael pernah berasa kecewa kerana lagunya Bila Aku Jatuh Cinta dan Pulanglah tidak berjaya memasuki AJL kerana masih menunggu status penduduk tetap (PR), namun kali ini dia berasa lega kerana lagu nyanyiannya Kalau Aku Kaya berjaya ke peringkat akhir.

Mengulas mengenai persembahannya bersama Altimet nanti, selain penggunaan alat muzik harmonika, kata Awi, mereka juga akan membuat persembahan mengikut tema AJL28 iaitu Game On.

"Lagu ini berkisar mengenai masyarakat. Jadi, persembahan kami nanti berdasarkan mengenai masyarakat. Kami mungkin akan buat dua orang pemuda yang duduk di rumah sedang bermain permainan video sambil menyanyikan lagu tersebut," dedah Awi.

Bakal menyanyikan lagu ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia iaitu Irfan dari kumpulan Samsons dalam album keduanya bersama Warner Music, Awi mengakui, teruja untuk menembusi pasaran Indonesia melalui lagu tersebut.

Jelajah AJL28

Sementara itu, sebagai tanda penghargaan kepada penonton setia TV3, Jelajah AJL28 telah diadakan di Busana @ Menara MARA pada 12 Januari lalu.

Antara finalis AJL28 yang menyertai jelajah tersebut ialah Jaclyn Victor, Stacy, Hafiz, Awi Rafael, Altimet, Azlan & The Typewriter, Hazama dan Hyper Act.

Tanpa sokongan besar daripada penonton setia TV3 yang diberi kepada Muzik-Muzik selama 28 tahun, kata Pengurus Besar Kumpulan, TV3 dan TV9, Sherina Nordin, AJL tidak mungkin dapat mencipta fenomena di seluruh negara.

"Selain berhibur dengan persembahan nyanyian, Jelajah AJL28 juga memberi peluang kepada finalis AJL28 untuk bersantai dan melakukan aktiviti beriadah bersama-sama para peminat," jelasnya.

AJL28 akan berlangsung secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam pada 26 Januari ini.

Seramai 12 artis berkumpulan dan solo akan membuat persembahan. termasuk Salammusik (Aku Pelat), Black (Takkan Terpisah), Aizat Amdan dan Noh Salleh (In Love With You), Hyper Act (Hanya Aku), Hazama (Penglipur Lara), Jaclyn Victor (Ikut Rentakku), Najwa Latif Feat Sleeq dan Syamkamarul (Sahabat), Azlan & The Typewriter (Tanda Tanya) serta Alyah (Kau Yang Terindah).

Process time in ms: 32