VARIA

Kerja amal Azmina untuk gelandangan

Kerja amal Azmina untuk gelandangan

AZMINA merapikan jambang seorang gelandangan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatannya tanpa sebarang rasa jijik.


MEMEGANG gelaran gelandangan di kota raya Kuala Lumpur, Indera Abha meneruskan kehidupan dengan menjual barangan kitar semula. Oleh itu, penampilan dirinya langsung ditolak tepi dan tidak diambil kira.

Namun, kerja amal seorang rakyat tempatan yang menawarkan potongan rambut secara percuma, di samping diberi makan sedikit sebanyak menceriakan Indera.

"Saya suka apabila rambut saya dipotong. Saya rasa hebat. Tambahan pula, ia percuma," ujar lelaki berusia 49 tahun itu sambil tersenyum menampakkan giginya yang rongak. Helaian rambutnya yang nipis berselerak di atas tanah selepas digunting.

Berbekal gunting di tangan, Azmina Burhan yang memiliki sebuah salun di Kuala Lumpur, secara sukarela bekerjasama dengan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) melalui projek Pertiwi Soup Kitchen untuk menyediakan keperluan yang sering diabaikan oleh golongan gelandangan.

"Bagi saya, penampilan seseorang itu sangat penting. Anda tentu mahu kelihatan menarik setiap hari apabila bangun tidur, tidak kira sama ada anda kaya atau miskin," ujar gadis periang berusia 26 tahun itu.

Azmina menyertai program amal tersebut tidak lama selepas ia ditubuhkan pada tahun 2010 dengan membantu memberi makanan dan air beberapa kali seminggu kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Namun, selepas dua tahun, dia mendapati ratusan gelandangan yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut, dia mula mengambil langkah seterusnya.

Bulan berikutnya, Azmina membawa bersama set gunting, apron dan peralatan kecil untuk menjalankan tugasnya. Setiap kali menawarkan khidmat menggunting rambut, jumlahnya meningkat sehingga 30 orang dan kini semakin bertambah.

"Selepas selesai menggunting rambut, anda akan kelihatan lebih baik dan mempunyai keyakinan diri," ujarnya sambil menambah, penampilan yang kemas membantu individu mendapatkan kerja.

Bagi Azmina, tugas yang dijalankan itu memerlukannya mengendalikan benda-benda kotor dan rambut yang kusut. Paling teruk, dia pernah menggunting rambut seorang lelaki yang tidur di jalanan dan tidak pernah membasuh rambutnya selama sebulan menjadikan tangannya hitam berdebu.


AZMINA ingin menghapuskan pemikiran stereotaip yang beranggapan golongan gelandangan berbau busuk dengan rambut yang dipenuhi kutu.


Tolak persepsi

Namun, wanita ini tidak pernah menolak sesiapa yang datang untuk mendapatkan khidmatnya. Malah, Azmina menegaskan, imej gelandangan dengan badan berbau atau rambut dipenuhi kutu adalah salah dan ia merupakan stereotaip yang ingin dihapuskan melalui kerja amalnya itu.

Hakikatnya, 'pelanggan' Azmina boleh menjadi seorang yang trendy terutamanya dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, permintaan golongan tersebut termasuk gaya potongan rambut seperti bintang bola sepak England, David Beckham serta ikon pop Korea dan Jepun.

Taraf hidup di Malaysia telah berubah dengan mantap hasil perkembangan ekonomi yang kukuh sejak berdekad lalu.

Tetapi negara kuasa ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara ini tidak terkecuali berdepan masalah kemelaratan hidup dan jurang pendapatan yang semakin melebar.

Menurut Pertiwi, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dianggarkan mempunyai kira-kira 1,800 individu gelandangan.

Permintaan agensi berita AFP untuk mendapatkan angka rasmi golongan tersebut tidak mendapat maklum balas daripada pihak berwajib.

Pertiwi juga memberi makan sehingga 700 orang gelandangan empat kali seminggu melalui penghantaran van di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. Sukarelawan perubatan turut menyediakan pemeriksaan dan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan.

"Saya tidak menyangka ia akan menjadi begini besar," kata Pengasas Pertiwi, Munirah Abdul Hamid yang menegaskan jumlah golongan yang memerlukan itu semakin meningkat.

Kini, Azmina mencari pendandan rambut sebagai sukarelawan untuk memenuhi permintaan golongan gelandangan seperti Paul Chin yang tinggal di jalanan selepas kehilangan pekerjaan di sebuah pusat cucian kereta beberapa bulan lalu.

"Ia amat menjengkelkan," tutur Chin malu-malu dengan keadaan rambutnya yang beruban sambil Azmina mula melakukan tugasannya.

Namun apabila wanita itu menyudahkan tugas beliau, Chin berkata: "Saya rasa lebih baik." - AFP

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 63