RENCANA UTAMA

Keajaiban Tepung Hairan

Keajaiban Tepung Hairan

PERCUBAAN demi percubaan dilakukan oleh Roazura untuk mendapatkan resipi tepung kek yang mudah disediakan.


KETIKA mula mengetahui produk keluaran Roazura Bahari, 36, yang dikenali Tepung Hairan, kru Jurnal membayangkan yang produk ciptaannya itu disediakan dalam bentuk campuran tepung kek, air dan minyak.

Tetapi sangkaan meleset apabila melihat formulasi tepung kek yang diolah sendiri oleh ibu kepada tiga orang anak ini.

Malah, kru Jurnal turut berpeluang merasai keenakan tepung kek yang dipasarkan oleh wanita ini. Ternyata kek yang dihasilkan sedap, lembap dan lembut ditambah lagi dengan topping yang pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur memandangnya.

“Idea untuk menjalankan perniagaan ini diperoleh pada tahun 2010 kerana anak-anak saya gemar makan kek tetapi saya lebih suka membuatnya sendiri berbanding membeli di kedai-kedai kek.

“Selepas berhenti kerja dalam bidang pemasaran, saya menjalankan pelbagai perniagaan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Sebagai permulaan, saya tidak percaya dengan berniaga dari rumah mampu menjana pendapatan yang lumayan tetapi alhamdulillah, selepas mencuba pelbagai jenis perniagaan, akhirnya saya temui formulasi tepung kek yang jarang diketengahkan ini,” ujarnya yang berasal dari Hulu Langat, Selangor.

Jelasnya, dia juga menyertai kelas membuat kek bagi meningkatkan kemahirannya tetapi kesemua resipi membuat kek memerlukan penggunaan bahan asas yang agak rumit.

Resipi

“Saya memperoleh satu resipi membuat kek tetapi apabila melihat bahan-bahan yang diperlukan, niat untuk membuat kek itu terbantut seketika kerana tidak mudah untuk menghasilkannya.

“Untuk itu, saya mencari idea untuk menghasilkan kek dengan mudah, cepat dan sedap.

“Hampir berkilo-kilo tepung juga dibazirkan untuk mencari resipi kek yang terbaik dan mudah,” tambahnya yang melakukan lebih daripada 10 percubaan untuk menghasilkan Tepung Hairan.

Beritahu beliau, ketika melakukan percubaan, ada resipi yang tidak sedap, keras dan menjadi muak apabila dimakan menyebabkan dia tidak berputus asa untuk terus mencuba.

“Untuk menghasilkan formula tepung kek yang benar-benar unik ini memerlukan kesabaran yang tinggi apatah lagi pada mulanya saya tidak percaya yang menjual tepung kek boleh berjaya.

UJAR Roazura, ramai pelanggan pada mulanya tidak mempercayai formula tepung kek yang diketengahkannya.


“Bagi menghasilkan resipi yang unik ini, kita perlu mengetahui sifat bahan-bahan asas untuk membuat kek seperti tepung, susu dan gula.

“Ramai pelanggan yang tidak percaya dengan hanya mencampurkan air dan minyak, mereka boleh menghasilkan kek yang mudah dan sedap,” katanya yang kini maju setapak lagi dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai untuk memudahkan operasi perniagaan.

Tambahnya, melihatkan belum ada produk seumpamanya di pasaran, dia mengambil keputusan untuk meletakkan jenama pada tepung kek keluarannya.

Katanya, rata-rata pelanggan seakan-akan tidak percaya apabila mengetahui formulasi tepung kek yang digunakannya sehinggalah mereka mencuba sendiri di rumah.

“Apabila bercakap mengenai produk ini, sudah tentu kebanyakan individu akan berasa hairan dengan formula yang saya ketengahkan.

Kualiti

“Oleh sebab itulah, saya meletakkan nama Tepung Hairan kerana selain mudah diingati, ia juga dapat membantu dari segi pemasaran.

“Malah, saya tidak menggunakan sebarang bahan pengawet dan telur selain produk ini tidak mengandungi kolesterol serta boleh bertahan selama setahun,” beritahu beliau yang turut menjual produk itu secara online di laman sosial Facebook dengan carian, Tepung Hairan.

Jelasnya, setakat ini, tiada sebarang aduan diajukan pelanggan dari segi rasa cuma pada awal perniagaan dahulu, kuantiti tepung dan topping yang ditawarkan agak sedikit menyebabkan dia menambah kuantiti tepung dan topping demi kepuasan pelanggan.

Roazura memberitahu, terdapat enam jenis produk tepung kek yang diketengahkannya iaitu red velvet, marble, oreo lemon cheese, choc moist tiramisu, choc moist dan choc moist cheese.

Jelasnya, lingkungan harga antara RM12 hingga RM27 ditawarkan kepada pelanggan mengikut jenis tepung kek yang digunakan.

“Setakat ini, choc moist, choc moist cheese dan red velvet mendapat permintaan yang tinggi.

“Saya sangat cerewet dalam memastikan kualiti produk. Saya akan pastikan berat timbangan setiap tepung diuji terlebih dulu bagi mengekalkan rasanya.

“Ini kerana sekiranya tersalah timbangan, kek yang dibuat tidak akan menjadi,” tambahnya yang turut mendapat sokongan daripada suami, Shamsuddin Ahmad, 42.

Katanya, dia bercita-cita mahu menjadi pelopor kepada perniagaan tepung kek yang mudah disediakan selain berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara sebagai perancangan akan datang.

Stailo!»

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

Varia!»

Pameran seni anjuran korporat

STOWE (dua dari kanan) dan Serenella (tiga dari kiri) pada pelancaran buku Prudential Malaysia Eye: Contemporary Malaysian Art baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15