VARIA

Penghubung baharu Pulau Pinang

Penghubung baharu Pulau Pinang

UJIAN lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang ini turut diserikan dengan pertunjukan bunga api.


DARI pesisir pantai Queensbay, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kini siap sepenuhnya kelihatan telah bersedia untuk dibuka kepada orang ramai. Struktur mega yang bakal menjadi ikonik terbaharu Pulau Mutiara ini hanya menanti kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.

Jambatan sepanjang 24 kilometer (km) itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau. Pembinaannya adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada 1982 dan siap tiga tahun kemudian dengan kos sebanyak RM850 juta.

Jambatan sepanjang 13.5 km itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985 menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.

Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. dan UEM Builders Bhd. yang dilaksanakan sejak tahun 2008. Ini merupakan projek kerajaan pertama yang mendapat pinjaman kewangan daripada kerajaan China.

Pinjaman berjumlah AS$300 juta (RM1 bilion) itu diberikan oleh sebuah bank republik bagi membiayai 20 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan jambatan tersebut yang menelan belanja RM4.5 bilion.

Walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, tetapi signifikan yang lebih besar ialah termeterainya kerjasama antara kedua-dua negara bagi projek berskala besar.

Selain menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, ia juga adalah jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Gegelung Getah Redaman Tinggi (HRDB).

Konsep binaan ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter dengan pusat pada kira-kira 300 km. Binaan menaranya pula dilindungi besi, berbanding Jambatan Pulau Pinang sedia ada yang dilindungi pulau buatan.


JAMBATAN kedua ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter.


Amat kuat

Difahamkan, kabel jambatan ini amat kuat yang digunakan bagi menampung berat dek jambatan. Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menyediakan lorong khas untuk motosikal selain atas faktor keselamatan.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra bersama kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.

Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas.

Ketika ditemui pemberita, Najib memberitahu Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat negeri itu.

“Kita harap bila projek ini siap, ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan kita juga harap pemimpin di negeri ini bertindak lebih proaktif untuk menarik lebih ramai pelabur,” ujar beliau.

Dalam pada itu, gemerlapan limpahan cahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali disaksikan ribuan warga negeri ini semasa ujian lampu hiasan yang dilakukan JKSB pada malam menjelang kemerdekaan 30 Ogos lalu.

Semasa ujian ini, lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang dipasang selama enam jam bermula pukul 9 malam sehingga pukul 2 pagi, dan diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang telah tercalit episod duka.

Tanjak penyambung jalan sepanjang kira-kira 50 meter di susur keluar jambatan ini di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung runtuh.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam pada 6 Jun lalu menghempap sebuah kereta mengorbankan seorang lelaki, Tajuddin Zainal Abidin, 45, manakala tiga termasuk dua buruh asing pula cedera akibat terkena serpihan runtuhan.


JAMBATAN Lake Pontchartrain, Amerika Syarikat ini merupakan jambatan terpanjangdi dunia iaitu sepanjang 38.4 km.


Runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada tanjak atau ramp di bawah kerja-kerja pembinaan dalam pakej 3A yang giat dijalankan.

Selamat

Jambatan ini disahkan selamat setelah melepasi ujian beban berat selama tiga hari melibatkan 17 buah treler dengan jumlah berat keseluruhan ialah kira-kira 595 tan ditempatkan di sepanjang 240 meter jarak utama itu.

Ujian itu dilakukan oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Harbour Engineering Co. (CHEC) dan kontraktor dilantik untuk Pakej 1 projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.

Pengarah Urusan JKSB, Datuk Dr. Ismail Mohamed Taib berkata, siri-siri ujian beban itu adalah yang pertama dikendalikan di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum ia boleh diperakui untuk perkhidmatan dan dibuka kepada orang ramai.

“Ujian beban itu dijalankan di jambatan kabel 475 meter bagi menentukan kapasiti beban jambatan siap bersamaan dengan yang telah diramalkan oleh teori dan seterusnya menentu ukur model pengiraan,” kata beliau.

Ismail berkata, ujian itu amat penting bagi memastikan jarak utama itu dibina mengikut spesifikasi reka bentuk dan menentu ukur struktur sebenar berbanding yang diramalkan oleh teori.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47