HORIZON

Keenakan sajian tarik pelancong

Keenakan sajian tarik pelancong



JIKA berkunjung ke Kuala Selangor, Selangor, pastikan anda mencari sebuah restoran yang sangat terkenal di sana iaitu, Restoran Mee Udang Banjir. Memang banyak restoran yang menjual mi udang atau mi lain di Kuala Selangor tetapi restoran tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga dikunjungi ramai pelanggan termasuk dari negeri lain.

Restoran ini mudah dicari, kalau memandu dari arah Kuala Lumpur, pastikan anda mencari Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sebelah kiri manakala restoran makanan segera, McDonald’s di sebelah kanan kerana ia terletak bersebelahan McDonald’s.

Mendengar nama restoran sahaja sudah pasti membuatkan ramai orang teruja, inikan pula apabila semangkuk mi udang berada di depan mata.

Belum pun mangkuk tersebut diletakkan di atas meja, bau manis dan harum udang sudah menusuk hidung, serta-merta keinginan yang terbit pada deria rasa bertambah. Kecur lidah dibuatnya.

Sebaik sahaja mangkuk mi udang banjir dihidangkan di atas meja, pandangan mata pasti terkesima melihat lima hingga enam ekor udang yang besar menutup keseluruhan mi.

“Mi udang berasal dari utara Semenanjung tetapi mak cik tidak pernah merasa mi dari sana,” ungkap pemilik restoran itu dan pencipta resipi mi udang banjir, Aliyah Jalal, 53, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, Aliyah berniaga katering secara kecil-kecilan kemudian membuka sebuah restoran lapan tahun lalu yang menjual masakan panas, namun kurang sambutan.

Ekoran itu, dia cuba menghasilkan sesuatu hidangan yang istimewa lalu memilih mi udang. Sebelum itu, dia berkunjung ke banyak restoran di merata-rata tempat bagi mencari resipi terbaik untuk mi udang ciptaannya.


LOKASI Restoran Mee Udang Banjir ini terletak berhadapan Masjid Jamek Sultan Ibrahim dan bersebelahan McDonald's, Kuala Selangor.


Keistimewaan

Akhirnya, tercipta mi udang banjir dengan keistimewaan pada kuahnya yang terasa kemanisan udangnya. Apabila ditambah perahan limau nipis, maka terhasillah rasa manis dan masam. Ia juga boleh dinikmati bersama bihun atau kuetiau.

Bagi memastikan rasa kuah mi udang sentiasa sedap, Aliyah memastikan setiap bahan mempunyai sukatan tertentu.

“Penyediaan pes dan membancuh kuah pula, saya dan anak-anak sahaja yang boleh melakukannya,” katanya lagi.

Menurut anaknya, Afryza Mohamed Baharudin, 29, pada hujung minggu bilangan pengunjung sangat ramai dan ada yang datang dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang semata-mata mahu merasai mi udang banjir.

“Apabila mengetahui mereka datang dari jauh, kami rasa terharu dan bagi memastikan mereka berpuas hati, kami akan bertanya tentang mi udang yang sedang dinikmati sama ada sedap atau sebaliknya,” ujarnya.

Terdapat tiga jenis hidangan mi udang disediakan iaitu mi udang special yang mempunyai lima ekor udang galah, mi udang biasa (tujuh ekor udang biasa) dan mi udang (empat ekor udang biasa) yang masing-masing berharga RM12, RM8.50 serta RM5.50.

Selain mi udang, Restoran Mee Udang Banjir turut memiliki menu masakan panas dan istimewa seperti sup itik serati serta nasi korek-korek yang memerlukan individu mengorek nasi untuk mencari lauk.

Cendol bakar

Dalam pada itu, jika berkunjung di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor, mata anda pasti tertarik melihat papan tanda besar tertulis Cendol Bakar.

Menggunakan konsep pandu lalu dan layan diri, Gerai Cendol Bakar terkenal dengan hidangan pelbagai variasi cendol. Ia juga menjual pelbagai jenis makanan lain seperti laksa, pisang goreng dan bakso.

Dekorasi gerai ini diilhamkan berdasarkan reka bentuk rumah kampung. Kesemua pondok tempat duduk beratapkan daun nipah.


GERAI karipap gergasi yang terletak di tepi jalan memudahkan orang ramai membelinya.


Cendol Bakar mempunyai enam jenis pilihan iaitu cendol VIP, VVIP, tapai, pulut tapai, durian dan durian pulut yang setiap satunya mempunyai bahan berbeza disertakan bersama-sama cendol, gula merah serta

santan.

Pemilik Cendol Bakar, Rifhan Farhan Mohamaad Arif, 25, berkata, idea berniaga cendol tercetus ekoran kegemaran dia sekeluarga menikmati cendol.

Nama Bakar didapati ketika penyediaan air gula merah yang digunakan untuk dicampur cendol. Gula merah dibakar terlebih dahulu menjadikan rasanya seperti ada asap sedikit.

Terang Rifhan Farhan lagi, rahsia cendolnya sentiasa mempunyai rasa yang sama adalah pada penggunaan bahan mentah yang tepat dan sentiasa segar.

Bancuhan santan mesti tepat selain ia perlu dihantar setiap hari dan paling lama disimpan selama satu setengah hari.

Bahan tambahan seperti Nata de Coco yang dipilih pula hanya perisa laici atau tiada perisa supaya tidak mengganggu rasa cendol dan bahan utama yang sebenar.

“Jika bahan yang digunakan tidak segar atau berubah sudah pasti memberi kesan kepada rasa dan kualiti cendol. Santan yang dibiar lama boleh menjadi masam,” ungkap Rifhan Farhan.

Konsep gerai dan pandu lalu Cendol Bakar mengalami evolusi apabila bilangan pengunjung semakin ramai.

“Kemudahan tersebut bagi memudahkan pelanggan menikmati cendol. Tidak sangka, ia menjadi suatu tarikan,” katanya.

Gerai Cendol Bakar ketika ini hanya terdapat di dua lokasi iaitu di Kuala Selangor dan Rembau, Negeri Sembilan.


BUKIT MELAWATI merupakan identiti Kuala Selangor yang menjadi tumpuan pelancong.


Karipap gergasi

Di Kuala Selangor juga mempunyai satu lagi sajian unik iaitu karipap gergasi yang bersaiz sejengkal tangan individu dewasa.

Karipap gergasi itu mempunyai reka bentuk sama seperti karipap tradisional cuma bersaiz besar.

“Rahsianya terletak pada proses pembuatan yang masih mengekalkan kaedah tradisi termasuk menguli dan menggoreng,” kata Khalijah Jamari, 30, yang menguruskan tiga buah cawangan karipap gergasi iaitu Kampung Assam Jawa dan Taman Belibis, Kuala Selangor dan sebuah di Kapar, Klang.

Selain itu, kesedapan karipap itu terletak pada inti kentangnya yang menyerap perasa gabungan rempah yang dimasak sekali.

Sebelum ini, Khalijah memberitahu, saiz karipap gergasi itu dua kali ganda berbanding sekarang dan dijual pada harga RM5 satu tetapi ia amat rumit untuk digoreng.

“Minyak yang banyak diperlukan iaitu 20 kilogram untuk menggoreng dua biji pada satu-satu masa selain menggunakan api yang sangat perlahan kerana takut pecah di bahagian tengah karipap,” jelasnya.

Terdapat dua jenis karipap gergasi iaitu ayam dan daging yang berharga RM3.50 setiap satu.

Menurutnya, pengunjung lebih ramai pada hujung minggu dan ada yang membeli pada kuantiti banyak antara 10 hingga 20 biji pada satu-satu masa.

Process time in ms: 32