SUKAN

Pahang belum selamat

Pahang belum selamat

PENYERANG Pahang, Azamuddin Akil (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Sarawak, Mohd. Hairul Mokhtar pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia di Kuantan malam tadi. Pahang menang 3-1 pada perlawanan tersebut.


PAHANG belum boleh berasa selesa walaupun menang 3-1 ke atas Sarawak pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Ini kerana, skuad yang mendapat jolokan Tok Gajah itu perlu berdepan dengan lawan yang sama di Kuching minggu depan untuk aksi separuh akhir kedua.

Stadium Negeri di Kuching merupakan gelanggang keramat skuad Sarawak yang menyaksikan mereka amat sukar untuk digugat olah mana-mana pasukan sepanjang musim ini.

Selain itu, Sarawak juga memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan meskipun agregat ketika ini memihak kepada Pahang.

Atas kertas, kelebihan dua gol yang dimiliki Pahang ketika ini dilihat selamat, tetapi ia mungkin akan berubah selepas aksi di Kuching nanti.

Sarawak hanya perlukan dua gol pada aksi kedua nanti bagi membolehkan mereka melangkah ke final.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi, Pahang tampil dengan kesungguhan dengan asakan bertali arus ke gawang lawan sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Mereka cepat mendapat rentak dengan aksi yang cukup kemas terutama di benteng pertahanan dan tengah.

Pahang telah menguji gawang pasukan lawan seawal minit ke-20 menerusi tandukan Matias Conti namun percubaan tersebut tersasar.

Tanpa mengenal erti putus asa, Pahang terus memperhebatkan serangan dan ia berhasil pada minit ke-28 apabila mereka memperoleh gol pembukaan menerusi tandukan Mohd. Azamuddin Mohd. Akil selepas menerima hantaran R. Gopinathan di hadapan pintu gol Sarawak.

Selang empat minit kemudian, Pahang terus menambah derita Sarawak apabila menjadikan kedudukan 2-0 menerusi tandukan Azamuddin hasil hantaran silang ketua pasukan, Jalalludin Jaafar.

Conti pula menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-37 selepas bola lambungannya menerjah ke gawang Sarawak ketika penjaga gol pasukan pelawat, Sani Anuar Kamsani terkeluar daripada posisinya.

Walaupun ketinggalan 0-3, Sarawak tidak mahu menyerah mudah sebaliknya terus berjuang untuk merapatkan jurang.

Usaha mereka berhasil pada minit ke-39 menerusi jaringan Mohamad Shahrol Saperi.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan walaupun aksi separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan Sarawak.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 47