HIBURAN

Menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DSPM)

Menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DSPM)


ROSYAM berkongsi keterujaan menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) bersama pengendali bola sepak Harimau Malaya, Ong Kim Swee (kiri) dan ikon rock, Ramli Sarip.


SELEPAS lebih 20 tahun menjadi anak seni, kini pada usia 46 tahun, Rosyam Nor menerima pengiktirafan yang tidak pernah diimpikannya.

Dia, pada Ahad lalu, baru sahaja menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DSPM) Kehormat yang membawa gelaran Datuk di Dewan Negeri Melaka sempena majlis Penganugerahan Hari Kelahiran ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Mengaku gelaran tersebut tidak merubah corak hidupnya secara kasar, namun, kata Rosyam gelaran tersebut menjadi pemangkin buatnya menaikkan semangat dan stigma terhadap anak seni tempatan yang juga mampu menyumbang sesuatu terhadap ekonomi dan pembangunan negara.

Ditemui pada majlis perasmian kedai motosikal berkuasa tinggi S4M Motorsports di Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Rosyam berkongsi perasaannya terhadap pengiktirafan tersebut kepada Kosmo!.

Tahniah dengan pengiktirafan yang anda perolehi baru-baru ini. Boleh kongsi sedikit tentang maklumat awal anda mendapat berita bakal memegang gelaran Datuk?

ROSYAM: Saya menerima panggilan pada 7 Oktober 2013 lalu. Sejujurnya, saya terkejut dan tidak menyangka masih ada pihak yang mahu mengiktiraf saya, terutama dengan pengiktirafan yang agak besar seumpama ini.

Apakah perasaan anda setelah menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DSPM) ini?

Pertama sekali saya ingin meluahkan rasa syukur dan gembira kerana terpilih untuk mewakili anak seni, khususnya dalam bidang lakonan. Malah, tidak ramai anak seni yang berada dalam lingkungan umur seperti saya yang mendapat gelaran Datuk ini. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada diri saya dan setiap pengiktirafan yang diterima akan menjadi contoh dan teladan kepada semua. Malah, tidak kira pengiktirafan itu secara kecil mahupun besar. Saya berserah kepada rezeki yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Adakah anda telah bersedia dengan situasi baharu ini, kerana selepas ini orang akan memanggil anda dengan panggilan Datuk Rosyam Nor?

Sebenarnya, saya telah bersedia dari awal lagi kerana bulan Mac tahun hadapan saya bakal bergelar datuk (ketawa). Secara peribadi, saya tidak kisah apa jua panggilan yang ingin dipanggil kerana ini merupakan pengiktirafan buat diri saya. Jadi, saya akan menyahut apa sahaja nama yang dipanggil kepada saya dan sudah pasti saya tidak akan berkecil hati. Saya juga mungkin akan guna nama Rosyam sahaja di layar perak dan hanya untuk majlis-majlis rasmi menggunakan gelaran Datuk.

Setelah bergelar Datuk, bagaimana dengan bayaran dan perbezaan bekerja, adakah akan lebih tinggi?

Itu bukan prinsip saya. Gelaran yang diberikan adalah satu pengiktirafan. Kalau mahu bercakap tentang menaikkan harga perkhidmatan saya, saya kira saya juga pernah mendapat gelaran lain dan saya juga antara pelakon yang banyak kali memenangi anugerah, tetapi tidak banyak (harga) yang berubah. Saya bersyukur dengan rezeki yang datang kepada saya sekarang.

Adakah dengan pengiktirafan ini, orang akan memandang tinggi terhadap anda dan industri seni kita sendiri?

Ya, saya berharap juga begitu, kerana saya merupakan wakil industri lakonan. Secara jujur juga, saya memang mengharapkan pengiktirafan kerana jika dilihat dahulu, ramai seniman atau seniwati yang hebat, tetapi tidak diiktiraf. Bagaimanapun, hari ini pihak kerajaan nampak perjuangan anak-anak seni kerana seni juga membangunkan masyarakat, budaya dan ekonomi negara.

Apakah yang menyebabkan anda menerima anugerah ini?

Sebenarnya, saya tidak tahu dan saya tak boleh nak beri komen mengapa saya menerima penganugerahan ini. Sebelum ini, saya juga pernah menerima Anugerah Bintang Cemerlang dan Pingat Jasa Kebaktian Selangor.

NAJIY JEFRI

Varia!»

Perancangan pewarisan harta

PEWARISAN harta membolehkan kita membantu saudara-mara miskin atau anak angkat yang tidak dikategorikan sebagai waris dalam hukum faraid. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47