RENCANA UTAMA

Harga rumah semakin tidak masuk akal

Harga rumah semakin tidak masuk akal



RATA-RATA pelajar lepasan institusi pengajian tinggi yang berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian pasti menyasarkan untuk membeli kereta terlebih dahulu.

Ada antara mereka yang memasang angan-angan untuk menukar kenderaan baharu selang beberapa tahun tanpa ada perancangan untuk melaburkan wang simpanan ke atas pembelian hartanah.

Jika adapun lebihan wang simpanan, kebanyakan mereka menghabiskan wang tersebut untuk perbelanjaan perkahwinan bagi memulakan fasa baharu dalam kehidupan.

Pembelian aset seperti rumah terpaksa diletakkan di tangga bawah kerana harganya yang semakin melonjak dari tahun ke tahun. Bayangkan, nilai bagi seunit apartmen tiga bilik tidur dan dua bilik air berdekatan pusat bandar adalah sekitar RM245,000.

Nilai tersebut dianggap amat membebankan bagi bagi pelajar lepasan diploma dan ijazah yang kebiasaannya memperoleh bayaran gaji antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Walhal, dengan gaji sebanyak itu, mereka hanya layak memiliki rumah berharga di bawah RM150,000 seunit.

Realiti kehidupan

Hakikat memedihkan itu membuatkan golongan tersebut tidak memasang angan-angan untuk memiliki rumah pertama mereka sendiri. Perkara tersebut diakui oleh pasangan muda, Mohd. Abhar Haniff Jaafar, 24, dan isterinya, Eyzzatul Eylia Yunos, 24.

"Bukannya kami tidak mahu tinggal di rumah yang lebih besar tetapi melihat kepada harga rumah teres yang tidak masuk akal, kami pendamkan sahaja impian tersebut.

"Kalau begini harga rumah di Kuala Lumpur, 15 tahun lagi pun belum tentu kami mampu membelinya," ujar Mohd. Abhar Haniff yang kini menetap bersama isterinya di Ukay Perdana, Selangor.

Pasangan tersebut sebenarnya bertuah kerana rumah yang didiami merupakan pemberian orang tua mereka.

KOS sara hidup yang meningkat memaksa Mohd. Abhar Haniff dan Eyzzatul Eylia memastikan perbelanjaan bulanan diurus dengan bijak.


Kos sara diri yang tinggi di Kuala Lumpur memaksa pasangan berkenaan mencari alternatif lain untuk meneruskan hidup. Eyzzatul Eylia yang merupakan graduan dalam bidang seni bina landskap, berjinak-jinak dengan dunia perniagaan kek yang kini menjadi punca pendapatan utamanya.

Bagi mereka berdua, untuk mendapatkan rumah daripada hasil titik peluh sendiri di lokasi yang strategik iaitu di sekitar Lembah Klang merupakan satu cabaran besar yang perlu ditangani.

"Kami berdua ada meninjau beberapa unit rumah di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Agak memeranjatkan apabila mengetahui harga bagi sebuah rumah jenis apartmen studio yang mempunyai satu bilik bernilai RM100,000," kata Mohd. Abhar Haniff yang juga mengambil jurusan sama dengan isterinya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tambahnya, bagi pasangan muda yang baru habis belajar seperti kami, harga rumah yang mampu dibeli mungkin tidak melebihi RM200,000.

Rumah mampu milik secara mudahnya disifatkan sebagai rumah yang mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan pada masa sama pendapatan tersebut mencukupi untuk perbelanjaan kos sara diri yang lain.

Kedudukan Malaysia

Menurut laman web Panduan Hartanah Antarabangsa (Global Property Guide), harga rumah di Kuala Lumpur dikelaskan sebagai yang termahal di Malaysia dengan purata harga sebuah rumah bernilai RM497,535. Ia diikuti oleh Sabah dan Selangor dengan harga purata masing-masing bernilai RM382,414 dan RM372,499 seunit.

Nilai tersebut membuatkan Malaysia berada di tangga ke-10 bagi rumah termahal di Asia selepas Filipina. Menurut laporan tersebut, harga purata seunit rumah di Malaysia mencecah RM8,360 bagi setiap satu meter persegi pada tahun lalu.

Sementara itu, laporan laman web Numbeo yang dibuat dari tahun 2009 hingga 2013 menunjukkan Kuala Lumpur sebagai bandar ke-188 daripada 362 bandar utama dunia yang mampu didiami.

Numbeo merupakan laman web yang menyimpan data mengenai negara di seluruh dunia meliputi aspek kos sara hidup, penjagaan kesihatan, keadaan lalu lintas, kadar jenayah dan pencemaran alam sekitar.

Prosedur ketat

Seorang pekerja swasta, Mohd. Syukri Yusof, 28, berkata, definisi rumah mampu milik bagi beliau adalah rumah yang mampu dimiliki oleh golongan muda ataupun golongan mempunyai pendapatan tetap.

"Rumah mampu milik sama ada daripada jenis pangsapuri, kondominium atau rumah teres yang mempunyai ciri-ciri asas seperti tiga bilik tidur haruslah tidak melebihi harga RM150,000 seunit.

"Namun, agak mustahil untuk mendapatkan rumah dengan harga tersebut lebih-lebih lagi di lokasi yang berhampiran dengan pusat bandar. Jika ada, ia mungkin terletak di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai kemudahan dan akses yang baik," katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.


PROJEK pembinaan kediaman di kawasan bandar terus pesat membangun tetapi tidak memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.


Mohd. Syukri sempat berkongsi pengalamannya membeli rumah pada awal tahun ini. Menurut beliau, proses untuk membeli rumah diakui sukar kerana terpaksa memenuhi beberapa prosedur pinjaman bank yang agak merumitkan.

Ia termasuk menyediakan dokumentasi lengkap mengenai jawatan dan pendapatan bulanan, penyata bank dan komitmen bulanan seperti pembiayaan kenderaan dan pinjaman pendidikan.

Baginya, pendapatan yang diperoleh disifatkan sekadar cukup-cukup makan ditambah dengan komitmen bulanan yang lain.

"Alhamdulillah, ahli keluarga sangat membantu dalam proses pembelian rumah kerana pihak bank membenarkan pinjaman dibuat dengan menggunakan dua nama, yang mana saya terpaksa menggunakan nama saya dan kakak.

"Kondominium yang dibeli berkeluasan 137 meter persegi dengan nilai RM416,850 dan terletak di Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur," katanya yang mengakui terasa terbeban dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM700 sebulan buat masa ini.

Mohd. Syukri berkata beliau tiada pilihan lain selain terpaksa membayar pinjaman sebanyak RM1,700 sebulan apabila rumah idamannya siap sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan.

Ujarnya, pelbagai kaedah digunakan bagi mengurangkan beban hutang yang ditanggung setiap bulan seperti terpaksa menggunakan wang simpanan.

"Kos sara hidup yang semakin meningkat juga menjadi salah satu punca golongan berpendapatan rendah tidak dapat membeli rumah sendiri.

"Itu yang menyebabkan ada antara rakyat terpaksa menyewa rumah secara berterusan atau menanggung hutang rumah sehingga akhir hayat," Mohd. Syukri berkongsi pendapat.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47