GARAJ

Corolla E30 enjin Mazda

Corolla E30 enjin Mazda


WARNA kuning Ferrari membuatkan penampilan Toyota KE30 ini begitu menyerlah.


KETERLALUAN? Mungkin. Toyota Corolla E30 itu sangat melampau apabila dipasangkan dengan enjin Mazda rotary 13B.

Jarang dibuat orang dan saya tidak fikir ramai yang sanggup membuat modifikasi hingga ke tahap ini. Enjin rotary 13B pada Toyota KE30 mungkin sudah jadi perkara biasa. Tetapi pada model E30 dengan casis yang tua, takut tercabut pula ruang enjin bila pecut nanti.

Namun, kalau hati sudah suka dan duit bukan penghalang, modifikasi begini adalah ‘permata’ bagi peminat kereta yang telah diubah suai.

Enjin itu bukan masuk begitu sahaja. Sebaliknya ia dipasang dengan kemas dan sangat cantik berbanding projek Kancil L2 yang pernah saya lihat sebelum ini.

Dalam geran, model sebenar kereta itu ialah Toyota Corolla KE55R CS Sedan. Ia tergolong dalam keluarga E30 dan lebih popular disebut sebagai KE30. KE30 mempunyai banyak varian seperti coupe, hardtop, sport coupe, wagon, malah versi van pun ada (di pasaran Jepun).


ENJIN 13B Mazda RX7 yang tidak mengalami sebarang proses ubah suai ketara.


Ketika kereta itu mula-mula dikeluarkan dahulu, ia menjadi Corolla paling berjaya di pasaran Amerika Syarikat. Kecil, ekonomikal, tidak banyak kerenah dan minyaknya super jimat. Waktu itu krisis minyak sedunia sedang melanda dan orang sudah tidak terima idea gila enjin V8 atau kereta muscle yang pelahap petrol.

Modifikasi paling penting pada jentera itu ialah ekzos 5Zigen. Kalau sudah nama enjin rotary, pasang ekzos yang boleh mengejutkan orang satu pekan barulah seronok. Bunyi enjin 13B N/A (aspirasi biasa) itu semakin galak apabila dipadankan dengan paip ekzos salur terus.

Enjin itu langsung tidak diusik. Pasang paip tahan karat, hos Samco dan penapis udara K&N sahaja. Modifikasi penting ialah gandar belakang dengan bahan kitar semula Mitsubishi Lancer A174 dengan LSD. Ada lagi, klacnya ialah Twinplate OS Giken!

Apabila kereta sudah laju, suspensi mestilah berada dalam kondisi cemerlang. Jadi, ia dipasang dengan set suspensi boleh laras TRD depan belakang. Rim replika Enkei RS Evolution itu 17 inci saiznya. Nampak besar betul pada kereta itu. Tayarnya ialah Falken Ziex 215/40 depan dan 215/45 Continental di belakang.


PAPAN pemuka jentara lama ini nampak cukup ringkas.


Bagi memastikan kereta dapat diberhentikan dengan selamat, brek FD Efini depan dan belakang digunakan.

Kalau anda rasa projek begini asal boleh atau cuma harap kepada enjin dan badan sahaja yang terjaga, memang anda silap.

Bahagian dalamannya dikemaskan dengan sepasang tempat duduk Recaro merah hitam yang telah dibalut semula. Papan pemuka pula nampak kemas dengan pelekat karbon. Sementara meter asal FD ditanam dalam casis dengan kelongsong asal KE55 dibiarkan pada posisinya. Bijak bukan?

Kemasan akhir ialah warna kuning Ferrari yang nampak sangat menyerlah. Bukan sahaja catnya kemas, malah kerja restorasi badannya juga memang cemerlang.

Bukan senang hendak membaik pulih kereta lama jadi tahap sebegini. Perlu sabar dan beri kepada mekanik yang betul.

Infiniti!»

Belajar bersama program TV

HUSNA FATIHAH (kiri) dan Muhd. Harith Fahmi teruja menggunakan aplikasi UPSR iBuddy.

Varia!»

Elemen nasionalisme dalam lagu

MONOLOQUE meluahkan rasa cinta terhadap kebudayaan tanah air menerusi lagu-lagu ciptaan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15