RENCANA UTAMA

Kayuh basikal 10km untuk belajar silat

Kayuh basikal 10km untuk belajar silat



KAWASAN padang berhampiran Pusat Sukan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada petang itu agak riuh-rendah.

Kebetulan, terdapat satu perlawanan bola sepak persahabatan yang sedang berlangsung, justeru, tidak hairanlah kawasan sekitarnya meriah dengan kehadiran penonton yang menyokong pasukan pilihan masing-masing.

Kelihatan seorang wanita berada di padang itu. Bagaimanapun tumpuannya bukan terarah perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung, sebaliknya kepada sekumpulan anak muda berpakaian serba hitam yang berada di satu sudut padang itu.

"Cuba perbaiki kekuda masing-masing. Pastikan ia selari dengan kedudukan kaki dan postur tubuh. Barulah pergerakan menjadi lancar dan seimbang," kedengaran suaranya lantang memberi arahan.

Sebagai peneraju Kelab Pencak Silat UPSI, Datin Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak, 29, sememangnya tegas ketika mengajar.

Baginya, tidak kira apa jenis seni silat sekali pun, teknik memasang kekuda merupakan aspek asas yang perlu dikuasai oleh setiap pesilat sebelum diajar pergerakan lain yang lebih rumit dan kompleks.

"Sekali imbas ia tampak mudah, namun kekuda penting bagi membolehkan mereka berada dalam keadaan bersedia dan stabil ketika menyerang atau menghadap serangan lawan.

"Itu baru bab kekuda, belum lagi bab bunga (seni silat) dan buah (pukulan atau buah pukul) yang menggabungkan pelbagai gerakan kaki dan tangan secara sistematik," jelas wanita yang mesra disapa dengan panggilan Ayu itu.

Bercerita lanjut, wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia mula mendalami silat pada usia 13 tahun ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin, Pasir Pekan, Tumpat.

Kebetulan, bapa saudaranya, Wan Abdul Halim Wan Mamat merupakan guru silat terkenal dari Pertubuhan Seni Silat Gayung Pusaka Malaysia di negeri itu.

"Saya bertuah kerana mendapat bimbingan beliau. Tidak cukup latihan di sekolah, saya juga menjalani latihan tambahan di gelanggang silat yang dikendalikannya di Wakaf Bharu.


PENGALAMAN hampir 16 tahun dalam arena persilatan kini dicurahkan untuk melatih pesilat-pesilat muda UPSI.


Kayuh basikal

"Jika diikutkan memang penat hendak pergi latihan yang memerlukan saya mengayuh basikal sejauh lebih 10 kilometer. Pulang pula dalam keadaan badan lebam dan terseliuh di sana sini tetapi disebabkan mahu menuntut ilmu saya reda.

"Lagi pun, silat bukan sekadar mengajar pengamalnya mempertahankan diri, malah ia juga menerapkan pelbagai nilai positif seperti disiplin dan keyakinan diri," kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Usaha itu tampak berbaloi kerana Ayu bukan sahaja cemerlang di peringkat sekolah malah turut berpeluang bertanding di peringkat kebangsaan mewakili pasukan pencak silat negeri kelahirannya itu.

Pada masa yang sama, dia yang dikurniakan tali pinggang hijau calit lima turut menimba ilmu kejurulatihan silat. Menariknya, dia mula bergelar jurulatih pada usia 15 tahun.

"Saya mengajar silat di sekolah-sekolah di sekitar Kelantan di samping terlibat melatih atlet-atlet pencak silat negeri. Di samping itu, saya juga terlibat dalam pelbagai pertandingan pencak silat dan seni tempur bela diri yang diadakan di seluruh negara, antaranya Sukan Malaysia (Sukma) dan Kejohanan Silat Kebangsaan," jelasnya.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Ayu menyambung pengajian di UPSI dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Kejurulatihan pada 2007. Kesibukan sebagai penuntut di universiti itu bagaimanapun tidak menghalangnya untuk aktif dalam seni silat dengan melibatkan diri dalam Kelab Pencak Silat UPSI

Ujarnya, dia bertuah kerana mendapat tunjuk ajar pengasas Silat Seni Gayong Malaysia cawangan UPSI, Nor Azman Abdul Aziz, yang juga salah seorang pensyarah di universiti berkenaan.

Melalui bimbingan dan latihan sistematik yang diberikan Nor Azman, saya semakin tangkas di gelanggang persilatan.

Kecemerlangannya menyebabkan namanya tersenarai dalam pasukan pencak silat kebangsaan ke pertandingan Sukan SEA ke-24 di Korat, Thailand pada 2007.

SIFAT lasak sejak dari zaman kanak-kanak membuatkan Ayu tidak kekok mengabdikan diri dengan seni silat.


Kejayaan

Lebih manis, penyertaan pertama di pertandingan sukan tertinggi di Asia Tenggara itu berjaya meletakkan namanya sebagai salah seorang penyumbang pingat kontinjen negara melalui pingat gangsa. Kejayaan itu tidak terhenti setakat itu, setahun kemudian dia berjaya memperoleh pingat emas di Sukan Universiti ASEAN (SUA) ke-14 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Kata Ayu, pada pertandingan akhir, dia yang bertanding bagi kategori wanita Kelas C ditentang sengit oleh pesilat dari Vietnam.

"Ia merupakan satu perlawanan yang mendebarkan. Bagaimanapun, saya berjaya melakukan tiga kali jatuhan, tendangan tepat, tangkapan luar dan teknik sapuan depan, sekali gus diberi kemenangan oleh juri dengan kiraan mata 5-0.

"Kejayaan itu amat bermakna, selain merupakan pencapaian tertinggi saya di peringkat antarabangsa ia juga berjaya melonjakkan nama pasukan pencak silat UPSI," katanya yang turut mencatatkan prestasi cemerlang dalam beberapa pertandingan pencak silat seperti Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan ASEAN Indoor Games.

Pihak fakulti dan universiti telah menobatkannya Olahragawati Anugerah Kecemerlangan bagi tahun 2009 dan 2010, Jurulatih Terbaik Malam Anugerah Sukan Pelajar (2010), Malam Anugerah Sukan Pelajar (2010) di atas pencapaian cemerlang beliau.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, Ayu berkata, dia kini hidup bahagia selepas bergelar isteri kepada Penyelaras Sukan Silat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia dan Majlis Sukan Negara, Datuk Osman Nok pada tahun 2011.

"Saya mengenali suami sejak tahun 2007 ketika berada dalam pasukan pencak silat kebangsaan. Bermula daripada persahabatan, timbul perasaan kasih sayang sehingga membawa ke jenjang pelamin. Lagipun, kami mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memartabatkan seni silat di Malaysia," ujarnya.

Menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Belia dan Sukan di Pusat Sukan UPSI sejak setahun lalu, Ayu melahirkan perasaan bangga kerana berpeluang menabur bakti di universiti kesayangannya itu.


PASUKAN pencak silat UPSI yang dilatih Ayu sering mencatatkan pelbagai kejayaan yang membanggakan.


Selain menguruskan kemudahan dan peralatan sukan di pusat itu, dia juga bertanggungjawab menyelaras program pembangunan atlet-atlet pencak silat UPSI termasuk menjadi jurulatih sambilan Kelab Pencak Silat UPSI.

"Latihan dijalankan tiga kali seminggu meliputi teori, fizikal dan latihan bertinju (sparring). Setakat ini ada beberapa pesilat UPSI yang menonjol dan cemerlang di arena persilatan sama ada di peringkat universiti dan kebangsaan seperti Zaiton A. Koang, Nor Farhana Ismail dan Mohd. Saiful Sazman Rahmat.

"Sebolehnya saya mahu bakat mereka terus digilap bagi memastikan mereka mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya menutup bicara.

Varia!»

Bertakbir dari rumah ke rumah

SETIAP kumpulan takbir mengunjungi hampir 20 buah rumah pada satu malam. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32