HIBURAN

Rock alternatif masih relevan

Rock alternatif masih relevan



MEMANG benar, kegilaan terhadap muzik nu metal dan rap rock sudah tenggelam menyebabkan band umpama Limp Bizkit yang pernah mencipta fenomena sekitar tahun 1990-an, hanya tinggal kenangan.

Bagaimanapun, irama ‘mesra telinga’ produk muzik Linkin Park masih menyelongkar sisi sensitif pendengar masa kini.

Sebabnya mudah, lagu-lagu mereka masih ‘panas’ dan dibikin teliti. Lirik mereka biarpun gelap tapi dijalin bijak. Suatu kombinasi rap, rock dan elektronik memisahkan mereka daripada kelompok seusia, namun memuaskan kelompok pendengar secara umumnya.

Untuk apa juga alasan, keenam-enam anggota Linkin Park, Chester Bennington (vokalis), Mike Shinoda (vokal dan gitar), Rob Bourdon (dram), Brad Delson (gitar), Dave Farrell (bass) dan Joe Hahn (DJ) masih berjaya mencipta pengaruh kepada khalayak peminat, bukan saja wanita, bahkan golongan lelaki.

Buktinya kejayaan konsert 90 minit Linkin Park Living Things World Tour di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Isnin lalu bukan satu kebetulan.

Berhujan berpeluh


LINKIN PARK


Aksi pertama dibuka cemerlang oleh Chester Bennington bersama tenaga luar biasa menerusi Tinfoil yang merupakan lagu pengenalan daripada album studio kelima dan terbaharu Linkin Park, Living Things.

Kadar jeritan vokal impresif dan konsisten Chester dilanjutkan menerusi lagu-lagu hit yang turut dipetik daripada album-album sebelum ini. Antaranya Faint, Papercut, Given Up, Somewhere I Belong, Points of Authority, Breaking The Habit, The Catalyst, One Step Closer dan Numb.

Daripada 21 buah lagu, enam dipetik daripada album Living Things yang dilancarkan tahun lalu. Ia termasuklah Victimized, Lies Greed Misery, Lost In The Echo dan Burn It Down.

Tidak cukup menggamatkan suasana yang diiringi hujan renyai pada awal malam Isnin lalu, lagu In The End dan Bleed It Out menutup tirai persembahan memukau Linkin Park kali ini.

Bersahut lirik yang dinyanyikan bersama 20,000 penonton yang membanjiri stadium itu, Chester menyifatkan konsert yang menutup siri jela- jah Asia tahun ini sebagai suatu kejayaan besar baginya.

“Selepas 10 tahun, kami kembali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur dan anda memang terbaik! Malam ini sungguh istimewa bagi kami dan amat seronok untuk bertemu kalian.

“Bukan sahaja gembira dapat kembali ke sini tapi anda semua sebenarnya telah melengkapkan perjalanan siri jelajah kali ini dan ini adalah konsert terakhir kami buat tahun ini,” katanya.

Linkin Park Living Things World Tour Live in Malaysia sebelum ini telah singgah ke beberapa destinasi terkenal lain antaranya Hong Kong, Filipina, Jepun, Australia dan Taiwan sebelum bertitik noktah di bandar raya Kuala Lumpur.

Malah, konsert yang dianjurkan oleh Wonderland+ dan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melakar sejarah apabila 5,000 pelancong asing hadir sama memeriahkan malam kemuncak itu.


KEMUNCULAN Linkin Park di Kuala Lumpur kali ini telah menarik minat 20,000 penonton yang membanjiri lokasi konsert mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam Isnin lalu.


Kekal dengan susunan muzik asal, harus diakui bahawa stamina Chester melaungkan vokal yang disifatkan sesetengah peminat dari dasar jantung itu sepanjang konsert tanpa henti, perlu diberikan pujian.

Mana tidaknya, kualiti vokal padu yang dikekalkan sepanjang hampir dua dekad menyonsong arus muzik nu metal itu masih gagal ditandingi oleh mana-mana band arus perdana.

Getaran positif

Beralih pada keunggulan album kelima Linkin Park, Living Things yang mengambil masa hampir 18 bulan untuk disiapkan itu diertikan sebagai permulaan baharu band itu.

Ujar Chester, album itu berkisar kemanusiaan dan interaksi personal. Berbeza sebenarnya daripada album-album mereka sebelum ini.

“Kami sudah bertemu kekuatan kali ini dan ia merupakan fasa prolifik untuk band ini. Kami menemui kedudukan yang mana setiap ahli kumpulan kami berpuas hati dan suara masing-masing didengari.

“Seperkara saya dan Mike bincangkan ketika awal penulisan lagu untuk album kelima ini adalah kami mahu memfokuskan tempo.

“Namun, sisi gelap kami tetap dikekalkan dan peminat pasti boleh temuinya. Album ini menceritakan getaran positif dalam situasi kegelapan, kami tidak mahu pendengar mengalami perasaan putus asa,” kongsinya menerusi temu ramah bersama sebuah majalah antarabangsa beberapa bulan lalu.

Ditanya adakah gubahan tempo yang lebih tinggi berbanding album keempat mereka, A Thousand Suns (2008) diselarikan untuk tujuan persembahan secara langsung terutama konsert, Mike menganggukkan kepala.

“Ya, itu merupakan galakan utama kami. Kami percaya peminat yang datang menyaksikan kami sebenarnya mahu merasai tenaga daripada persembahan.

“Setiap rekod yang kami hasilkan, kami pilih lagu terbaik untuk latih tubi dan mengeluarkan peluh.

“Sepanjang dua album sebelum ini kami cuba untuk memecahkan kotak nu-metal.

“Senang untuk mengkategori- kan kami berdasarkan album Hybrid Theory dan Meteora tapi kami tahu kami boleh menghasilkan lebih daripada itu dan sekarang kami sudah menemui resipi terbaik kami,” kongsinya.

Mesej

Berkenaan perubahan fasa cetusan lirik untuk album kelima Linkin Park, tambah Chester, mereka kembali menilai prinsip kemanusiaan untuk disampaikan secara mesej dalam lagu.

“Kami banyak menulis lirik mengenai perhubungan. Kami bukan band politik tapi lebih pada minda sosial.

“Tujuan sekarang adalah cuba mencari perkara di dunia yang kami mahu melihatnya lebih mendalam iaitu kemanusiaan,” kata Chester.

Berbalik kepada sejarah asal penubuhan Linkin Park, band itu pada mulanya menggunakan nama Xero pada tahun 1996 sebelum dianggotai Chester dan ketika itu mereka cuma menghasilkan empat buah tape demo.

Selepas Chester menyertai angkatan muzik itu, mereka menukarkan nama kepada Hybrid Theory dan merakamkan EP Hybrid Theory sekitar tahun 2000.

Atas alasan konflik persamaan nama dengan kumpulan muzik elektronik Britain, Hybrid, mereka sekali lagi mengubah nama band itu kepada Linkin Park sempena penghormatan untuk Lincoln Park yang terletak di Santa Monica, California, Amerika Syarikat.

Rencana Utama!»

Sambal bilis ibu juadah istimewa Mohd. Faiz

MOHD. FAIZ SUBRI menerima ucapan tahniah daripada bintang bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland,malam kelmarin. – AFP

Horizon!»

Kolam mandi kanak-kanak pertama DBKL

Kolam mandi kanak-kanak mampu memuatkan sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Process time in ms: 16