RENCANA UTAMA

Kemeriahan malam raya Khairy

Kemeriahan malam raya Khairy


BIARPUN sibuk, Khairy dan Nori (dua dari kanan) tetap meluangkan masa untuk persiapan raya anak-anak mereka.


KALAU sudah namanya kanak-kanak, pasti habuan duit raya yang diperoleh setiap kali tibanya Syawal membuatkan mereka gembira bukan kepalang. Apa tidaknya, kanak-kanak berpeluang memegang jumlah wang yang lumayan sekali dalam setahun.

Dalam pada kanak-kanak lain bergembira dengan kutipan wang raya masing-masing, rupa-rupanya figura politik yang memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada waktu kecil pernah menangis gara-gara duit raya yang diberikan kepadanya terpaksa dipulangkan semula kepada si pemberi.

Memori tersebut masih terpahat kemas dalam ingatan bondanya, Datuk Rahmah Abdul Hamid ketika mereka sekeluarga menyambut lebaran di Kuching, Sarawak pada akhir tahun 1970-an. Ketika itu, bapa Khairy berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu di sana.

“Pada mulanya, kami tidak tahu budaya orang di sana yang akan memasukkan duit raya ke dalam poket anak-anak. Bila arwah bapa Khairy tengok ada duit RM1,000, dia pulangkan kepada orang tersebut.

“Arwah berpesan agar jangan beri wang sebanyak itu kepada anak-anaknya dan beranggapan ia bukan duit raya. Jadi menangislah Khairy kerana wangnya diambil,” ujar Rahmah yang tersenyum mengingatkan kejadian tersebut. Katanya, Khairy baru berusia tiga tahun pada waktu itu.

Khairy lekas mencelah, beliau tidak begitu ingat akan peristiwa berkenaan kerana masih kecil. Namun, Khairy, 37, secara berseloroh berkata, beliau pasti menyimpan duit tersebut dengan cepat sekiranya mengetahui tentang nilai wang itu.

Dilahirkan di Kuwait, membesar di Tokyo, Jepun, bersekolah di Singapura dan menamatkan zaman universiti di London, England mencalitkan pelbagai nostalgia Aidilfitri pada diri Menteri Kabinet termuda Malaysia yang dilantik pada Mei lalu.

RAHMAH tersenyum mengenangkan peristiwa Khairy menangis kerana duit raya yang diterimanya dipulangkan semula.


Persiapan raya

“Saya sukakan makanan Jepun kerana dibesarkan di sana. Tapi apabila tiba hari raya, saya kena makan ketupat, rendang, ayam golek dan lemang.

“Ketika masih kanak-kanak saya tertanya-tanya, apakah hidangan tersebut. Semua itu saya pandang dengan berhati-berhati,” katanya sambil tergelak besar.

Lama-kelamaan, beliau mula menyukai hidangan tradisional masyarakat Malaysia terutamanya suasana raya yang lengkap dengan baju Melayu, bersamping dan bersongkok. Baginya, itulah kelebihan berada di luar negara dan perkara itu benar-benar istimewa kerana peluang sebegitu hanya datang sekali setahun.

Jika sebahagian besar umat Islam di negara ini menjadikan pagi Aidilfitri sebagai masa yang paling ideal untuk berkumpul beramai-ramai, bermaaf-maafan dan menjamu selera dengan juadah lazat, lain ceritanya dengan keluarga besar Khairy.

Sambutan itu diraikan lebih awal iaitu pada malam raya (selepas solat Isyak). Semua sanak saudara akan berkampung di rumah ibunya di ibu negara untuk menikmati hidangan raya bersama-sama.

Tradisi itu sebenarnya memudahkan Khairy selepas beliau menceburi bidang politik kerana beliau tidak perlu risau tentang sambutan pada pagi Syawal. Semuanya sudah diuruskan pada malam sebelumnya.

Rutin lain yang dilakukan pada petang Ramadan terakhir adalah menziarahi kubur arwah bapanya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan kubur arwah ibu Nori di Putrajaya.

Tahun pertama bergelar menteri pada tahun ini mengubah sedikit jadual hari raya pertamanya yang sebelum ini pasti diluangkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Rembau, Negeri Sembilan. Tahun ini, beliau perlu mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama jemaah menteri yang lain menghadiri majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara.

Berkongsi tentang persiapan raya pula, Khairy dan isterinya, Nori Tun Abdullah tidak terkecuali untuk berkunjung ke Masjid India, Kuala Lumpur seperti ibu bapa lain. Mereka ke sana untuk membeli-belah kelengkapan raya bagi anak-anak mereka, Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar, 5, dan Timor Abdullah Jamaluddin Abu Bakar, 4.

KHAIRY mesra melayan anak saudaranya yang menghidap sindrom Down, Aisha Jamaluddin Aziz, 10 (dua dari kiri).


Ayam golek

“Kami akan tunggu dua hingga tiga hari sebelum raya untuk ke Masjid India kerana waktu lain terlalu sesak. Biasanya waktu itu sudah ramai warga kota pulang ke kampung halaman.

“Saya meminta pembantu pejabat untuk kosongkan jadual pada tempoh tersebut dan biasanya memang tidak banyak aktiviti rasmi kerana kebanyakan orang sudah balik kampung,” jelasnya sambil memberitahu, tugas menyiapkan pakaian anak-anak pada pagi raya diuruskan oleh Nori.

Figura tinggi lampai yang gemar berjenaka itu turut memberitahu yang beliau memasak sendiri 20 ekor ayam golek untuk dihidangkan kepada saudara-mara pada pagi raya. Ayam golek merupakan menu wajib bagi keluarganya.

Nori yang anggun dengan busana kaftan labuh ketika temu bual kelihatan mengerling sambil tersenyum ke arah suaminya.

“Itulah dapur fantasia Khairy Jamaluddin,” kata Nori dan membiarkan kru Kosmo 2 menafsir sendiri sejauh mana kebenaran Khairy hebat di dapur.

Diusik dengan soalan adakah mereka sekeluarga mengamalkan tradisi memakai persalinan sedondon, mereka lebih selesa memakai baju raya daripada kumpulan rona yang sama dan tidak semestinya sedondon.

Menurut Khairy, konsep menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia sudah semakin lari daripada hikmah asalnya iaitu melatih kesabaran, mengawal hawa nafsu dan meraih ketakwaan.

“Saya harap kita dapat kekalkan ketulenan sambutan kedua-dua bulan mulia ini dan tidak terlalu dikomersialkan walaupun ia sukar dielakkan.

“Sambutan raya bukanlah pesta material tapi sebaliknya menerapkan prinsip kemaafan, mengeratkan silaturahim dan mengenang kembali pengorbanan yang dilakukan selama sebulan pada bulan Ramadan,” ujar Khairy.

Sementara itu, kebimbangan terhadap jalinan kemesraan yang terganggu antara keluarga dan sanak saudara pada hari lebaran turut mendapat perhatiannya.

Kata Khairy, memang akan ada saingan daripada program menarik di televisyen dan gajet seperti telefon pintar yang mengganggu perhatian. Katanya, masa sewajarnya diluangkan untuk bersama keluarga tercinta.

Sekiranya perlu, mereka yang menyambut Aidilfitri elok menutup seketika siaran televisyen, mematikan talian telefon bimbit dan menyembunyikan gajet daripada anak-anak.

Khairy turut berharap agar pengusaha stesen televisyen menyelitkan nasihat khidmat masyarakat yang menganjurkan rakyat meluangkan masa bersama keluarga sewaktu program raya disiarkan.

Rencana Utama!»

Kallas buatan anak tempatan

PROJEK penggantian kubah dan kallas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini siap sepenuhnya awal tahun ini.

Process time in ms: 47