RENCANA UTAMA

Aidilfitri menteri lebih meriah

Aidilfitri menteri lebih meriah

SEMUA menteri Kabinet beragama Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.


PASCAPILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu menyaksikan perubahan dan penampilan muka baharu dalam barisan Kabinet Persekutuan dan di negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional.

Antara tokoh yang pertama kali menjadi menteri ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tokoh yang pertama kali menjadi menteri besar ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Seramai 18 orang menteri selepas PRU-13 merupakan muka baharu dengan 12 daripadanya beragama Islam.

Justeru, 1 Syawal lalu merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama yang mereka sambut selepas kira-kira tiga bulan menjawat jawatan masing-masing.

Menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Jemaah Menteri di Masjid Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara merupakan detik paling manis buat Hasan sejak bergelar menteri.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pagi Syawalnya banyak dihabiskan bersama keluarga dan masyarakat di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

HASAN MALEK


Pada hari raya kali ini, katanya, beliau berpeluang menyambutnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Jemaah Menteri pada pagi Aidilfitri.

“Selepas itu, kami turut sama memeriahkan rumah terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya.

Ceritanya, walaupun beliau berada di Masjid Negara dan Putrajaya pada pagi Syawal, ia tidak menghalangnya daripada pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halaman.

Ujar Hasan, juadah istimewa yang wajib ada pada pagi Syawal ialah ketupat nasi yang dihidangkan bersama kuah kacang.

“Walaupun saya menggemari sate tetapi apabila ketupat nasi dan kuah kacang sudah terhidang di depan mata, ia sudah cukup untuk saya melupakan seketika juadah kegemaran saya itu,” selorohnya.

Sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna kepada Rohani selaku Ahli Parlimen Batang Lupar. Ini merupakan kali pertama beliau menyambut Syawal sebagai menteri.


DATUK Abdul Rahman Dahlan (kanan) beramah mesra dengan pelancong dari Jerman yang turut hadir dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


Pada tahun ini, beliau berpeluang meraikan sambutan hari raya Aidilfitri bersama golongan kurang berkemampuan, warga emas, kanak-kanak, anak yatim, orang kelainan upaya dan wanita.

Rohani memberitahu, beliau sebenarnya mula bersama kumpulan masyarakat tersebut sejak bulan Ramadan lagi.

“Program seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih dan rumah terbuka sangat meriah lebih-lebih lagi apabila kakitangan kementerian turut turun padang untuk menjayakannya.

“Menerusi cara tersebut, kita dapat mendekati kelompok sasaran ini dan secara tidak langsung memberi mereka peluang untuk merasai keseronokan berhari raya,” katanya.


KATA Rohani, beliau menyambut hari raya bersama keluarga secara sederhana sahaja.


Rohani turut menyertai majlis sambutan hari raya bersama Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada pagi raya lalu.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, walaupun kali pertama meraikan hari raya sebagai menteri, sambutan Syawal tetap diraikan secara sederhana bersama keluarga dan sahabat handai.

“Saya juga menziarahi pusara kedua-dua arwah ibu dan bapa sehari sebelum hari raya.

“Memandangkan jadual kerja agak padat, saya ziarah lebih awal pada tahun ini bagi memastikan tanggungjawab sebagai anak tetap ditunaikan,” katanya.

Bercerita mengenai juadah raya, Rohani berkata, menu kegemaran rayanya ialah ketupat pulut, kari ayam ala Sarawak dan daging masak hitam resipi arwah ibunya.

“Saya turut menyediakan juadah seperti soto ayam, laksa Sarawak, kuah kacang dan nasi himpit untuk memberi kepelbagaian kepada menu. Kek lapis Sarawak dan baulu kelapa juga tidak terkecuali,” katanya.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32