RENCANA UTAMA

Pilih untuk beraya secara sederhana

Pilih untuk beraya secara sederhana



ORANG Malaysia tinggal di rimba. Itulah bayangan yang bermain-main dalam fikiran wanita Jepun, Eriko Mariam Motoyama, 49, tatkala suaminya, Abd. Razak Baharom, 54, mengajak beliau berhijrah ke Malaysia kira-kira 19 tahun lalu.

Beg pakaian yang dibawa dipenuhi baju-T dan seluar yang dirasakan sesuai untuk memudahkan pergerakannya di persekitaran rimba. Namun, pandangannya berubah 360 darjah sebaik sahaja melangkah kaki ke negara ini.

Semua itu terjadi gara-gara buku rujukan berkaitan Malaysia yang dibelinya ketika menetap di Amerika Syarikat (AS) hanya berkisar mengenai hutan di Kepulauan Borneo.

Wanita yang lincah berbicara dalam dialek bahasa Inggeris AS itu tidak langsung kedengaran bertutur dalam pelat Jepun, malah boleh berbahasa Malaysia.

Eriko mengakui bahawa dia kini semakin sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

Dia yang ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Selangor, baru-baru ini menceritakan keterujaannya menyambut lebaran bersama suami dan anak-anak di bumi bertuah ini.


NADIA menyuapkan sushi kepada neneknya, Emon Ibrahim, 75, sambil diperhatikan oleh Abdul Razak, Eriko dan Nur Elisa.


"Ikatan kekeluargaan menjadi semakin erat pada Hari Raya Aidilfitri kerana ketika itulah semua anggota keluarga yang jauh dan dekat dapat berkumpul dan bertanya khabar.

"Kemesraan ini agak berbeza daripada amalan masyarakat di Jepun. Ikatan kekeluargaan di sana tidak serapat penduduk di negara ini," katanya yang dilahirkan di Pulau Kagoshima, Jepun.

Wanita yang mempunyai tiga anak perempuan iaitu Norlina, 20, Nadia, 17, dan Nur Elisa, 15, itu merupakan Pengarah Program di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerhati pergerakan cerun di negara ini.

Hidangan sushi

Darah Jepun yang mengalir dalam dirinya masih menebal dan jelas kelihatan melalui hidangan sushi yang disediakan bersama juadah-juadah enak lain pada pagi raya.

Pengalaman balik ke kampung suami di Johor Bahru, Johor pada musim perayaan juga dianggap antara kenangan manis sepanjang hidupnya di Malaysia.

Mereka sekeluarga sering berkonvoi bersama saudara-mara lain dan menjadi satu kemestian untuk singgah di gerai durian dan ikan bakar di negeri tersebut sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sejak nenek suaminya meninggal dunia, mereka hanya menyambut lebaran di sekitar Lembah Klang.

Beraya di Raub

Pensyarah Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (Ipsas) di Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Steven Eric Krauss atau nama Islamnya Abdul Lateef Abdullah, 41, memberitahu, beliau sudah 12 tahun menyambut lebaran di Malaysia sejak berpindah ke negara ini.

Setiap tahun sambutan itu diraikan di kampung isterinya di Raub, Pahang.

"Kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai dan memasak hidangan seperti kuah kacang, rendang dan lemang pada malam raya.

"Seperti Muslim yang lain, saya tidak terkecuali membeli kopiah dan baju Melayu baharu untuk menyambut Syawal. Tetapi tumpuan persiapan dilebihkan kepada anak-anak," ujarnya yang mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Mariam, 11, dan Adam, 7.

Tambahnya, pengalaman beraya yang tidak dapat dilupakannya adalah pada lebaran tahun lalu. Seramai 30 anggota keluarga telah diserang sakit perut yang sangat teruk ketika berada di Raub.

Mereka semua terpaksa berehat di rumah sehingga hari ketiga Syawal. Kejadian tersebut menghairankan mereka kerana ia bukan disebabkan oleh keracunan makanan.


KEMERIAHAN kanak-kanak Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri di Amerika Syarikat.


Perspektif berbeza

Menceritakan pandangan beliau mengenai sambutan Ramadan dan Syawal di Malaysia, Abdul Lateef berkata, beliau berpeluang melihat umat Islam di negara ini berpuasa secara bersederhana dan melakukan ibadat-ibadat sunat pada bulan Ramadan.

"Namun, suasana tersebut berlainan sewaktu tibanya Syawal. Ini kerana bagi pendapat saya, rakyat Malaysia meraikannya secara berlebihan sehingga berlaku pembaziran makanan," jelasnya.

Lelaki yang berasal dari Florida, AS itu sempat berkongsi kisah di sebalik pengislamannya pada tahun 1999.

Beliau mengucap dua kalimah syahadah ketika meneruskan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Columbia, New York.

Minatnya yang mendalam terhadap seni mempertahankan diri menemukannya dengan seorang guru silat di sana.

Hubungan akrab bersama Sulaiman Sharif itu kemudian memberi ruang kepada Abdul Lateef untuk mempelajari ilmu Islam dan mengambil keputusan untuk bergelar seorang Muslim. Beliau memeluk Islam kira-kira setahun setengah kemudian.

Pengajaran di Sudan

Sementara itu, tenaga pengajar latihan penerbangan di Western Aviation Services Sdn. Bhd., David Sheridan Leyman (Ahmad Sharifuddin Leyman), 70, meraikan lebaran secara sederhana kerana pengalaman ketika berkhidmat di Sudan pada tahun 1999 banyak mengajarnya tentang nilai sehidang makanan.


ERIKO (dua dari kanan) menghidangkan sushi kepada suami dan anak-anaknya pada pagi Syawal baru-baru ini.


"Rakyat Sudan bukan sahaja tiada makanan untuk dijamah, malah mereka tiada apa-apa di sana. Setiap hari rakyat Sudan berharap akan ada orang datang menyumbangkan makanan untuk mengalas perut mereka daripada merasai keperitan kebuluran.

"Bukan seperti kita di sini (Malaysia) yang boleh membuat pilihan tentang apa yang ingin dimakan pada hari itu.

"Pengalaman itu membuatkan kami sekeluarga benci pada pembaziran dan melakukan persiapan Aidilfitri secara ala kadar," jelasnya yang sudah banyak menjelajah dunia sepanjang 50 tahun berkhidmat sebagai tentera udara.

Tambah Leyman, keputusan terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya ialah berhijrah ke Malaysia sejak 20 tahun lalu kerana di negara ini dia telah memeluk agama Islam.

Dia juga berjaya mengajak arwah ibunya, Beatrice Leyman untuk mengikut jejaknya memeluk Islam pada usia ibunya menjangkau 93 tahun.

Ahmad Sharifuddin berusaha memujuk ibu tercinta selama 10 tahun dan selepas genap setahun pengislaman Beatrice, dia menghembuskan nafas terakhir di negara ini. Mereka berdua berasal dari East Budleigh, Salterton di Scotland.

Horizon!»

Berkelah, jamu selera di air terjun

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Setinggi.

Varia!»

Cabar keupayaan diri dalam sukan lasak

LEBIH 5,000 orang peserta menyertai Perlumbaan Reebok Spartan di Semenyih Eco Venture, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 47