RENCANA UTAMA

Teksi Sungai Nil

Teksi Sungai Nil


TAMBANG untuk destinasi paling jauh perkhidmatan teksi sungai ini ialah RM13.50.


WALAUPUN bercanggah pendapat tentang banyak perkara, penduduk di Kaherah, Mesir sependapat tentang isu kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di bandar raya tersebut.

Bagi mengelakkan terjebak dalam kesesakan jalan raya, semakin ramai penduduk tempatan menggunakan laluan alternatif iaitu pengangkutan air di Sungai Nil.

Perkhidmatan baharu yang menggunakan bot teksi berkelajuan tinggi itu menjadi satu mod pengangkutan yang menyeronokkan kepada warga Mesir.

Kelajuan bot teksi tersebut meluncur di atas air memendekkan tempoh masa perjalanan penumpang ke destinasi yang dituju.

"Saya pergi ke tempat kerja dengan jiwa yang tenang tanpa sebarang tekanan," kata Ahmed Amin, 43, yang sebelum ini menghabiskan masa selama empat jam untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Perkhidmatan itu hanya mengambil masa 20 minit dari destinasi di stesen paling selatan Sungai Nil iaitu Maadi ke Ramlet Boulaq yang terletak jauh di utara.

Tiket perjalanan sehala berharga EGP£30 (RM13.50) dan perkhidmatan tersebut menerima sambutan baik penduduk Mesir. Menurut perangkaan kerajaan negara berkenaan, sebanyak 25 peratus daripada rakyatnya hidup dalam kemiskinan.

Walaupun kos teksi darat dan teksi sungai sama, tetapi perjalanan yang lebih pantas menyebabkan orang ramai beralih menggunakan perkhidmatan teksi sungai itu.

Ahmed yang bertugas di sebuah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Kaherah berkata, perjalanan menaiki teksi sungai membantu menjimatkan masa sehingga 30 peratus dan pada masa sama mempengaruhi moodnya pada hari tersebut.

"Prestasi saya di tempat kerja menjadi lebih baik berbanding ketika saya memandu ke tempat kerja," jelasnya.


TEKSI Sungai Nil membantu penduduk Kaherah untuk tiba ke destinasi masing-masing dengan lebih cepat.


Kesesakan teruk

Kehidupan lebih 18 juta penduduk di Kaherah menjadi lebih teratur, tenang dan memberi mereka peluang menikmati kehijauan alam dengan menaiki teksi sungai tersebut.

Bertambah menarik, dari jeti teksi sungai berkenaan pengguna dapat melihat keadaan trafik yang sangat teruk yang memaksa segelintir pemandu mematikan enjin kenderaan mereka.

"Lebih baik mereka naik teksi sungai. Tindakan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.

"Pada hari-hari biasa, saya keluar mengambil penumpang hanya selama dua atau tiga jam kerana saya tidak sanggup berdepan dengan kesesakan lalu lintas ini," kata seorang pemandu teksi darat, Sayyed Ali.

Teksi Sungai Nil merupakan ilham dua orang sahabat, Magdi Kirollos Ghali dan Amr Aboul Seoud, yang melihat laluan air sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan jalan raya di bandar raya ini.

"Kaherah mempunyai lebuh raya air yang sangat besar tetapi sudah bertahun-tahun tidak digunakan," kata Magdi.

Sungai Nil yang mengalir ke laut Mediterranean diibaratkan seperti jantung yang membekalkan negara tersebut sumber air.

Kini, sungai berkenaan menjadi pusat aktiviti makan malam di atas bot. Laluan air itu dahulunya digunakan bagi tujuan memancing, pelancongan dan sukan air.

Kata Magdi, sebelum ini, potensi sungai tersebut sebagai mod pengangkutan alternatif tidak digunakan sepenuhnya.

Idea mewujudkan perkhidmatan teksi sungai itu tercetus kira-kira enam tahun lalu apabila mereka merancang untuk memperkenalkan sistem pengangkutan baharu yang komprehensif di sungai itu.

Ia juga turut mengambil kira perubahan dasar kerajaan terhadap perkhidmatan bas sungai sejak tahun 1960.

Ia murah dan berhenti di banyak stesen tetapi perkhidmatan bas air itu sudah tua dan laluan yang digunakan juga tidak menentu.

Magdi menceburkan diri dalam bidang perniagaan berasaskan maritim sejak tahun 2001.

Dia dan Amr telah mengkaji tentang perkhidmatan pengangkutan Kaherah, keadaan lalu lintas dan tahap pencemarannya sebelum mengembangkan perniagaan mereka.


PENUMPANG teksi air, Ahmed Amin, berasa lebih tenang dan produktif di tempat kerja selepas menaiki 'pengangkutan awam' Sungai Nil berkenaan.


Pada tahun 2011, ketika mereka mula mereka bentuk bot berkuasa solar yang akan digunakan, berlaku penggulingan tampuk pemerintahan Hosni Mubarak.

Penggulingan itu menyebabkan negara tersebut terperangkap dalam kemelut politik, rombakan kerajaan, tiada jaminan keselamatan dan keganasan.

"Kami tidak tahu siapa yang perlu dihubungi atau apa yang perlu dilakukan," ujar Magdi.

Bot khas

Dengan keadaan jalan raya yang semakin tidak terkawal, kedua-dua sahabat ini nekad untuk mewujudkan perkhidmatan pengangkutan air dengan menggunakan tiga buah bot.

"Laluan teksi sungai ini tidak melewati kawasan sesak di Kaherah. Jika perkara ini berjaya, ia pasti dapat mengurangkan kesesakan jalan di bandar ini," kata penumpang teksi sungai, Sherif Yousseff.

Menjelang bulan Julai lalu, syarikat tersebut merancang untuk melancarkan sebuah bot khas yang boleh membawa 15 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sasaran tertinggi ialah menyediakan 30 buah bot dalam tempoh dua tahun yang dianggarkan mampu membawa seramai 15,000 pengunjung sehari. - AFP

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 31