RENCANA UTAMA

Lagu lama masih menjadi pilihan

Lagu lama masih menjadi pilihan

NORANIZA


SETIAP kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, lagu-lagu raya pasti berkumandang di corong radio dan tidak kurang pula yang dijadikan nada dering telefon bimbit.

Namun, apa yang pasti, masih ramai pendengar yang lebih gemar memilih lagu raya lama berbanding lagu baharu.

Orang ramai suka memilih lagu nostalgia raya kerana melodi dan liriknya berjaya membuatkan suasana hari raya lebih terasa.

Antara lagu raya yang menjadi kegemaran ramai termasuklah Selamat Hari Raya, Dendang Perantau, Nazam Lebaran, Suasana Hari Raya, dan Suara Takbir.

Memberi pendapat peribadi tentang lagu raya, bicara komposer, penyanyi dan penulis lirik terkenal, Datuk M. Nasir berkata, antara lagu kegemaran ramai ialah Selamat Hari Raya nyanyian Saloma.

“Saya suka lagu tersebut kerana sejak saya kecil lagi lagu itu sudah popular.

“Walaupun kini telah banyak lagu raya baharu, sejujurnya lagu lama punya nostalgia tersendiri,” ujar M. Nasir.

Beliau yang pernah menyanyikan dan menggubah lagu-lagu raya menjelaskan bahawa agak sukar untuk menghasilkan sebuah lagu raya.

“Sejujurnya, lagu raya agak sukar dibuat kerana ramai yang menuntut pelbagai perkara dalam sebuah lagu raya.

“Sebagai contoh, lagu raya harus punya mood, suasana dan melodi yang tepat, barulah komposer berkenaan dapat membikin lagu raya yang menarik.

“Lagu lama terasa lebih nostalgik kerana mungkin suasana hari raya pada zaman itu mempengaruhi komposer yang membikin lagu.

“Walaupun begitu, ada juga beberapa lagu raya moden yang bagus dan menjadi pilihan pendengar,” katanya.

Jiwa Melayu

Sementara itu, penyanyi Alyah menyatakan keinginannya untuk bekerja bawah komposer lagu-lagu irama Malaysia terkenal, Pak Ngah Suhaimi sekiranya diberikan pilihan menghasilkan lagu raya.

“Saya akan pilih Pak Ngah kalau diberikan pilihan kerana mood raya akan segera dirasai setiap kali mendengar lagu-lagu ciptaannya,” ujar Alyah yang teringin merakamkan lagu raya sendiri.

Menjadikan penyanyi lagu raya era 1970-an dan 1980-an sebagai pujaannya, kata Alyah, dia tergamam apabila menyaksikan mereka membuat persembahan di hadapannya.

“Saya tidak membesar dengan lagu-lagu mereka tetapi apabila melihat dan mendengar mereka menyanyi, ia saling tak tumpah seperti versi lagu asal,” tambah Alyah.

Berbeza pula bagi pelantun lagu raya Setahun Sekali, Amy Mastura yang menyokong penuh usaha penyanyi dan komposer baharu menghasilkan lagu raya moden.

Katanya, bukan bermakna lagu-lagu raya lama tidak malar segar tetapi Amy beranggapan lagu baharu memberikan suasana baharu.

“Tiada yang lama tiada yang baharu, itu konsep asas perkembangan dunia seni. Namun, saya melihat lagu raya moden membuktikan generasi baharu menghargai hari istimewa ini dengan cara yang lebih segar.

“Selepas mendengarnya banyak kali, lagu raya baharu juga boleh menjadi mesra telinga. Apa pun, lagu-lagu lama masih tetap di hati,” ujarnya.

Bagi penyanyi yang sinonim dengan genre muzik etnik kreatif pula, hari raya di Malaysia dikaitkan dengan orang Melayu.

Oleh itu, kata Noraniza, jiwa Melayu harus ada dalam lagu-lagu raya.

“Saya rasa lagu baharu yang tiada jiwa Melayu kurang bertahan. Namun, lagu lama memang malar segar. Lagu Melayu harus ada jiwa Melayu.

“Bagaimanapun, ada juga lagu baharu yang berjaya menambat hati pendengar.

“Saya minat dengan lagu Sesuci Lebaran (dengangan Siti Nurhaliza), kerana walaupun baharu, ia mempunyai elemen malar segar,” tegasnya.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 31