HIBURAN

Penyanyi berakustika raya

Penyanyi berakustika raya


BARISAN anggota grup IamNeeta berdiri di sebelah Aizat Amdan (empat dari kiri) dan enam ahli kumpulan Hyper Act yang mengambil bahagian dalam program Akustika.


SENTIASA mencari kelainan dalam industri penyiaran radio, saluran radio Hot FM pada tahun ini menampilkan sebuah program raya yang berkonsepkan alunan melodi secara akustik.

Tidak hanya dapat didengari melalui frekuensi Hot FM di seluruh negara, program dengan nama Akustika itu juga boleh ditonton melalui saluran TV9 pada hari raya pertama dan kedua pada pukul 7.30 malam.

Lantunan vokal hebat daripada barisan artis tempatan yang popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noh Salleh, Aizat Amdan, Hafiz, Dayang Nurfaizah, Salam Muzik, Raihan, Rabbani, Ning Baizura, Fourteen, Jaclyn Victor, Hazama, Tengku Adil, IamNeeta, Hyper Act, Sofazr dan Monoloque pasti mampu menjadi santapan telinga menerusi irama yang lunak dan merdu.

Khalayak dapat mendengar nyanyian artis kegemaran mereka melalui radio Hot FM pada hari raya pertama bermula pada pukul 10 pagi. Setiap artis diberikan masa selama 15 minit.

Berkongsi cerita buat kali pertama, grup yang terkenal dengan lagu Terima Kasih iaitu IamNeeta teruja dengan pengalaman pertama ini.

"Melihatkan barisan artis yang turut terlibat dalam program Akustik kali ini, kami jadi teruja dan gembira. Ini kali pertama kami mengadakan acara raya bersama radio Hot FM," ujar Neeta mewakili rakan-rakannya.

Grup itu menyanyikan tiga buah lagu iaitu Balik Kampung, Hari Raya dan Terima Kasih khas buat para peminat mereka. Sebagai artis paling junior dalam senarai, grup itu berpendapat ia merupakan pengalaman yang baik untuk mereka tempuhi. Ia juga dapat memperkenalkan muzik dan grup itu kepada para peminat hiburan tanah air.

Program itu bertepatan juga dengan misi Hot FM yang menjemput grup itu dan beberapa artis baharu untuk memberi variasi dan warna muzik yang berbeza dalam program Akustika Raya tersebut.

Neeta Manishaa selaku penyanyi solo, Patrick Anohada (gitar utama) dan Anas Zakwan Azhar (basis) yang menggawangi IamNeeta sempat menguar-uarkan bahawa mereka bakal muncul dengan album pada penghujung tahun ini.

Penyanyi Aizat Amdan yang sedang sibuk dengan grup Go Gerila turut terlibat dalam program Akustika ini.

Menurut Aizat, dia menyanyikan tiga buah lagu iaitu Next Aidilfitri, Balik Kampung dan In Love With You.

"Selain Akustika, saya juga terlibat dengan program Dikir Style, FBI Raya Sakan dan Sampaikan. Bulan puasa ini saya banyak tumpukan perhatian terhadap persiapan album solo," jelas Aizat.

Grup dengan nama Hyper Act yang meletup dengan lagu Hanya Aku dan Harapan juga turut terlibat dalam program Hot FM Akustika Raya yang dihoskan oleh Leya, Chad dan Deen.

Menyanyikan dua buah lagu iaitu Selamat Hari Raya dan Menjelang Hari Raya, Toi mewakili grup ini mengucapkan rasa syukur dan bertuah kerana dapat terlibat dengan pelbagai program berbuka puasa dan raya.

"Penglibatan kami dalam Akustika Raya itu sekali gus dapat memperkenalkan lagu-lagu kami selain menyanyikan lagu raya buat para peminat kami," jelas Toi.

Process time in ms: 16