HIBURAN

Kisah hidup menerusi lagu

Kisah hidup menerusi lagu



BERHASIL merangkul sehingga 14 anugerah dalam tempoh empat tahun bergelar penyanyi, menjadi kebanggaan buat Mohd. Hafiz Mohd. Suip. Bukan mudah untuk meraih kejayaan sedemikian memandangkan persaingan yang semakin sengit dengan kemunculan ramai penyanyi baharu, namun Hafiz terus konsisten.

Terbaharu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia 7 (AF7) itu muncul dengan album yang diberi judul Hafiz Suip - Luahan Hati Anak Seni.

Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran album tersebut baru-baru ini, Hafiz berkata, album keduanya itu begitu istimewa buat dirinya.

"Pertama, saya sangat berbesar hati kerana ramai komposer hebat terlibat dalam penerbitan album ini. Ia satu penghormatan yang besar.

"Kedua, album ini istimewa kerana kebanyakan lagunya menceritakan kisah hidup saya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni," ujar anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Menggunakan konsep 'majalah mini' untuk album tersebut, Hafiz menjelaskan, sebanyak sembilan buah lagu dimuatkan dalam album itu antaranya Bahagiamu Deritaku, Mungkinkah, Hanya Ingin Kau Cinta, Deklamasiku, Kesimpulan, Patah Hati, Satu Cerita, Muara Hati dan Matahari.

Ujarnya, dia cukup gembira kerana salah satu single iaitu Bahagiamu Deritaku kini semakin mendapat tempat di hati peminat serta mengungguli carta stesen radio popular di negara ini.

"Saya bertuah kerana lagu ini dicipta oleh komposer hebat seperti LY dan Baiduri sehingga ia menjadi siulan ramai.

"Saya juga bangga kerana komposer seperti Mega Pandawa, Idzam, Ajai, Kunci Demak, Mohd. Atlas, Manusia Putih dan Aiman telah menghasilkan lagu yang menarik dan sedap didengar," ujarnya.

Menurut Hafiz, dia kini sudah melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila berpeluang menghasilkan lirik bagi dua buah lagu iaitu Mungkinkah dan Deklamasiku.

"Bidang penulisan lirik ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya, namun ia percubaan yang berbaloi. Rasanya tidak sia-sia saya berguru dengan komposer Kunci Demak bagi mendalami ilmu penulisan lagu," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada lagu-lagu dalam album itu turut membabitkan kisah cintanya, Hafiz tersenyum dan mengambil masa yang agak lama untuk menjawabnya.

"Apa yang saya boleh katakan ada beberapa buah lagu yang menceritakan mengenai diri saya, tetapi tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenainya.

"Seboleh-bolehnya saya mahu peminat mendengar dan menghayati kesemua lagu sekiranya mahu mendalami kisah hidup saya," ujarnya.

Bercerita mengenai kekasih hati setelah dikaitkan dengan penyanyi Adira sebelum ini, Hafiz mengakui dia sedang bercinta dengan seorang gadis.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan ingin merahsiakan identiti gadis berkenaan memandangkan si dia masih seorang pelajar.

"Buat masa ini, biarlah saya tidak mendedahkan kekasih saya itu kepada umum kerana tidak mahu pelajarannya terjejas," tegasnya.


PELANTUN lagu Awan Nano ini berdepan masalah saluran telinga yang dikatakan boleh memberi kesan terhadap vokalnya.


Nama sebenar

Jika sebelum ini dia dikenali sebagai Hafiz AF, penyanyi berkenaan menyatakan bahawa dia sekarang lebih selesa menggunakan nama sebenarnya iaitu Hafiz Suip.

Bukan mahu melupakan segala kenangan sepanjang bergelar peserta AF7, tetapi penggunaan nama sekarang lebih sesuai dan membuatkan dirinya berasa begitu dekat dengan keluarganya.

"Antara tunjang kejayaan saya sudah tentu sekali sokongan daripada ahli keluarga terutamanya ibu bapa saya.

"Jadi, penggunaan nama sebenar ini lebih sesuai kerana saya mahu semua ahli keluarga berkongsi kejayaan dan kegembiraan yang saya kecapi sekarang," jelasnya.

Menurutnya, kini dia tidak lagi berasa terlalu sunyi kerana berjauhan dengan keluarga memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah menetap di Kuala Lumpur.

Sakit

Di sebalik riak wajahnya yang sentiasa gembira serta sikapnya yang ceria, ramai yang tidak tahu bahawa Hafiz berhadapan dengan masalah kesihatan.

Menurutnya, beberapa bulan lalu dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti nyanyian setelah disyaki menghidap tonsil.

"Ketika mendapat rawatan di klinik kerana berasa kurang sihat, doktor memberitahu saya mengalami masalah tonsil. Setelah makan ubat yang diberikan sakit tekak saya masih tidak sembuh.

"Kemudian saya berjumpa dengan doktor pakar telinga, hidung dan tekak.

"Akhirnya, barulah saya dapat tahu yang saya sebenarnya mengalami masalah di bahagian saluran telinga yang boleh memberi kesan kepada suara saya," ujarnya.

Menurut Hafiz, doktor berkenaan menyatakan dia bernasib baik kerana masalah itu dikesan lebih awal. Sekarang dia masih menjalani rawatan susulan.

"Mujurlah masalah yang saya hadapi itu tidak menjejaskan aktiviti seni saya malah saya boleh terus menyanyi.

"Cuma pada peringkat awal dahulu adakalanya saya berasa sakit semasa membuat persembahan," jelasnya.

Process time in ms: 47