NEGARA

Sekolah di dua daerah di Selangor, satu daerah di Perak ditutup

Sekolah di dua daerah di Selangor, satu daerah di Perak ditutup


IBU BAPA di sebuah sekolah di Manjung menjemput anak masing-masing selepas sesi pagi persekolahan tamat semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sekolah-sekolah yang terletak di kawasan terjejas jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 wajib ditutup secara automatik tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada KPM.

Bagaimanapun, jika bacaan IPU melebihi 250, penutupan sekolah boleh dibuat tetapi perlu memaklumkan perkara tersebut terlebih dahulu kepada kementerian.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Ab. Ghafar Mahmud berkata, berdasarkan bacaan IPU pada pukul 5 petang semalam, terdapat tiga kawasan yang bacaan IPU melebihi 250.

"Tiga kawasan itu ialah Klang dan Petaling Perdana di Selangor manakala Manjung dalam negeri Perak," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, menurut beliau, pengarah pelajaran di kedua-dua buah negeri berkenaan telah dimaklumkan mengenai penutupan sekolah di tiga daerah terbabit pada tarikh 26 Jun (hari ini).

Di Selangor, sebanyak 263 buah sekolah ditutup menyebabkan 337,131 pelajar tidak dapat hadir ke sekolah manakala di Perak sebanyak 102 sekolah ditutup membabitkan 34,607 pelajar tidak dapat hadir ke sekolah.

Process time in ms: 47