DUNIA

Indonesia tingkat usaha padam kebakaran hutan

Indonesia tingkat usaha padam kebakaran hutan

SEORANG lelaki memeriksa satu kebakaran belukar di Labersa, dalam wilayah Riau di Indonesia semalam.- AP


SINGAPURA - Indonesia meningkatkan operasi udara untuk memadamkan kebakaran hutan di Pulau Sumatera semalam ketika jerebu melitupi Malaysia manakala langit cerah dilihat di pulau ini ekoran perubahan arah angin.

Jurucakap Agensi Bencana Negara, Sutopo Purwo Nugroho berkata, helikopter keempat dikerahkan semalam untuk menjatuhkan bom air bagi memadamkan kebakaran hutan yang marak di Sumatera.

Menurutnya, dua buah pesawat turut digunakan dalam operasi pembenihan awan untuk mendorong hujan turun di pulau itu.

"Kami telah melakukan 14 operasi bom air menggunakan 7,000 liter air untuk memadamkan kebakaran. Bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi tersebut, kami menambah sebuah lagi helikopter hari ini," kata Sutopo.

Dalam perkembangan berkaitan, polis di wilayah Riau, Sumatera menahan seorang pemilik tanah dan seorang pekebun kecil kerana menyebabkan kebakaran sejumlah 468 hektar tanah gambut.

Jerebu dari Sumatera berulang kali mendatangkan masalah kepada negara jiran Indonesia sepanjang musim kering dari Jun hingga September.

Sepanjang tempoh tersebut, pemilik ladang dan pekebun kecil melakukan kebakaran untuk menyediakan tanah mereka untuk penanaman baharu walaupun perbuatan tersebut melanggar undang-undang Indonesia.

Setakat ini, percubaan oleh Indonesia untuk melakukan pembenihan awan agak kurang berkesan.

"Teknologi pembenihan awan bertujuan untuk mempercepatkan hujan tetapi dengan awan yang sedikit, tidak banyak yang boleh kita lakukan," kata pegawai agensi sama, Agus Wibowo.

"Hujan yang turun cuma renyai-renyai," tambahnya.

Sementara itu, keadaan di pulau ini bertambah baik sejak Sabtu lalu dengan Indeks Pencemaran Udara setakat semalam berada pada tahap sederhana, antara 50 hingga 100. - AFP

Process time in ms: 47