SUKAN

Chong Wei dalam dilema

Chong Wei dalam dilema


CHONG WEI terpaksa akur dengan kehendak BAM yang mahukannya beraksi pada Siri Super Premier Terbuka Indonesia bermula esok.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendedahkan, jika diberikan pilihan dia mahu menjadikan Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Singapura sebagai 'medan terakhir' sebelum ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos depan.

Chong Wei berkata, dia terpaksa akur dengan kehendak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memutuskan setiap pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia akan beraksi pada Siri Super Premier Terbuka Indonesia bermula esok.

Pemain No. 1 dunia itu berkata, Terbuka Singapura akan memberinya lebih waktu sekurang-kurangnya seminggu untuk melakukan latihan selepas Piala Sudirman melabuh tirai pada 26 Mei lepas.

"Memang Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) telah menetapkan hanya satu kejohanan sebelum ke Kejohanan Dunia tetapi kalau diberikan pilihan saya lebih suka ke Terbuka Singapura.

"Keputusan telah dibuat CTC. Saya dan (beregu lelaki) Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak ada pilihan kerana sebagai pemain utama kami perlu ke kejohanan berstatus lebih tinggi iaitu Siri Super Premier.

"Kalau boleh buat pilihan, sudah tentu kami mahu ke Singapura kerana kami akan ada masa seminggu lagi," kata Chong Wei.

Aksi final Terbuka Indonesia bakal diadakan pada 16 Jun ini manakala Terbuka Singapura akan berlangsung selama enam hari bermula 18 hingga 23 Jun.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 dan 2012 itu tetap mengambil keputusan tersebut u sebagai cabaran untuk menguji konsistensi di pentas antarabangsa.

"Walaupun saya seperti tidak ada pilihan tetapi saya tidak mahu menganggap perkara ini sebagai satu masalah kerana kemenangan pada Terbuka Indonesia bukan keutamaan saya.

"Memang betul, semua pemain yang menyertai sesuatu kejohanan mempunyai keazaman untuk menang tetapi keutamaan saya adalah fokus untuk mengekalkan rentak ketika beraksi dalam gelanggang," ujar juara Terbuka Indonesia 2011 itu.

Chong Wei akan tampil selaku wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki.

Kien Keat-Boon Heong pula akan ditemani Hoon Thien How-Tan Wee Kiong bersama dua pasangan profesional, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd Tazari dan Gan Teik Chai-Ong Soon Hock dalam aksi beregu lelaki.

Dalam beregu campuran pula, hanya Chan Peng Soon- Goh Liu Ying yang akan beraksi pada kejohanan tersebut.

Malaysia tidak menghantar pemain untuk acara perseorangan wanita dan beregu wanita.

Process time in ms: 31