SUKAN

Balotelli ditimpa malang

Balotelli ditimpa malang

BALOTELLI (kiri) diarah keluar padang pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 awal pagi semalam.


PRAGUE – Pemain kontroversi, Mario Balotelli diarah keluar padang ketika Itali seri tanpa jaringan dengan Republik Czech pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Prague awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, Itali mempamerkan kehebatan mereka selaku pendahulu kumpulan sepanjang 72 minit beraksi sebelum Balotelli dilayangkan kad kuning kedua dalam tempoh tiga minit.

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat gagal mengawal emosinya ketika keluar dari padang, sekali gus memaksa jurulatih, Cesare Prandelli menggesa dia bertenang di bangku simpanan.

Biarpun terpaksa berdepan dengan kerenah Balotelli, Itali mempamerkan aksi yang konsisten apabila mendahului peringkat kumpulan.

Itali yang meraih 14 mata selepas enam perlawanan mendahului pasukan di tangga kedua, Bulgaria dengan kelebihan empat mata dan lima mata di depan Republik Czech.

“Ia satu persembahan yang klasik ketika kami cuba menyelamatkan perlawanan. Rentak permainan kami agak hambar dan kami terlalu perlahan.

“Balotelli memang nampak gelisah, itu masalah peribadinya dan dia harus belajar cara untuk mengatasinya. Begitu pun, saya memuji kapten, (Gianluigi)

Buffon kerana berjaya mempertahankan gawang.

“Tanpa dia (Buffon) kami mungkin akan tewas. Dia antara pemain yang terbaik di atas padang,” kata Prandelli.

Pada aksi tersebut, kapten Republik Czech, Tomas Rosicky tampil dengan aksi yang bertenaga apabila melancarkan serangan bertali arus untuk membuka ruang kepada pasukan itu menewaskan Buffon.

Prandelli pula meletakkan enam pemain Juventus dalam kesebelasan utama termasuk dua penyerang Milan, Balotelli dan Stephan El Shaarawy di barisan hadapan.

Skuad itu nampak tenang dengan mata yang telah diraih sepanjang aksi kelayakan itu dengan menggunakan strategi bertahan dan tidak mencipta peluang yang mampu menguji penjaga gol lawan, Petr Cech.

Dalam pada itu, jurulatih Republik Czech, Michal Bilek mengakui, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang tidak meraih sebarang gol.

Itali akan berlepas ke Brazil bagi menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013 pada 15 hingga 30 Jun ini. – AFP

Process time in ms: 47