TERKINI

Perbaiki lorong motosikal supaya selamat dan selesa - Lee Lam Thye

Perbaiki lorong motosikal supaya selamat dan selesa - Lee Lam Thye

02/06/2013 5:22pm

KUALA LUMPUR - Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye hari ini meminta jawatankuasa di bawah Kementerian Kerja Raya memperbaiki keadaan lorong khas motosikal agar lebih selesa dan selamat kepada pengguna.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 70 peratus daripada 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini setiap tahun.

Ujar beliau, kurangnya penyelenggaraan di lorong motosikal menyebabkan penunggang motosikal enggan menggunakan laluan khas berkenaan dan memilih untuk menggunakan lebuh raya sekaligus meningkatkan risiko kemalangan.

"Berdasarkan maklumat yang saya kumpul dari penunggang motosikal yang saya temui mereka memaklumkan bahawa lorong khas motosikal kurang diselenggara dan tidak begitu selamat.

"Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan mempunyai selekoh berbahaya, berlubang, berlopak dan banjir ketika hujan.

"Selain itu terowong (di laluan motosikal) sangat gelap dan penunggang serta pembonceng turut diganggu penjenayah pada waktu-waktu tertentu, katanya.

Lee berkata laluan khas penunggang motosikal merupakan salah satu pendekatan bagi mengurangkan kejadian kemalangan dalam kalangan pengguna motosikal. - Bernama

Process time in ms: 15